1 dari 3 Honda yang dijual di Thailand adalah hibrid e:HEV, penangan harga petrol RM 4.40 seliter?
Faisal · Jan 8, 2023 02:00 PM
Setakat Oktober 2022, Honda di Thailand telah merekodkan jualan sebanyak 67,190 unit kereta, sekaligus meletakkan bahagian pasarannya sebanyak 23.5% dalam kategori kereta penumpang (termasuk SUV) di sana. Pegangan pasaran sebanyak itu juga meletakkan mereka di tangga kedua iaitu di belakang Toyota (29.4%, belum termasuk kenderaan komersial seperti Hilux, Hiace dan Fortuner).
Kalau anda nak tahu, Honda di Thailand ada 7 model dan 5 daripadanya adalah hibrid. Yang tiada pilihan trenkuasa hibrid pula hanya Honda BR-V dan CR-V.
Bagi mereka yang belum tahu, HR-V di sana hanya ditawarkan dengan enjin hibrid dan ia merupakan model hibrid Honda Thailand yang paling laku.
Menurut jurucakap Honda Automobile (Thailand) Co. Ltd, setiap 1 dari 3 model Honda baru yang dijual pada tahun 2022 adalah hibrid.
Di Malaysia, jualan hibrid sebenarnya masih di belakang varian konvensional kerana harga petrol kita diberikan subsidi. Lagi satu, insentif hibrid sudah tiada, kecuali untuk hibrid plug-in Volvo dan BMW.
Untuk Thailand, kereta hibrid dikenakan kadar cukai lebih rendah. Kini, kadar pelepasan CO2 adalah faktor yang menentukan kategori cukai eksais sesebuah kenderaan. Inilah kelebihan kereta hibrid.
Secara teknikal, hibrid yang mengeluarkan CO2 bawah 100 g/km hanya dikenakan cukai sebanyak 4%. Kenderaan yang melepaskan 101 – 150 g/km pula dikenakan kadar 8%. Sebagai perbandingan, kereta petrol konvensional dengan kadar CO2 sama pula dikenakan cukai dari 25% ke 30%.
Ditambah pula dengan harga petrol RON95 di Thailand yang mencecah RM 4.40 seliter, rakyat mereka kiranya tidak akan membeli kereta yang bukan hibrid. Sebagai perbandingan, kita di Malaysia yang dapat menikmatinya pada harga RM 2.05 seliter sahaja tiada masalah untuk pakai kereta berenjin turbo.
Harga petrol di Thailand yang tiada subsidi membuatkan ia boleh mencecah setinggi ini. Bayangkan harga petrol sebegini di Malaysia...
Bercakap mengenai ini, City dan City Hatchback varian hibrid di Malaysia hanya merangkumi 5% ke 8% daripada jualan keseluruhan. HR-V hibrid pula mencapai 11%.
Honda HR-V hibrid di Thailand, dengan 2 wajah yang berbeza.
Jadi, itulah perbezaan jualan model di antara negara kita dan Thailand yang mana ia dimainkan oleh faktor subsidi harga minyak dan sistem pencukaian berasaskan kadar pelepasan CO2.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.
Komen