16 tahun muda sangat, 21 tahun baru 'ok' ambil lesen motosikal - pakar pengangkutan
Khairil ยท Jul 28, 2022 12:00 PM
0
0
Usia 16 tahun didakwa terlalu muda untuk seseorang memiliki lesen motosikal di negara ini dengan kerajaan digesa supaya menaikkan had umur minimum itu kepada 21 tahun, menurut kenyataan 'pakar' pengangkutan memetik laporan FMT.
Salah seorang daripadanya, Rosli Azad Khan yang juga perunding pengangkutan menyifatkan umur 16 tahun adalah terlalu muda untuk menunggang motosikal dan menyifatkannya sebagai 'dasar regresif'.
Justeru, Rosli menyeru agar ia dibatalkan dan berharap kerajaan perlu menggalakkan peningkatan bas sekolah yang dikatakan lebih selamat untuk golongan berkenaan yang majoritinya pelajar.
Mengulas lanjut, Rosli yang turut mendakwa sistem pendidikan di Malaysia tidak berkesan dalam menyemai kesedaran keselamatan jalan raya.
“Kemalangan jalan raya boleh dielakkan sekiranya penunggang tidak melanggar peraturan, tidak memecut laju, tidak berlumba sesama sendiri dan tidak menunggang secara melulu,” katanya.
Rosli menyuarakan pandangannya itu ketika diminta mengulas statistik terbaharu dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang merekodkan 25,958 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini dari 2014 hingga 2020.
Seorang lagi perunding, Goh Bok Yen turut senada dengan pandangan Rosli namun menambah jumlah kematian akan terus meningkat selagi kerajaan tidak mengasingkan dan menyekat penunggang motosikal ke lorong khusus.
"Statistik menunjukkan purata 10 penunggang motosikal maut setiap hari dan empat daripada mereka berusia antara 16 dan 25 tahun.
“Hari ini, ia tidak menjadi kesalahan bagi penunggang motosikal untuk menggunakan semua lorong di lebuhraya bandar dan luar bandar, tanpa mengira kelajuan kereta yang melaluinya."
Justeru menurut Bok Yen, sudah tiba masanya untuk kembali kepada asas dengan mengasingkan ruang jalan dan menjadikannya satu kesalahan bagi penunggang untuk menceroboh lorong utama.
Selain itu kata Bok Yen, hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada pesalah berulang dan menekankan bahawa penggunaan teknologi moden adalah satu-satunya pendekatan yang berdaya maju untuk menangani masalah ini.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.