2022 Volkswagen Golf GTI dan R-Line CKD Malaysia diacah rasmi
Haris · Nov 15, 2021 03:30 PM
0
0
Model Volkswagen Golf CKD Malaysia bukanlah suatu perkara rahsia lagi. Banyak gambar intipan yang pernah tertiris di media sosial dan sebagainya mengenai hot hatch ini. Perkembangan baru untuk model ini adalah Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) secara rasminya mengesahkan bahawa VW Golf GTI dan VW Golf R-Line akan dilancarkan di Malaysia tak lama lagi. Pengesahan itu dibuat sejurus selepas video acah disiarkan di laman media sosial Volkswagen Malaysia.
Susulan itu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia juga telah membuka pendaftaran minat (Registration of Interest) untuk kedua-dua model ini. Bagi mereka yang berminat, Volkswagen Golf GTI adalah model yang lebih berkuasa manakala Volkswagen Golf TSi R-Line adalah model Golf biasa varian teratas.
Seperti yang dilaporkan Wapcar sebelum ini serta disahkan, Volkswagen Golf Mk8 akan dipasang secara tempatan di kilang pemasangan Volkswagen di Pekan, Pahang. Ini adalah kali pertama VW Golf GTI akan dibina secara tempatan tetapi ia bukan kali pertama untuk model VW Golf biasa.
Pada penghujung tahun 1970-an, VW Golf Mk1 telah dipasang secara tempatan di kilang Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Shah Alam. ASSB kini dimiliki oleh Kumpulan UMW dan memasang model Toyota tetapi pada suatu ketika dulu, ia juga memasang jenama lain ketika dimiliki oleh Inchcape Group.
Butiran mengenai spesifikasi trenkuasa VW Golf R-Line masih terhad. Sesetengah pasaran seperti Australia menawarkan Volkswagen Golf biasa dengan enjin 1.4 liter TSI manakala pasaran lain menawarkan enjin 1.5 liter TSI yang lebih baharu. Kedua-dua enjin menghasilkan output kuasa yang sama pada 150 PS dan 250 Nm.
Sementara itu, apa yang hampir pasti adalah VW Golf GTI dijana oleh enjin 4-silinder 2.0 liter pengecas turbo (245 PS/370 Nm) petrol dengan padanan transmisi automatik DSG 7-kelajuan.
Harga untuk hot hatch ini masih belum diumumkan. Walaupun ia dijangka lebih rendah daripada model Mk7.5 import (CBU) generasi sebelum, penurunan harga mungkin sangat sedikit atau minimum. Ataupun ia akan ditawarkan pada harga yang sedikit lebih tinggi, sesuai dengan naik taraf yang diberikan.
Sebagai rujukan, Volkswagen Golf 1.4 TSI Mk7.5 dijual pada harga RM 174,100, manakala VolkswagenGolf GTI dijual pada harga RM 240,030.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.