Perodua Bezza 2020 diperkenalkan dengan dua enjin iaitu enjin 1.3 liter dan 1.0 liter. Kami sedar yang Bezza amat dikenali sebagai kereta yang jimat minyak, tapi mungkin sukar bagi anda untuk mendapatkan angka penjimatannya dalam penggunaan dunia sebenar.
Oleh itu, kami pandu-uji Bezza AV 1.3 liter untuk menguji betapa jimatnya penggunaan bahan api bagi sedan segmen A yang paling laris ini (lebih laris dari Proton Saga dalam angka jualan tahun lepas!)
Enjin petrol DVVT-i 1.3 liter yang dipasang pada Bezza mampu menjana 95 PS dan 121 Nm. Setakat ini, enjin ini terbukti berketahanan tinggi dan jimat minyak selama ia dijual di pasaran kita selama lebih 4 tahun.
Perodua mengatakan yang enjin 1.3 liter Bezza AV mempunyai penggunaan bahan api sebanyak 4.5 liter/100 km.
Berdasarkan ujian dalam penggunaan dunia sebenar dengan fungsi Eco Idle start/stop dinyahaktifkan, Bezza AV 1.3 liter yang dipandu dengan lancar di lebuh raya menunjukkan bacaan yang menarik setelah dipandu sejauh 120 km – enjinnya hanya menggunakan 7.6 liter petrol. Ini bermaksud ia menggunakan 6.34 liter petrol bagi setiap 100 km.
Dalam ujian ini, bacaan petrol dari dalam kabin Bezza menunjukkan 6.53 liter/100 km.
Kami juga memandu-uji Bezza dalam keadaan jalan raya urban menerusi lalulintas terhenti-henti dan lain-lain masalah kesesakan jalan raya. Bacaannya di bawah keadaan ini adalah 7.4 liter/100 km.
Walaupun angka yang direkodkan bukanlah yang terbaik, ia masih lagi boleh diterima dari segi perbezaan antara ujian makmal dengan keadaan pemanduan di dalam dunia sebenar.
Enjin Dual VVT-i Bezza memainkan peranan penting dalam penggunaan petrol bagi sedan ini kerana ia dibina secara spesifik bagi penjimatan bahan api. Tetapan 4 silinder enjin ini didatangkan lengkap dengan lapisan Teflon yang boleh mengurangkan geseran. Ia juga menggunakan plag pencucuh iridium.
Tambahan pula, Bezza juga mempunyai badan yang ringan. Dengan berat kereta hanya 940 kg, tak banyak bahan api yang diperlukan untuk menggerakkan kereta ini.
Yang pastinya, ujian kami dibuat tanpa menggunakan fungsi Eco-Idle kerana ia agak menjengkelkan apabila digunakan dalam keadaan trafik sederhana atau tinggi. Jika fungsi ini diaktifkan, pastinya sedan popular Perodua ini boleh memberikan penjimatan petrol yang lebih tinggi dalam pemanduan harian anda.
Dengar kata Perodua Bezza bakal menggunakan platform DNGA dan ia mungkin akan tiba pada tahun 2023? Anda boleh baca dengan lebih lanjut di sini. Adakah ia akan menawarkan penjimatan minyak yang sama atau lebih kurang?
Perasankah anda harga minyak petrol dan diesel naik selama 8 minggu berturut-turut sejak kemaskini 14 November 2020? Peningkatan paling tinggi sebanyak 5 sen dilihat pada 19 – 25 Disember 2020. Harga petrol RON95 dan RON97 dalam minggu ini (2 – 8 Januari 2021) adalah hasil daripada peningkatan 4 sen.
Sebelum trend harga petrol dan diesel dilihat meningkat secara berterusan, harga petrol RON95 pada awalnya (minggu 14 Nov 2020) ialah RM 1.62/liter. Harga terkini (2 - 8 Januari 2021) ialah RM 1.84/liter. Nasib baik minggu seterusnya (bermula 9 Jan) tiada peningkatan harga.
Ikuti WapCar – BM di Facebook untuk dapatkan kemaskini harga petrol dan diesel setiap minggu!
Komen