Trend rim besar dan tayar nipis - punca kereta masa kini kurang selesa?
Mersita · Jan 28, 2021 04:00 PM
Ada satu trend yang kami perasan sejak dari sedekad lalu dalam industri automotif: hampir setiap kereta yang dihasilkan dan keluar terus dari kilang dipasang dengan tayar yang agak terlalu besar untuk kereta tersebut.
Kenapa, ya?
Honda HR-V pun perlu pakai ‘kasut’ saiz 18 inci ke?
Jika difikirkan tanpa berhusnudzon, mungkin trend ini terjadi kerana pembuat kereta mahu anda berbelanja lebih untuk tayar dan rim lebih besar.
Audi akan pasang rim 22 inci jika anda pilih brek karbon-seramik dengan RS6 baru. Siapa yang paling untung? Memanglah syarikat tayar dan rim kereta.
Brek karbon seramik dengan rim 22 inci pada sebuah wagon. Masuk akal?
Pernah ‘check’ tak harga tayar saiz 18 inci ke atas? Kalau belum, anda patut tahu yang sebiji tayar 19 inci lebih kurang sama harganya dengan satu set tayar 15 inci (4 tayar sekaligus), siap ada baki lagi.
Perkara yang sama berlaku pada rim. Anda takkan boleh lari dari hakikat ini – lagi besar maksudnya lagi mahal dalam konteks ini.
Rim ‘Estoril’ 19 inci pada Mk8 Golf R memang mengancam, tapi kena lubang jalan memang naya
Tambahan pula, dari segi penyelenggaraannya, keadaan jalan raya di Malaysia tak begitu sesuai untuk rim besar bergaya. Tak kiralah betapa berhati-hatinya anda, anda pasti akan terlanggar satu atau dua lubang jalan setiap kali keluar memandu.
Akibatnya? Rosak tayar, rim, rak stereng, suspension dan akhirnya baki dalam akaun bank anda. Perlu diingatkan juga, jika tayar anda adalah jenis ‘run-flat’, poket anda memang dah koyak rabak jika perlu ganti rim dan tayar baru.
Tak cukup dengan kos yang tinggi, bagaimana pula dengan tahap keselesaan pemanduan? Anda perlu tahu yang tayar bersaiz besar bermaksud tahap keselesaan pemanduan anda semakin rendah. Nak tahu kenapa?
Apabila anda gatal-gatal nak pasang rim lebih besar, tayar anda haruslah yang berprofail rendah – maksudnya getah makin nipis. Fikir logik, getah kurang = keselesaan pun kurang.
Golf biasa (atas) boleh tahan lagi dengan kondisi jalan raya kita. Yang GTI (bawah) tu nasiblah...
Perkara ini terjadi lebih-lebih lagi apabila beberapa pembuat kereta mahu melengkapkan kereta-kereta mereka dengan tayar jenis ‘run-flat’ sebagai tayar standard.
Walaupun teknologinya dah maju, tayar jenis ‘run-flat’ secara amnya tidak begitu selesa berbanding tayar-tayar konvensional yang lain.
Baru-baru ini, kami berpeluang untuk memandu ujiBMW M340i. Walaupun pemanduannya cukup hebat bagi sebuah kereta yang dipasang dengan rim 19 inci dan juga tayar ‘run-flat’, kami masih juga rasakan yang suspensionnya bekerja terlalu keras untuk memastikan anda selesa.
Inilah masalahnya – aspek-aspek lain di dalam kereta pula yang terpaksa jadi mangsa semata-mata nak nampak cantik dan lebih gah.
Tidak dinafikan yang pembuat kereta menegaskan bahawa dengan membesarkan rim dan saiz tayar, pengemudian kereta jadi lebih ‘sharp’, lebih stabil apabila dipandu laju, dan mungkin juga prestasi brek lebih baik.
Tapi, kalau nak diikutkan, berapa kali sajalah yang anda ada peluang untuk menikmati semua kelebihan-kelebihan tayar dan rim besar sebegini?
Akhir sekali, pastinya pembuat kereta ada keinginan untuk memasang rim lebih besar pada kereta-kereta mereka semata-mata sebab nak nampak cantik. Tayar/rim yang lebih besar memanglah nampak cantik pada apa jenis kereta sekalipun, tapi hakikatnya pemilik jugalah yang terpaksa menanggung kosnya. Sanggupkah? Komitmen macam dah beristeri dua.
Pertimbangkan semula rim 22 inci pada Audi RS6, kalau tak besar gedabak tak sah?
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen