3 van 'otai' paling nostalgia di Malaysia, pencetus budaya dan niaga!
Haris · May 29, 2021 04:00 PM
0
0
Sebelum adanya MPV dan SUV 7 penumpang, rakyat Malaysia memilih untuk memiliki van sebagai salah satu kenderaan pengangkutan utama. Serba guna, ketahanan yang baik dan sistem mekanikal yang ringkas membuatkan van menjadi pilihan bagi kebanyakan keluarga. Kepada yang lebih bertuah ketika itu, mereka akan menggunakan Pajero.
Bercakap tentang 7 penumpang, rakyat Malaysia kini lebih bertuah dengan barisan model yang dijual. Pilihan boleh didapati dari crossover yang berpatutan seperti Mitsubishi Xpander, MPV besar seperti Toyota Innova, atau MPV mewah seperti Toyota Alphard.
Tidak lupa juga kepada pasaran kereta terpakai dan recond yang turut menarik dengan model seperti Nissan Grand Livina dan Toyota Estima yang memperoleh beberapa harga yang menarik.
Kembali ke 30 tahun yang lalu, pembeli yang mahukan kenderaan 7 penumpang hanya mempunyai satu pilihan: Van. MPV adalah konsep baru sekitar awal 1990-an dan bagi keluarga yang ingin melakukan perjalanan jauh, sebuah van adalah satu-satunya pilihan yang ada.
Di sini kami menampilkan 3 buah van 'otai' yang membangkitkan kenangan bagi rakyat Malaysia. Adakah anda salah seorang yang bertuah kerana dapat merasai pengalaman budaya van suatu ketika dahulu?
Ford Spectron
Walaupun jenama Bujur Biru Amerika ditampal pada bahagian depan dan belakang van ini, ia sebenarnya lebih JDM berbanding USDM. Ketika zaman Ford-Mazda bekerjasama, antara model rebadge oleh Ford adalah van ini yang diambil daripada Mazda Bongo.
Lebih dari itu, ia juga merupakan salah satu van yang premium dalam kelasnya dan dianggap sebagai Toyota Alphard / Vellfire pada zaman tersebut. Ford Spectron adalah van ekonomi kelas komersil yang ditambah dengan pelbagai keselesaan hidup.
Antara pilihan yang ditawarkan pada Ford Spectron termasuklah rim aloi, tempat duduk fabrik lembut, dan spoiler bumbung belakang. Ford Spectron menepati definisi van keluarga dan ia memperkenalkan konsep itu kepada rakyat Malaysia.
Ford Spectron mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1988 dengan satu varian, 1.8 XLT. Ia dikuasakan oleh enjin 8-injap rod tunjal 1.8 liter yang digandingkan dengan manual 5-kelajuan. Van ini dijual hingga tahun 1993 ketika ia diberi pengubahsuaian tetapi perubahan yang paling ekstrem adalah pada tahun 2000.
Ford Spectron diberi gril krom baru, palang krom hadapan, rel bumbung, warna badan dua tona dan hanya tersedia dengan enjin 1.8 liter dengan suntikan bahan api yang dipasangkan dengan automatik 4-kelajuan.
Ketika kemaskini ini diperkenalkan, rakyat Malaysia telah merasai kehebatan MPV dengan kedatangan Toyota Unser. Ford Spectron terasa lebih seperti diabaikan dan tidak lama kemudian dihentikan selepas itu.
Nissan Vanette C22
Model yang paling terkenal dan paling otai dalam senarai ini tentulah Nissan Vanette C22, sebuah legenda di kalangan rakyat Malaysia. Ia terkenal di kalangan penjual pasar malam dan digunakan oleh penculik di dalam filem dan drama.
Nissan Vanette juga merupakan salah satu kenderaan paling tahan yang pernah dijual di Malaysia maka tidak hairanlah jika anda melihat berapa tahun lamanya pengeluaran van terkenal ini. Walaupun dunia bergerak dengan Nissan Vanette generasi baru, pengeluaran C22 terus berjalan di kilang Edaran Tan Chong Motor (ETCM) di Segambut sehingga 2010.
Lebih daripada sekadar kegemaran di kalangan peniaga, ia sangat disukai oleh hampir semua rakyat Malaysia berdasarkan fakta ia menjadi van terlaris di Malaysia selama bertahun-tahun. Hal ini kerana nilai yang baik untuk kos pemilikan dan penjimatan bahan api yang baik dari enjin 1.5 liternya.
Sepanjang lebih dari dua dekad pengeluaran, Nissan Vanette C22 tidak diberikan sebarang perubahan ketara. Akan tetapi, pada tahun 1990-an, ETCM berusaha meningkatkan imej Vanette dengan Nissan Vanette Elite.
Disaingi oleh Ford Spectron dan beberapa buah MPV terawal di Malaysia, Nissan Vanette Elite hadir dengan 3 tempat duduk individu di bahagian tengah, grafik luaran yang funky, warna badan 2 tona, rim aloi, dan corong penyaman udara belakang.
Apa yang menariknya adalah ETCM juga telah melancarkan MPV Nissan sendiri iaitu Nissan Serena sekitar waktu yang sama. Tahukah anda, varian komersial Nissan Serena ini turut dipanggil dengan nama Vanette di beberapa buah pasaran? Mungkin, Nissan Serena adalah penyambung legasi Nissan Vanette secara tidak langsung.
Toyota Liteace
Tidak mungkin kami akan melupakan Toyota, jenama yang sering dikaitkan dengan Wapcar bak kata sesetengah pembaca. Taruhan Toyota dalam pasaran van adalah Toyota Liteace yang menyaingi Nissan Vanette di zaman Nissan masih menjadi jenama Jepun yang sama-sama kuat.
Toyota Liteace turut mempunyai ketahanan yang sama seperti Nissan Vanette dan ia juga terdapat dalam beberapa konfigurasi untuk pembeli termasuk varian tingkap yang sesuai untuk keluarga. Walau bagaimanapun, varian mewah Liteace mempunyai lebih daripada sekadar kerusi lembut dan rim aloi.
Sekitar pertengahan tahun 80-an, Toyota Malaysia menjual varian unik Liteace yang hanya dikenali sebagai Model F. Walaupun namanya generik, harganya agak mahal dengan harga yang disenaraikan adalah RM 47,000 pada tahun 1986. Mengikut kadar inflasi, jumlah itu diterjemahkan kepada sekitar RM 112,000 hari ini yang agak tinggi untuk sebuah van.
Malah, beberapa unit MasterAce Surf dan TownAce Surf yang lebih mewah dibawa dari Jepun melalui pengedar recond. Apa yang membuat varian ini sangat diidamkan adalah terdapat tingkap bumbung individu, atau lebih dikenali sebagai moonroof panoramik pada zaman sekarang.
Toyota meneruskan dengan versi terakhir Liteace yang disebut sebagai Liteace Premio pada tahun 1990-an. Tidak seperti kemaskini yang dilakukan oleh Ford dan Nissan pada van mereka, Toyota memberikan kemaskini yang sangat minimum; sampaikan rim aloi pun tak bagi!
Liteace mempunyai jumlah peminat yang cukup ramai hari ini terutamanya di kalangan mereka yang ingin menukarnya menjadi campervan. Ia mempunyai reka bentuk retro yang sangat sesuai dengan estetika hipster bagi peminat campervan.
Budaya van pada suatu masa dahulu sangat berkembang namun kini ia bukanlah suatu mod pengangkutan yang menjadi pilihan. Keselesaan hidup pada masa sekarang jauh berkualiti dan ruang yang ditawarkan MPV semakin luas justeru mengurangkan tarikan van.
Kini hanya komersial, adakah 'van culture' akan kembali jika ada pengeluar berminat untuk mengeluarkan van gaya hidup, seperti yang berlaku pada trak pikap?
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.