Toyota FJ Cruiser - digilai di Borneo dan seluruh dunia, 10 sebab kenapa anda patut beli!
Faisal · May 30, 2021 04:00 PM
0
0
Untuk 10 tahun yang lepas, FJ Cruiser adalah model yang nampak paling asing dalam keluarga Toyota. Offroader unik dengan elemen retro ini sebenarnya agak terkenal di Malaysia. Malah, sesetengah pemilik meletakkan gril ala Hummer untuk nampak lebih sasa.
Di Malaysia, 4X4 Toyota ini tetap digilai ramai walaupun ia tidak dijual secara rasmi. Jadi, apa fakta menarik yang buatkan Toyota FJ Cruiser begitu unik?
Dalam era 2000-an, dunia automotif cuba menerapkan unsur retro. Jenama seperti Volkswagen, MINI, dan Ford memperlihatkan beberapa kereta konsep beraspirasikan retro yang mana ia masuk ke fasa produksi. Antaranya seperti Beetle, MINI Cooper, dan Mustang.
Disebabkan hendak menonjol, Toyota juga tampil dengan FJ Cruiser Concept. Konsep ini diinspirasikan oleh Land Cruiser siri FJ.
Oleh kerana respon yang begitu positif, Toyota telah berhasrat untuk menjadikannya sebagai produksi.
2. Kod nama yang pelik
FJ Cruiser Concept juga dikenal sebagai Rugged Youth Utility (RYU). Menariknya, ia bukanlah kereta Toyota pertama yang guna nama dalaman sebegini.
Dua tahun sebelumnya, Toyota memperkenalkan konsep Rugged Sports Coupe (RSC) tetapi ia terlalu melampau untuk masuk ke fasa produksi.
3. Dihasilkan di kilang trak
Peminat trak yang tegar pasti kenal akan trak Hino. Pada tahun 60-an, Hino turut menghasilkan kereta. Salah satunya ialah Hino Contessa, bukan main cantik lagi kan?
Setelah bergabung dengan Toyota, produksi kereta Hino tamat pada tahun 1967. Sejak itu, mereka hanya menghasilkan trak dan bas sehinggalah ke tahun 2006.
Walaupun menggunakan asas yang hampir sama dengan Land Cruiser Prado, FJ Cruiser sebenarnya dihasilkan di kilang Hino yang mana ia terletak di Hamura, Japan. Kalau anda nak tahu, Land Cruiser Prado yang disebutkan tadi pula dipasang di kilang Toyota sendiri.
4. Dicipta untuk harungi pelbagai liku
Disebabkan Toyota Land Cruiser semakin mewah, peminat offroad yang tegar sebenarnya lebih percaya akan jentera seperti FJ Cruiser.
Walaupun dengan gaya retro, FJ Cruiser sebenarnya cukup berkebolehan. Ia hadir dengan ciri offroad seperti active traction control system, gear nisbah rendah, dan electronic-locking rear differential. Kesemua ciri ini lengkap dengan transmisi manual 6 kelajuan.
Menariknya, kebanyakan unit yang dibawa masuk ke Malaysia datang dengan transmisi automatik 5 kelajuan. Apapun, kedua-dua transmisi tersebut dipadankan dengan enjin petrol 1GR-FE 4.0L V6 yang menghasilkan 260 PS dan 267 Nm tork.
5. Interior ringkas yang mudah untuk dibersihkan
Walaupun luarannya nampak unik, bahagian dalam FJ Cruiser sebenarnya agak ringkas tetapi ia cukup lasak.
Antara ciri menarik yang ada pada kabin ini ialah penyejuk tempat duduk. Malah, kerusinya juga kalis air.
Tidak cukup dengan itu, lantai kabin dan but belakangnya diselaputkan dengan bahan getah untuk kegunaan yang lebih lasak.
6. Ciri yang paling dasyat pun ada lemahnya
Bagi anda yang belum tahu, pintu belakang pada FJ Cruiser memang agak pelik. Cumanya, apa yang kami maksudkan di sini ialah pengelap cermin tiga bilah.
Menurut Toyota, teknologi ini adalah untuk pembersihan cermin yang berkesan tidak mengira cuaca atau di kawasan mana sekalipun.
Malangnya, sudut cermin depan yang tegak sebenarnya mudah untuk retak.
7. Pintu belakangnya…
Pintu belakang yang buka secara terbalik ini sesuai dengan elemen retro.
Untuk maklumat anda, pintu sebegini memudahkan penumpang untuk keluar masuk kenderaan. Tambahan pula, pintu belakang unik yang ada pada FJ Cruiser ini hadir di kedua-dua belah.
Namun begitu, pintu jenis ini tidak berapa praktikal kalau tempat parkir anda sempit.
8. Ada pelbagai warna
FJ Cruiser datang dengan pelbagai pilihan warna. Untuk sebuah kereta 4X4, tawaran ini memberikan perasaan yang lebih istimewa terhadap pemilik.
Lagipun, 4X4 ini diperlihatkan dengan warna menyerlah sejak fasa konsep lagi. Antara warna pilihan ramai ialah Voodoo Blue, Sun Fusion (kuning), Army Green, Cement Grey, dan Sandstorm (krim).
9. Ada dalam permainan video GTA 5
Dalam permainan video Grand Theft Auto, Honda CR-X adalah samaran Blista Compact. FJ Cruiser pun ada tetapi sebagai Karin BeeJay XL.
Nak dijadikan cerita, Land Cruiser pertama juga dibangunkan dengan kod nama BJ.
10. Ia masih ada di beberapa pasaran
Walaupun edisi Final Edition di Jepun menandakan pengakhirannya di pasaran tersebut, produksi FJ Cruiser sebenarnya belum tamat. Untuk pengetahuan anda, 4X4 ini masih dijual di Timur Tengah dan Afrika Selatan. Malah, ia masih dihasilkan di kilang Hino.
Walaupun dengan reka bentuk yang tidak berubah sepanjang 15 tahun pengeluarannya, beberapa pembaharuan tetap didatangkan. Salah satunya ialah sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Jadi, inilah 10 sebab mengapa Toyota FJ Cruiser gempak habis. Walaupun telah meninggalkan beberapa pasaran, ia tetap menjadi ingatan kerana tidak pernah lagi 4X4 memakai reka bentuk yang sebegini rupa sampailah FJ Cruiser muncul.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.