3 Kebaikan & Keburukan: Toyota Fortuner 2.8 VRZ 2021, ‘power’ dan macho tapi kurang selesa?
Zamil Syaheer · Apr 10, 2021 04:00 PM
0
0
Kalau anda perasan, Toyota Fortuner sebenarnya juara dalam segmen SUV yang menggunakan ladder-frame di Malaysia. Ford Everest suam-suam kuku sahaja, manakala Isuzu MU-X baru tidak dijual di Malaysia. Adakah ini bermakna Fortuner ini sebuah SUV yang terbaik dalam segmennya? Tidak juga.
Jadi apa yang ‘best’ dan ‘tak best’ pasal Toyota Fortuner 2.8 VRZ? Jom kita lihat lebih lanjut. Kalau anda taktau, ini salah satu kenderaan rasmi yang digunapakai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Varian VRZ RM 30k jauh lebih mahal daripada varian pertengahan SRZ, jadi selain perubahan visual serta beberapa penambahan ciri, anda juga mendapat enjin 2.8 liter turbodiesel yang diambil terus daripada Hilux Rogue.
Enjin baru yang diberi talaan menyeluruh ini menyelesaikan masalah Fortuner pra-kemaskini yang terasa sedikit lemau akibat beratnya. Sekarang, tekan je, terus berdesup!
Kuasa daripada sistem turbodiesel membolehkan Fortuner sampai pada kelajuan tiga digit dengan begitu lancar dan linear, memudahkan tugasan untuk memotong kereta lain. Transmisi 6 kelajuan automatik ini juga agak efisyen, walaupun tukaran gear-nya sedikit perlahan.
Untuk kemampuan off-road pula, Fortuner menggunakan sistem pacuan empat roda separuh masa lengkap dengan Active Traction Control (A-TRC), sama seperti Hilux.
2. Kemasan interior yang tahan lasak dan nampak premium
Imej tahan lasak bukan sahaja ada pada luaran Fortuner VRZ ini, malah interiornya juga. Kami suka dengan kemasan dan kualiti bahan yang digunakan, ia terasa premium. Tempat yang biasa dipegang seperti penyejuk air dan trim di sekeliling konsol tengah juga dibalut dengan kulit.
Secara keseluruhan, kualiti interior amat baik. Butang atau tombol sedap untuk disentuh dan responsif, penggunaan bahan-bahan terasa kukuh, dan anda mendapat perasaan bahawa segalanya akan tahan lama dan tidak murah rosak pada jangka masa akan datang.
3. Selamat, siap sistem bantuan ADAS Toyota Safety Sense
Sistem Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) mudah untuk digunakan, manakala sistem bantuan pemandu ADAS Toyota Safety Sense (walaupun bukan sepenuhnya) juga lancar dan bertindakbalas dengan baik. Monitor titik buta tidak bising dan kamera 360 darjah amat berguna untuk kenderaan bersaiz sebegini.
Keburukan Toyota Fortuner 2.8 VRZ
1. Tempat duduk barisan ketiga tidak boleh dilipat secara mendatar
Perkara yang kami rasa paling tak ‘best’ adalah tempat duduk barisan ketiga tidak boleh dilipat ke bawah, tetapi hanya boleh dilipat ke tepi. Ianya bukan setakat mengganggu ruangan but, malah penglihatan juga.
2. Talaan suspensi agak keras
Fortuner ini mempunyai talaan suspensi yang keras, namun berbuai kerana menggunakan casis ladder frame. Anda boleh rasakannya selepas melalui bonggol dan ketika keluar dari selekoh tajam.
Ditambah pula dengan berat 2 tan, ia bukanlah sebuah SUV yang boleh dipandu secara bersemangat. Kami tidak syorkan anda untuk pergi “belasah” Fortuner di Genting Highland – pandu santai saja cukup.
3. Minyak agak kuat
Berdasarkan perhitungan antara jarak perjalanan dan jumlah minyak yang diisi, Fortuner mengembalikan 13.8 liter/100 km dalam perjalanan antara jarak antara bandar dan lebuh raya. Ini bukanlah satu angka yang memberangsangkan, maklumlah ia agak berat (2,160 kg) serta menggunakan enjin berseseran tinggi.
Konklusi
Toyota Fortuner 2.8 VRZ ini mengingatkan saya kepada SUV lama yang terkenal suatu ketika dahulu seperti Toyota Land Cruiser dan Mitsubishi Pajero. Ini kerana ia adalah sebuah SUV besar dengan sistem pacuan empat roda yang luas dan mempunyai trenkuasa dengan seseran besar.
Dengan trenkuasa yang mantap, rupa luaran dan macho, serta kebolehpercayaan dari jenama Toyota – anda pasti suka dengan tarikan ‘old school’ pada Fortuner ini.
Bagi orang di Sabah dan Sarawak pula, kami yakin anda pasti akan menyukai SUV lasak ini. Maklumlah, sekarang banyak SUV ‘poser’ dan manja, nak masuk off-road pun tak lepas.
More than 10 years experience, specialising in Motorsports, Advanced Driving, Event Management & Creative Design. He enjoys driving (drifting, actually) anything RWD with a proper LSD over the limit. Versatility is his motto and mantra.