4 cara untuk tahu sekiranya kereta terpakai itu dalam keadaan 'tip-top' tanpa kemalangan atau tidak
Faisal · Apr 1, 2023 02:00 PM
0
0
Kepada mereka yang belum tahu, membeli kereta terpakai tidaklah semudah ABC kerana ia telah diguna dan kita pula bukan tahu sejarah penggunaannya. Malah, apa yang pernah diselenggara atau ditukar pun memerlukan sedikit usaha dari kita untuk dapat tahu.
Walaupun leceh bunyinya, anda masih boleh kenal pasti akan kereta terpakai mana yang dalam keadaan baik dan mana yang teruk. Pendek kata, ‘tip-top’ tanpa sebarang kemalangan. Bukan apa. Kemalangan boleh merosakkan stuktur asal mahupun keserasian antara komponen. Jadi, kereta tersebut mungkin akan bermasalah atau tidak berapa sedap untuk dipandu. Bunyi yang pelik-pelik pun mungkin akan kedengaran.
Persoalannya, bagaimana nak tahu? Petanda paling mudah untuk anda kenal pasti adalah warna kereta yang tidak sama pada bahagian berbeza ataupun jurang antara panel yang tidak begitu konsisten antara kiri dan kanan mahupun depan dan belakang.
Namun begitu, teknologi membaik pulih kereta sudah canggih. Jadi, agak sukar untuk mengenal pasti sama ada kereta itu betul-betul pernah kemalangan atau tidak. Apapun, pengeluar sebenarnya tahu akan perkara ini dan setiap kereta diletakkan beberapa klu supaya senang untuk anda kenal pasti dan di sini ada 4 cara mudah yang boleh anda rujuk.
1. Pelekat dan label servis
Pada bonet enjin, cari pelekat yang memaparkan cadangan jenis atau jenama minyak enjin, jenis coolant, jenis gas penyaman udara dan bermacam-macam lagi.
Pelekat ini sebenarnya takkan ada pada panel yang sudah diganti. Antara tempat lain yang anda boleh periksa adalah pada bahagian fender dan atas radiator.
2. Label dan tulisan pada cermin
Setiap pengeluar kereta akan melekatkan numbor siri dan jenama pada bahagian bingkai cermin, selalunya pada bahagian bawah belah kiri. Kalau anda nak tahu, cermin depan tidak semestinya ada label pengeluar yang sama tetapi cermin tepi dan belakang sepatutnya dari pengeluar sama.
Jadi, kalau salah satu label pada cermin itu lain, maksudnya ia pernah diganti.
3. Periksa lencana Pre-Delivery Inspection (PDI)
Setiap kereta yang siap dan keluar dari produksi akan dibuat pemeriksaan pra-penyerahan yang mana ia dilabel melalui warna ungu, merah jambu, hijau atau kuning. Kalau anda lihat pada bahagian enjin, label ini selalunya akan ada pada bahagian alternator, radiator dan pam stereng berkuasa.
Untuk pengetahuan anda, label ini tahan bertahun dan tidak mudah hilang. Jadi, kalau tiada, barang tersebut pasti pernah diganti.
4. Kimpalan antara pintu dan badan
Secara amnya, kimpalan pada bahagian kereta dibuat untuk mencantumkan dua panel berbeza. Contohnya antara bumbung dan tiang pintu.
Di kilang, ia dibuat menggunakan robot. Kalau terlibat dalam kemalangan berat, seksyen ini biasanya akan lari dan untuk membaik pulih, mekanik mungkin perlu mengolahnya supaya elok kembali. Apapun, anda akan perasan bahawa struktur dan lekuknya tidak lagi sama dengan bahagian kimpalan lain.
Konklusi
Jadi, anda boleh cuba menggunakan 4 perkara ini sebagai panduan untuk membeli kereta terpakai yang berkualiti dan dijamin dalam keadaan baik.
Tetapi kalau nak senang lagi, terus cari kereta di Carsome kerana setiap kereta yang disenaraikan telah melepasi pemeriksaan 175-mata supaya layak dijual sebagai kereta Carsome Certified.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.