Pelancaran Proton Saga 2022 baharu - dari RM 34k, sedan paling berbaloi kini dipertingkat!
Haris · May 12, 2022 11:00 AM
Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) hari ini tampil dengan Proton Saga serba baharu 2022 yang terkini. Penampilan Proton Saga serba baharu 2022 kini lebih segar berbanding model lalu memberikannya penampilan yang sedikit berbeza dan membawakannya lebih dekat dengan pesaing.
Model Proton Saga sebelum ini hanya ditawarkan dalam varian tunggal namun kini ia tampil dengan 4 varian. Perincian harga adalah seperti berikut:
Mengekalkan tren kuasa yang sama, Proton Saga 2022 dipacu oleh enjin 4-silinder 1.3 liter NA petrol yang cukup, mampu menghamburkan sehingga 95 PS dan 120 Nm tork. Nampaknya ura-ura penggunaan enjin yang bersesaran lebih kecil - seperti yang ditawarkan pada model eksport - tidak direalisasikan.
Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi automatik 4-kelajuan (4AT) yang bersumber dari Hyundai. Bagi varian manual, ia menggunakan kotak gear manual 5-kelajuan. Lebih menarik lagi, ia kini satu-satunya model Proton yang ditawarkan dalam transmisi manual. Selain itu, tiada peningkatan terhadap mana-mana aspek spesifikasi untuk penampilan baharu ini.
Premium S, Standard AT
Bahagian luaran Proton Saga serba baharu 2022 menampilkan rekaan serba baharu seperti fasia depan yang lebih kemas dan bersih. Ia mengenakan lampu DRL LED bagi varian Premium ke atas manakala lampu lain masih kekal dengan halogen.
Cara paling mudah untuk mengenali Proton Saga 2022 baharu adalah dengan logo bulat Proton, nampak lebih seragam dengan model Proton lain. Tak lupa juga, jalur merah Ethereal Bow yang dipadankan pada varian teratas (varian lain hanya disudahi dengan kemasan krom).
Penampilan menjadi sandaran Proton Saga 2022 ini dengan mengenakan perincian tambahan yang hitam kemas seperti cermin sisi digelapkan dan jalur but belakang berwarna hitam dengan ejaan Proton. Terdapat butang pelepas but baharu yang ditawarkan untuk Proton Saga baharu 2022 ini.
Rim model Premium
Rupa agresif ini turut disempurnakan oleh rim 14-inci (varian Standard), 15-inci (varian Premium) dan warna dua tona untuk varian teratas. Tak dilupakan juga, spoiler dan skirting hitam pada varian teratas yang sangat sporty.
Bergerak ke bahagian dalaman pula, ia mendapat upholsteri fabrik melainkan varian tertinggi yang ditawarkan kemasan kulit, dengan gandingan perincian warna merah kontras dalam keseluruhan kabin. Untuk pembaharuan kali ini, cermin sisi boleh lipat secara automatik apabila kenderaan dikunci.
Juga terdapat lapisan bumbung hitam untuk Proton Saga baharu 2022 ini bagi memberikan rasa premium.
Peningkatan terbesar yang ditunggu-tunggu tentulah cermin sisi boleh lipat dan fungsi kemasukan tanpa kunci pintar di samping butang penghidup mula. Ciri ini adalah kekosongan yang besar pada Proton Saga dan kemaskini ini akan membawakan nilainya lebih berbaloi berbanding pesaing yang lain.
Untuk ciri-ciri keselesaan pula, terdapat gugusan instrumen digital sepenuhnya 9-inci disertakan dengan sentuhan warna merah baharu - pada perincian kecil, gugusan instrumen dan corong pendingin hawa - untuk memberikan sentuhan moden pada rekaan yang sudah dibawa sejak sekian lama.
Aspek keselamatan pula ditampung oleh ciri-ciri seperti 6 beg udara, Anti-lock brake with electronic brakeforce distribution (ABS, EBD) Brake Assist (BA) dan Electronic stability control (ESC), di mana fungsi terakhir kin standard dalam semua varian.
Di samping itu, varian Premium dan Premium S menambah sensor parkir hadapan dan kamera undur.
Akhir sekali, 5 pilihan warna masih dikekalkan dengan pilihan seperti berikut:
Ruby Red - Premium, Premium S
Snow White - Standard MT, Standard AT, Premium
Armour Silver - Semua
Jet Grey - Semua
Rosewood Maroon - Standard MT, Standard AT, Premium
Secara tuntasnya, model Premium ditawarkan dalam semua warna, model Standard ditawarkan dengan 4 warna kecualiRuby Red manakala model teratas Premium S ditawarkan dalam 3 warna sahaja.
Proton Saga 1.3 Standard AT
Proton Saga 1.3 Premium AT
Waranti standard untuk Proton Saga 2022 baharu yang ditawarkan Proton Holdings Berhad memberi perlindungan sepanjang 5 tahun / tanpa had perbatuan. Bagi mereka yang berminat, anda boleh pergi ke bilik pameran terdekat untuk menempah kereta baharu anda.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen