F30 BMW 3-Series LCI terpakai - Poket koyak atau pelaburan berbaloi? Ini kos jagaan dan pembaikan F30 LCI
Mersita Ā· Dec 11, 2022 10:00 AM
0
0
Apa yang buatkan ramai orang suka kereta BMW? Adakah kerana pengendaliannya? Atau mungkin kerana ruang kabinnya yang premium? Barangkali juga kerana kemegahan menjadi pemilik kereta BMW?
Anda mungkin tak terfikir satu ākualitiā yang membuatkan ramai mencari kereta terpakai BMW; iaitu susut nilainya yang agak pantas dan menjadikannya antara model kereta paling menarik untuk dipertimbangkan di pasaran kenderaan terpakai.
Baru-baru ini, kami ada menulis tentang BMW F30 330e yang juga mempunyai faktor sama, lebih-lebih lagi bagi 330e yang mungkin susut nilai lebih teruk disebabkan oleh stigma popular berkaitan model-model hybrid di Malaysia. Walau bagaimanapun, keseluruhan rangkaian F30 tidak terlepas daripada kesusutan nilai, dan artikel ini akan menjelaskan segala info yang anda perlu tahu tentang varian-varian berenjin pembakaran biasa bagi F30 facelift; F30 LCI.
Tak dapat disangkal lagi, BMW 3-Series ialah penanda aras bagi sports sedan premium. Penanda aras ini semakin lama semakin naik dengan kemunculan hampir setiap generasi baharu.
Walaupun ada generasi yang kurang memuaskan, F30 terkecuali daripada kekurangan ini. Walaupun 3-Series G20 terbaru menawarkan pemandu pengendalian lebih mantap, ia terpaksa mengorbankan tahap keselesaannya. Ini menjadikan F30 sebuah kereta yang menggabungkan pengendalian dinamik dan juga keselesaan memuaskan; menepati ciri-ciri sports sedan yang bagus.
Tambahan pula, F30 adalah antara yang paling āhensemā dan menawan dalam kalangan model-model 3-Series. G20 mempunyai muka hadapan yang terlalu padat tetapi F30 mempunyai keseimbangan yang bagus dari segi perincian dan kekemasan.
Selain itu, sudah banyak bengkel-bengkel pakar untuk kereta BMW yang arif tentang segala masalah atau isu dihadapi F30. Ini bermaksud pemeriksaan boleh dilaksanakan dengan pantas dan kosnya juga agak rendah. Apa-apa pun, jangan anggap ia murah ā agak-agak la, BMW kot.
Apa-apa pun, susut nilai ini hanyalah untuk nilai kenderaan itu sendiri dan pastinya bukan untuk kos jagaannya. Oleh itu, walaupun anda mampu āangkatā sebuah F30 terpakai, anda juga perlu pastikan yang anda mampu menampung kos jagaannya. Jangan ambil tayar Linglong pula untuk dipasangkan dengan rim M Sport.
Berapa banyak varian F30 LCI yang ada?
F30 LCI dilancarkan pada November 2015. Nak senang? Google saja model 2016.
Terdahulu, apabila ia diperbaharui, ada 5 varian yang boleh didapati.
Varian-varian BMW F30 3-Series LCI
Varian
Enjin dan Kuasa
Harga unit serba baru
318i Luxury Line
B38 1.5 liter Inline-3 (136 HP / 220 Nm)
RM 208,888
320i Sport Line
B48 2.0 liter Inline-4 (180 HP / 290 Nm)
RM 238,800
320i M Sport
B48 2.0 liter Inline-4 (180 HP / 290 Nm)
RM 258,888
320d M Sport
B47 2.0 liter Inline-4 (190 HP / 400 Nm)
RM 268,800
330i M Sport
B48 2.0 liter Inline-4 (252 HP / 350 Nm)
RM 308,800
Cara paling senang untuk membezakan LCI dengan model lain adalah melihat pada lampunya kerana lampu hadapan direka semula. Lampu breknya juga sudah tampil dengan āsignatureā bentuk L.
Dari segi dalaman, 318i Luxury Line menggantikan model sebelumnya, 316i, dengan enjin Prince yang bermasalah. Janaan kuasa masih sama walaupun kurang satu silinder dan lampu hadapan LEDnya kini sudah standard bagi semua rangkaian. Jika anda mahukan 318i anda dengan kemasan kabin berwarna coklat, anda hanya boleh dapatkannya dengan cat badan warna hitam, kelabu atau putih. Kemasan ruang dalaman berwarna hitam eksklusif hanya untuk cat badan berwarna perak dan biru.
Kit penting lain-lain yang penting termasuklah stereng pelbagai fungsi bersarung kulit āsportsā, pencahayaan ambien, kerusi hadapan berpelarasan elektronik, dan kawalan peluncuran dengan fungsi brek.
Jika āupgradeā lagi ke rangkaian 320i Sport, perincian krom dalam trim Luxury Line digantikan dengan perincian hitam berkilat yang lebih kemas dan kerusi penumpang hadapan kini lebih āsportyā. Sistem audionya dinaiktaraf tapi pilihan kemasan kabin terhad kepada rona hitam sahaja.
320i M Sport dan 320d M Sport kedua-duanya serupanya dari segi kelengkapan, kecuali enjinnya. Anda boleh dapatkannya dengan rim M Sport 18 inci, body kit M Sport dan suspension M Sport yang lebih rendah sedikit serta lebih keras bagi kualiti pengendalian lebih baik. Namun, yang lebih penting, anda boleh dapatkan stereng sedap M Sport yang masih dianggap antara yang terbaik dari segi āgripā.
Trim M Sport seperti diterangkan di atas didatangkan sekali dengan sistem infotainment Navigation Business, 320d pula diberi sistem infotainment Navigational System lebih premium.
Akhir sekali, 330i M Sport. Sebagai model flagship bagi 3-Series ānon-performanceā, ia juga dilengkapi dengan semua kelengkapan M Sport namun dengan tambahan suspension Adaptive M Sport, stereng variable sports, dan heads-up display.
Tak kisahlah varian apa yang anda pilih, semuanya didatangkan dengan transmisi automatik ZF 8 kelajuan yang padu dan antara paling versatil di jalan raya. āGearingānya sempurna, menyembunyikan kekurangan tork di dalam 318i, pada masa sama beralih lancar antara gear, dan tanpa ālagā ketara pada dwi-klacnya apabila dipandu semakin laju.
Apakah harga pasaran bagi rangkaian F30 LCI?
Harga pasaran bagi 318i dari tahun 2016 bermula dari sekitar RM 85k sehingga RM 115k, manakala model akhir tahun 2019 dijual pada harga antara RM 110k sehingga RM 150k.
Jika anda tak gemarkan 3-Series 3 silinder, 320i susut harga antara RM 95k sehingga RM 135k.
Apabila bercakap tentang tork, turbodiesel memang āwinā. 320d jadi pilihan kami dan ia dijual pada harga sekitar RM 135k, tapi perlu diingatkan bahawa unit dijual di pasaran terpakai adalah terhad. Oleh itu, mungkin agak sukar untuk anda jumpa unit berkondisi baik.
Akhir sekali, 330i. Segala kelengkapan tambahan yang ada memang tambah kos ā dengan julat harga antara RM 140k sehingga RM 175k.
Kenapa jarak julat harganya agak besar adalah disebabkan dua faktor; BMW Premium Selection dan waranti. Pendek cerita, kereta Premium Selection pastinya lebih mahal manakala model-model tahun terkini masih lagi berada di bawah waranti 5 tahun dari pengilang. Siapa tak nak, kan?
Mana satu patut anda pilih?
Seperti yang kami katakan tadi, kami peminat tegar enjin turbodiesel dan walaupun tork padu 320d tidak begitu sesuai dengan chassis F30, kombo tork dan penggunaan minyak yang rendah sudah cukup untuk buat ramai jatuh cinta.
Jika anda masih juga tidak berminat dengan 320d, anda mungkin akan suka 320i ataupun (kalau ada bajet lebih) 330i.
Apa-apa pun, kedua-duanya dijual sekejap saja di pasaran sebelum digugurkan dan digantikan dengan model bertrim lebih tinggi, 318i, dan hybrid 330e.
Oleh yang demikian, masih banyak unit 318i dijual di pasaran dan walaupun secara amnya enjinnya tidak bermasalah, kami tergolong dalam kumpulan pembeli yang tak gemar dengan 3-Series 3 silinder.
Jika anda tak kisah enjinnya jenis diesel, 320d jadi saranan pertama kami. Namun, jika anda mahukan jenis petrol, pilihan varian lain juga sudah cukup bagus.
Masalah lazim bagi F30 LCI
Bagi aspek ini, kami dapatkan nasihat daripada mekanik berpengalaman di Munich Precision, salah satu bengkel persendirian yang pakar dengan kenderaan BMW. Kami dapatkan buah fikiran Pengarah Urusannya, Owen Riley, yang memberitahu kami tentang anggaran kos penyenggaraan serta perkara yang perlu diberi perhatian oleh pemilik kereta BMW.
Kebanyakan isu seperti minyak bocor dan kegagalan timing chain sudah ditangani dengan enjin-enjin baru dalam model facelift. Oleh itu, pemilik tak perlu risau tentang hal ini.
Tapi, Owen ada menyebut tentang kerosakan speed sensor dan ia agak kerap berlaku. Ini boleh menjejaskan beberapa fungsi bantuan pemanduan seperti ABS dan kawalan penstabilan. Masalah ini boleh dikesan apabila panel meter memaparkan amaran ādriving stabilisationā dan tekanan tayar. Ia boleh diganti dengan kos sekitar RM 300.
Satu lagi masalah lazim ialah gegaran teruk pada steering rack. Jika ada bajet, yang baru akan memakan kos hampir 5 angka. Tapi, jika steering rack sedia dia diārefurbishā, kosnya bermula dari sekitar RM 1,300.
Selain itu, Owen juga mengutarakan isu hos plastik dari expansion tank ke radiator yang boleh jadi rapuh. Anda berkemungkinan kehilangan coolant dan mendapat amaran ālow coolantā. Penggantian hos baru akan memakan kos sekitar RM 200.
Penyenggaraan berkala tidak boleh dielak dan Munich Precision akan mengecaj anda RM 536 untuk servis normal yang merangkumi minyak enjin serta filter. Servis major termasuklah penggantian spark plug dan filter lain-lain pula akan memakan kos kira-kira RM 1,300.
Brake pad hadapan dijual pada harga RM 770 manakala untuk di belakang murah sedikit iaitu RM 642. Jika rotor anda rosak, perbelanjaan anda adalah kurang RM 2,000 termasuklah brake pad.
Kami selalunya skeptikal akan pengilang yang mengatakan bendalir dijualnya boleh tahan selama-lamanya dan tak perlu ditukar. Pada hemat kami, ini memang salah sama sekali. Owen menyarankan minyak ATF patut ditukar pada sekitar 80,000 km dan pada masa sama, anda juga patut tukar minyak rear differential. Ingat, jangan kedekut bab ni!
Plastik Jerman sememangnya diketahui untuk tidak tahan lama dengan cuaca panas kita di Malaysia. Trim di pemegang pintu sebelah dalam F30 anda lama-kelamaan akan cair. Nasib baik ia boleh diganti dengan harga sekitar RM 250 bagi setiap pintu.
Maintenance dan kos servis untuk F30 LCI
Alat ganti / Servis
Kos
Nota
Servis biasa
RM 536
Minyak dan filter
Servis major
RM 1,300
+ spark plugs & filter lain-lain
Wheel speed sensor
~ RM 300
per unit
Gegaran steering rack
~ RM 1,300
refurbished
Brake pad depan
RM 770
Brake pad belakang
RM 642
Rotor + pad
~ RM 2,000
Sepasang rotor dan pad
Coolant tank hose
~ RM 200
Pemegang pintu sebelah dalam
RM 250
per unit
Ingat, jangan lupa ācheckā perkara ini!
Terma-terma ākereta terpakaiā dan āmileage diubahā memang sering kita dengar. Pasaran kereta terpakai dicemari sikap tidak bertanggungjawab ini dan pengguna perlu peka tentang kemungkinan perkara ini terjadi.
Agak sukar untuk kita pastikan mileage sebenar sesebuah kereta tanpa bantuan pakar. Antara petanda ketara sesebuah kereta terpakai telah diganggu mileagenya adalah ketiadaan rekod penuh servis-servis terdahulunya. Jika kereta terpakai yang masih baru tiada rekod ini, berkemungkinan ada perkara kurang jujur dilakukan keatas kereta berkenaan.
Jika anda ada bajet, pilihlah model-model tahun terbaru kerana ia masih dijamin di bawah waranti pengilang dan ini boleh memastikan mileagenya tidak diubah-ubah.
Perlu diingatkan juga tentang banjir besar yang melanda pada hujung tahun lalu dan anda perlu pastikan kereta tiada tanda-tanda pernah rosak disebabkan banjir.
Malah, cara terbaik untuk memastikan pembelian anda berbaloi adalah dengan mendapatkan pemeriksaan kereta secara menyeluruh oleh bengkel profesional. Munich Precision kan ada, anda hanya perlu bayar RM 192. Jangan kedekut, pastikan kereta yang anda ingin beli berada dalam keadaan tip-top terlebih dahulu.
Apabila impian anda dah tercapai dan F30 LCI terpakai ini sudah boleh dibawa pulang, ingat; tukar semua minyak dan bendalir kereta di setiap bahagian.
Kesimpulan
3-Series sememangnya premium sports sedan impian ramai dan daya tarikannya tidak dapat disangkal lagi.
Ya, memang benar G20 yang lebih baharu menawarkan pengendalian lebih bagus, tapi keselesaannya terpaksa dikorbankan. F30 belum lagi sampai tahap ini tapi pengendaliannya masih cukup hebat dan segalanya yang anda mahukan daripada 3-Series.
Jika anda dah memang āsetā nak angkat sebuah F30, tak payah fikir panjang. Beli saja.
Ingat, bawa kereta ābaruā anda ke bengkel untuk jalankan pemeriksaan sebelum membuat pembelian dan cuba dapatkan kereta anda dari Premium Selection kerana ia dijamin tulen tanpa perubahan pada mileage. Bukan itu saja, ia juga disertakan dengan waranti tambahan!
Selain itu, Carsome juga ada beberapa unit di bawah program Carsome Certified yang disertakan dengan jaminan pulangan wang semula 5 hari dan juga waranti 1 tahun. Jom tengok beberapa unit F30 yang dijual di Carsome di pautan ini.
Jika anda perlukan pakar untuk periksa dan baiki F30 LCI anda, kunjungi Munich Precision di Lot 9, Jalan 51A/241, Seksyen 51a, 46100 Petaling Jaya, Selangor. Klik sini untuk dapatkan nombor telefon mereka.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.