GWM Malaysia serah Ora Good Cat kepada MITI untuk pandu uji, kenali EV
Mersita · Mar 10, 2023 09:00 AM
0
0
Sebuah Ora Good Cat 500 Ultra telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk dipandu uji dan diterokai bagi memacu pengembangan pasaran kereta elektrik (EV) di Malaysia dalam satu kolaborasi antara kementerian itu bersama Great Wall Motors (GWM) Malaysia.
Menurut pengeluar EV itu, kolaborasi ini merupakan salah satu usaha dan komitmen GWM Malaysia untuk kelestarian dan amalan mesra alam dalam pengangkutan. EV flagship GWM, Ora Good Cat, direka dengan komitmen ke arah masa depan lestari dan dalam membantu kerajaan Malaysia dalam usaha negara untuk mencapai neutral karbon menjelang 2054.
Hadir dalam upacara penyerahan Ora Good Cat pada Rabu ialah Setiausaha Agung MITI, Datuk Seri Isham Ishak, dan Presiden Great Wall Motor rantau ASEAN, Elliot Zhang, yang menyerahkan EV berkenaan secara rasmi bagi kolaborasi ini.
GWM Malaysia dalam kenyataannya berkata syarikat telah memformulasikan satu strategi lokal disasarkan kearah mendokong peralihan Malaysia daripada kenderaan bertenagakan bahan api kepada kenderaan cekap tenaga, dengan rancangan lebih besar untuk melancarkan lebih banyak EV hibrid, EV hibrid plug-in, dan EV sel bahan api (fuel cell) di dalam pasaran.
“Dengan aspirasi untuk menyediakan infrastruktur pengecas EV yang lebih memudahkan, GWM sedang berusaha dalam menubuhkan satu rangkaian stesen-stesen pengecas EV yang mudah diakses dan memudahkan para konsumer bagi menyingkirkan sebarang kerisauan dialami pelanggan berhubung ketersediaan infrastruktur pengecas dan juga bagi meningkatkan daya tarikan EV.
“Kolaborasi GWM dengan kerajaan Malaysia ialah contoh jelas bagaimana kolaborasi awam-swasta boleh memacu pertumbuhan dan penerimaan penyelesaian pengangkutan lestari, dan syarikat menjangkakan kerjasama berpanjangan dan bermanfaat dengan MITI,” jelas syarikat itu lagi.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.