Rebiu ringkas: Toyota Hilux Rogue 2020 – Trak pikap yang serba lengkap?
Faisal · Oct 8, 2020 11:00 AM
0
0
Toyota Hilux Rogue merupakan varian yang paling atas di dalam barisan model Hilux yang baru sahaja dikemaskini (facelift). Dengan harga RM 146,880, Hilux Rogue didatangkan dengan enjin 2.8L turbodiesel yang lebih gagah serta pelbagai kelengkapan eksklusif.
Namun begitu, adakah ia kosmetik semata-mata? Baru-baru ini kami telah dijemput oleh UMW Toyota Motor Sdn Bhd untuk acara uji pandu media. Inilah pendapat kami mengenai trak pikap yang cukup ikonik ini.
Toyota Hilux facelift menampilkan beberapa perubahan imej tetapi Hilux Rogue mendapat sentuhan istimewa seperti bampar dan gril yang berbeza, perumah lampu kabus yang berlainan, papan anti-gelincir, dan sentuhan plastik kelabu gelap di bonet hadapan.
Hilux Rogue turut mendapat sentuhan ini pada bahagian bampar hadapan dan belakang, fender, pemegang pintu, dan cermin sisi.
Roda 18 inci pula dibalut dengan tayar Toyo Open Country H/T 2 yang bersaiz 265/60 R18.
Selain itu, ia didatangkan khusus dengan corak tulisan “ROGUE” di bahagian sisi belakang untuk menandakan bahawa ini bukan model Hilux yang biasa.
Kabin – Mutu pembinaan yang baik
Bahagian kabin pada Hilux Rogue terasa kukuh dan dibina dengan baik. Beberapa sentuhan unik seperti sentuhan jahitan dan lampu suasana (ambient lighting) yang berwarna biru menaikkan suasana kabin di dalam Hilux Rogue.
Dalam pada itu, roda stereng kulit terasa cukup mengenggam dan kesat untuk memberikan cengkaman tangan yang meyakinkan ketika memandu dalam keadaan lasak.
Pada bahagian belakang, terdapat corong penyaman udara di konsol tengah seperti yang terdapat pada Mitsubishi Triton. Namun demikian, corong penyaman udara di bahagian siling pada Mitsubishi Triton lebih berkesan untuk menyejukkan penumpang. Sebagai perbandingan, Ford Ranger Wildtrak tidak didatangkan sama sekali tetapi ia didatangkan dengan kotak penyejuk. Untuk maklumat anda, Toyota Hilux Rogue didatangkan dengan kedua-duanya sekali!
Dari segi multimedia, Hilux Rogue didatangkan dengan sistem infotainment skrin sesentuh 8 inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Sistem infotainment ini terasa lancar dan mudah untuk digunakan.
Menyokong sistem ini ialah saluran 6 pembesar suara. Namun begitu, bunyi yang dilontarkan hanyalah sederhana.
Dari segi tempat duduk, kerusi di hadapan tidak mempunyai sokongan peha yang mencukupi. Oleh itu, pemanduan jarak jauh untuk penumpang yang tinggi boleh terasa kurang selesa walaupun ruang kelegaan lebih daripada mencukupi.
Kerusi di belakang pula lebih praktikal berbanding Triton yang hanya memiliki lipatan separuh pada bahagian sandar. Namun begitu, ia tidaklah selesa seperti Triton kerana bahagian sandar pada Hilux Rogue lebih menegak. Menariknya, sokongan peha pada kerusi belakang lebih baik daripada kerusi hadapan.
Ruang kelegaan juga mencukupi, malah pemegang kerusi bayi ISOFIX turut didatangkan.
Dari segi ruang kargo, akses terasa mudah kerana terdapat pengimbang pada engsel pintu but yang memperlahankan pembukaan supaya ia tidak terhentak jatuh. Pengimbang tersebut juga memudahkan pengguna untuk menutup pintu but dengan ringan.
Pengalaman pemanduan – Berkebolehan dan mudah
Toyota Hilux Rogue didatangkan dengan enjin 2.8L turbodiesel (1GD-FTV) yang telah dipertingkatkan. Ia kini menghasilkan 204 PS dan 500 Nm tork (meningkat daripada 177 PS dan 450 Nm tork).
Hasil ini dicapai oleh pengubahsuaian pada sistem penjeyuk turbo dan tekanan saluran bahan api.
Dari segi kuasa, ia terasa cukup gagah untuk sebuah trak pikap. Berkenaan bunyi enjin, masih terdapat bunyi hentakan yang sinonim dengan enjin diesel tetapi ia tidaklah terlalu kedengaran.
Dari segi pengendalian pula, Hilux Rogue yang dibina berdasarkan susunan body-on-frame memberikan perasaan bahawa ia bersandar di sisi sewaktu mengambil selekoh. Sistem stereng Variable Flow Control (VFC) yang didatangkan pada Hilux facelift sebenarnya masih terasa agak berat pada kelajuan rendah terutama sewaktu ingin memusing.
Namun demikian, pemandu yang sudah biasa akan stereng yang berat mungkin tidak akan ada isu dengan sistem stereng terbaharu ini.
Walaupun dengan stereng yang perlahan dan tidak memberikan maklumbalas sama sekali, Hilux Rogue masih terasa mudah untuk dipandu.
Dari segi keselesaan perjalanan, ia menyerap lubang dan permukaan yang tidak rata dengan cukup baik walaupun dengan sususan body-on-frame. Namun begitu, perasaan melompat-lompat yang sering disinonimkan dengan susunan body-on-frame masih jelas terasa. Namun demikian, sistem suspensi Hilux Rogue berupaya meratakan dengan cepat.
Ciri keselamatan – Serba moden
Ciri keselamatan utama yang didatangkan khusus pada Hilux Rogue ialah sistem bantuan keselamatan pemandu Toyota Safety Sense (TSS). Ia merangkumi sistem brek kecemasan automatik (AEB), bantuan pengekalan dalam lorong (LKA), dan kawalan pelayaran adaptif (ACC).
Sewaktu kami menguji Hilux Rogue di lebuhraya Guthrie, ia berfungsi dengan cukup lancar dan tenang. Namun begitu, kami berharap bahawa sistem ini didatangkan dengan bantuan kawalan stereng (Steering Assist) supaya pemandu merasa lebih santai.
Di samping itu, Hilux Rogue didatangkan dengan 7 beg udara dan sistem kamera 360-darjah (PVM).
Namun begitu, kualiti imej yang dipaparkan hanyalah sederhana. Kami turut berharap bahawa ia mempunyai garisan penanda yang berpandukan jumlah pusingan stereng supaya posisi kenderaan mudah untuk dijangka.
Konklusi – Pakej yang cukup lengkap dan serba boleh
Dengan berharga hampir RM 150,000, Hilux Rogue mempunyai pakej yang cukup lengkap untuk sebuah trak pikap. Selain memiliki pelbagai ciri unik dan kelengkapan yang tinggi, Hilux Rogue juga cukup berkebolehan dan tahan lasak seperti yang diharapkan oleh sebuah Toyota Hilux. Pada masa yang sama, kebolehan yang sama turut diterapkan pada varian yang lebih rendah.
Walaupun Hilux Rogue tidak memberikan keselesaan seperti Mitsubishi Triton, ia mempunyai pakej keseluruhan yang dibina lebih baik daripada Ford Ranger.
Tunggu rebiu yang lebih mendalam daripada kami apabila kami menguji pandu Toyota Hilux dengan kit ujian yang lebih menyeluruh.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.