8 SUV premium baru dilancarkan di Malaysia pada 2023; Lexus RX serba baru, Ferrari Purosangue dan banyak lagi!
Mersita · Jan 14, 2023 08:00 PM
Besar poket (dan ego), besar jugalah keretanya. Jika anda tergolong dalam kumpulan T20 atau sekadar beraspirasi untuk menjadi T20, dalam entri kali ini kami ingin senaraikan pula SUV mewah yang bakal tiba di pasaran Malaysia sepanjang tahun 2023 ini.
Bermacam jenis SUV ‘kayangan’ yang ada dalam senarai di bawah – dari BEV sesenyap hening malam sampailah ke V12 dengan ngauman meremangkan bulu roma.
Setelah ditayangkan pada April 2022, X7 facelift ini meneruskan rekaan ‘signature’nya dengan gril hadapan menonjol yang kini lebih serupa dengan 7 Series serba baru (dan juga i7). Ruang dalamannya juga diperbaharui – kini kelihatan seperti iX versi lebih kecil.
Kemasan kaca dan kayu tampil menonjol di ruang kabinnya. Kemasan ini boleh dilihat di kluster panel meter-infotainmennya (yang menggunapakai sistem BMW OS 8), manakala perincian kayu menghiasi konsol tengahnya dan sebahagian daripada papan pemukanya.
Enjin B58 3.0 liter ‘straight six’ yang dipadatkan di daalam X7 xDrive40i diberi ‘output’ lebih tinggi iaitu 380 PS/520 Nm (dari angka asal 340 PS/450 Nm, iaitu satu-satunya pilihan yang ada ditawarkan di sini sekarang), manakala varian tertinggi X7 M60i xDrive menjana 530 PS/750 Nm. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik 8 kelajuan.
Kesemua trenkuasa kini diintegrasikan dengan sistem hibrid sederhana 48V yang menjana lebihan kuasa dan tork 12 PS/200Nm. Naiktaraf ADAS pada X7 merangkumi lebih banyak fungsi pada sistem amaran pelanggaran hadapan, kawalan peluncuran aktif dengan fungsi ‘stop & go’ diberi bantuan had laju, pemantauan laluan, dan pengesan lampu isyarat.
BMW XM
Kehebatan V8 dalam kenderaan BMW diteruskan dengan kemunculan model pacuan semua roda (AWD) ini - model ‘standalone’ pertama oleh M sejak M1 1978.
Di sebalik gril ‘kidney’nya terletak enjin V8 4.4 liter twin-turbocharged yang menghamburkan 489 PS/650 Nm. Sebagai model hibrid plug-in (PHEV), motor elektrik menyalurkan kuasa/tork tambahan 197 PS/280 Nm – maka terhasillah gabungan mantap 653 PS/800 Nm secara keseluruhan.
Seperti PHEV lain-lain, ia boleh digerakkan dalam mode elektrik sepenuhnya sejauh 88 km menerusi pek bateri 25.7 kWh. Pengecasan AC maksima untuk baterinya yang dipasang di lantai kereta boleh mencapai 7.4 kW.
Di ruang kabinnya pula, XM didatangkan dengan skrin melengkung yang cukup lebar merangkumi kluster meter digital bersaiz 12.3 inci dan skrin sentuh infotainment 14.9 inci (BMW OS 8). Paparan ‘head-up’ dan kawalan isyarat tangan turut dilengkapi sebagai standard.
Anda boleh jadikannya nampak lebih ringkas dengan pilihan warna satu tona
Dari segi keselamatan, XM didatangkan dengan suite Driving Assistant yang merangkumi Front Collision Warning, Lane Departure Warning termasuk ‘lane return’ dengan bantuan stereng, Evasion Assistant, Alertness Assistant, dan sistem Speed Limit Info sebagai standard.
Tempahan untuk model ini sudahpun dibuka dengan harga dinyatakan bermula dari RM 1.4 juta.
Ferrari Purosangue
Peminat sudah lama menunggu SUV keluaran Ferrari. Ternyata Purosangue tidak menghampakan.
Setia pada aura Ferrari, Purosangue dikuasakan oleh enjin V12 6.5 liter NA (724 PS, 716 Nm). Kelajuan puncak pada 310 km/jam dengan kuasa pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.3 saat mencetus rasa kagum dan seperti biasa dengan Ferrari, bunyi enjinnya juga boleh buat bulu roma meremang.
Nak dengar? Cari headphones anda sekarang dan dengarkan ngaumannya dalam video di bawah.
Purosangue juga cukup unik dan eksklusif dari model Ferrari lain. Ia menggunakan chassis khas, diberi sistem pacuan semua roda (AWD), dan juga menggunakan suspension aktif terbaru jenama mewah itu buat julung kalinya.
Kabinnya menyerupai SF90 dan ini bukanlah sesuatu yang menghampakan kerana ia berfokuskan pada pemandu. Kit keselamatan aktif juga disertakan termasuk kawalan peluncuran adaptif (ACC), bantuan pengekalan lorong (LKA) dan macam-macam lagi.
Hyundai Palisade facelift
Palisade, varian pasaran Australia
Hyundai sememangnya satu jenama hebat dengan sejarah mengagumkan – bermula dari penghasilan kereta untuk rakyat marhaen sehinggalah mencapai taraf premium sesuai untuk keluarga diraja. Itulah Palisade dan pada tahun ini, kita bakal menerima model facelift di negara kita.
Bukan luarannya saja yang ada pembaharuan, ruang kabinnya juga diberi nafas baru dengan salur penghawa dingin bersaiz penuh, ‘interface’ pengguna baharu, dan juga skrin sentuh infotainment yang lebih besar (12.5 inci, dari yang asal 10.25 inci).
Naiktaraf fungsi keselamatan termasuklah penambahan ADAS merangkumi Forward Collision-Avoidance Assist, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Safe Exit Assist, dan Navigation-based Smart Cruise Control, dan lain-lain yang sudah sedia ada.
Palisade facelift dikuasakan oleh enjin petrol V6 3.8 liter NA yang menjana 295 PS/355 Nm digandingkan dengan kotak gear automatik 8 kelajuan. Beberapa spesifikasi lain diberi enjin 2.0 liter turbodiesel 200 PS/440 Nm.
Jaguar i-Pace
Model elektrik (EV) pertama dalam senarai ini sudahpun diacah beberapa kali di Instagram Jaguar Malaysia dan i-Pace berjaya menarik perhatian ramai peminat EV.
Manakan tidak; i-Pace dikatakan boleh mencapai jarak pemanduan 470 km menurut ujian kitaran WLTP menerusi pek bateri litium-ionnya berkapasiti 90 kWh. Kuasa disalurkan melalui motor elektrik yang dipasang pada setiap gandar – menghamburkan kuasa/tork setinggi 400 PS/696 Nm.
i-Pace didatangkan dengan ‘onboard charger’ standard 11 kW. Cas penuh dari kadar sifar mengambil masa kira-kira 8.6 jam. Pengecas pantas DC sehingga 100 kW juga boleh didapati dalam model ini – menawarkan 100 km jarak pemanduan – dalam masa hanya 15 minit.
Lexus RX serba baru
RX 500h, kereta pasaran asing
Dibangunkan berdasarkan Toyota New Global Architecture (TNGA-K), Lexus RX serba baru ini menggabungkan elektrifikasi dan pelbagai teknologi canggih dalam pakej rupa bentuk yang menawan.
Berukuran 4,890 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,695 mm tinggi, dan 2,850 mm jarak roda; ia lebih lebar sedikit (+25 mm) berbanding model generasi terdahulu, dengan jarak roda yang juga lebih panjang (+60 mm).
Varian F-Sport menonjol dengan tempat duduk berona merah yang cukup terkenal
Bergantung pada pasaran, RX serba baru boleh didapati dengan skrin infotainment dengan saiz samada 9.8 inci atau 14 inci dilengkapi dengan Android Auto dan Apple CarPlay. Sistem audio Mark Levinson disertakan sekali lagi, bergantung pada pasaran dan spesifikasi varian.
Serupa dengan Lexus NX yang lebih kecil, Lexus RX serba baru turut menawarkan sistem Lexus Safety System+ ADAS penuh terdiri daripada:
Pre-Collision System (PCS)
Dynamic Radar Cruise Control (DRCC)
Lane Departure Alert (LDA)
Abnormal Driver condition response system
Proactive Driving Assist (PDA)
Mercedes-Benz EQS SUV
Dibina di atas platform yang sama dengan EQS sedan serta jarak roda yang juga sama, EQS SUV menawarkan 7 tempat duduk berbanding sedan 5 tempat duduk.
Pemanduan selesa dan kuasa responsif – serupa dengan pengalaman kami dengan EQS sedan – patut diterapkan juga dalam SUV ini. Menurut risalah, beberapa kelengkapannya sama; ADS dan ‘continuosly-adjustable suspension’ serta stereng gandar belakang.
Dari segi trenkuasa pula, EQS 450+ mempunyai satu motor elektrik dipasang di gandar belakangnya (pacuan roda belakang) dengan 360 PS/568 Nm. Varian pacuan semua roda pula - EQS 450 4Matic dan EQS 580 4Matic – diberi dua motor, varian masing-masing menjana 360 PS/800 Nm dan 544 PS/858 Nm.
Semua varian diberi pek bateri 107.8 kWh - sama seperti EQS sedan - yang memberi jarak pemanduan sejauh 660 km bagi EQS 450+ pacuan roda belakang dan 613 km bagi kedua-dua varian pacuan semua roda.
Pengecas ‘on-board’nya menyokong pengecasan AC 22 kW manakala pengecasan DC maksima berada pada kadar 200 kW, membolehkannya dicas dari 10 – 80 peratus dalam masa 31 minit.
Di ruang kabinnya, ia serupa dengan EQS sedan dengan adanya MBUX Hyperscreen pilihan, skrin melengkung besar sepanjang papan pemuka, dan kelengkapan ADAS yang juga dibawa masuk ke dalam model ini.
Range Rover serba baru
P400 LWB
Kini berada di generasi kelima, Range Rover serba baru tampil dengan elemen kemewahan dan pelbagai jenis trenkuasa dalam barisan tawarannya. Terdapat 7 spesifikasi untuk Range Rover serba baru:
P360: 3.0 liter straight six, 360 PS/400 Nm
P440e: 3.0 liter straight six PHEV, 440 PS/510 Nm (digabungkan)
P400: 3.0 liter straight six, 400 PS/550 Nm
P510e: 3.0 liter straight six PHEV, 440 PS/510 Nm (digabungkan)
D250: 3.0 liter straight six diesel, 249 PS/600 Nm
D350: 3.0 liter straight six diesel, 350 PS/700 Nm
P530: 4.4 liter V8, 530 PS/750 Nm
Kabin P530 LWB
Dibina berdasarkan MLA Flex, L460 Range Rover menggunakan ‘air suspension’ di setiap tayar, dan ia juga merupakan Range Rover pertama yang didatangkan dengan stereng roda belakang.
Di bahagian dalamnya, semua Range Rover ini tampil dengan versi terbaru Electrical Vehicle Architecture 2.0, sistem infotainment Pivi Pro, dan juga sistem kameraa keliling 3D.
Range Rover Sport
Sama seperti kebanyakan SUV dalam senarai ini, Range Rover ini juga boleh disusun-atur mengikut kehendak pelanggan. Tapi, satu perkara paling menarik perhatian kami ialah adanya pilihan untuk tetapan sistem audio Meridian Signature 1,600 watt dengan 35 ‘speaker’.
P530 LWB pasaran Jepun
Kelengkapan lain termasuklah pek Driver Assist yang turut merangkumi Adaptive Cruise Control dengan bantuan stereng, Driver Condition Response, Blind Spot Assist, dan Rear Traffic Monitor sebagai standard.
Kesimpulan
Sememangnya banyak model-model SUV baharu yang menarik dan cukup mengujakan dinantikan pelanggan di Malaysia untuk tahun 2023 ini. Selain SUV, kami juga ada mengumpulkan beberapa model keluaran baharu dari kategori lain dalam senarai sama seperti ini. Nak baca, tekan saja pautan di bawah.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen