Yamaha Motor Company, syarikat induk pengeluar motosikal gergasi dari Jepun mengumumkan komitmennya terhadap penghasilan kenderaan bebas karbon terhadap hampir kesemua barisan produknya menjelang tahun 2050.
Perkembangan itu diterbitkan dalam pelan Integrated Report 2021 oleh Yamaha, baru-baru ini di mana syarikat itu menjelaskan secara dasar mengenai rancangan berkenaan.
Menurut pelan itu, Yamaha berkata mereka akan mengurangkan emisi daripada produk yang dihasilkan untuk penguna dengan erti kata lain, pengurangan emisi yang dikeluarkan enjin kuasa pembakaran dalaman (ICE) seperti motosikal, bot, generator dan pelbagai lagi.
Justeru, pelan itu juga bermakna Yamaha akan mula memfokuskan terhadap penghasilan motosikal dan produk berkuasa elektrik lain secara berperingkat sehingga 2050.
Skuter Yamaha E01 yang dipertontonkan baru-baru ini
Ketika ini, peratusan kenderaan yang menggunakan e-motor atau motor elektrik dari Yamaha amat kecil dengan antara produknya iaitu skuter Yamaha E01 dijangka akan memasuki pasaran tahun depan.
Selain membabitkan produk, projek berkenaan turut membabitkan emisi yang dilepaskan oleh aktiviti perniagaan termasuk aktiviti pembuatan dan perkilangan.
Bagi memastikan sasaran ini tercapai, Yamaha merancang untuk menguatkan pembangunan 'battery-electric vehicle (BEV)' yang termasuk motosikal dan skuter elektrik selain e-bikes.
Sekalipun belum ada maklumat spesifik mengenai model yang akan dihasilkan, Yamaha melihat syarikat itu akan menghasilkan kira-kira 90 peratus produk motosikalnya menggunakan kuasa elektrik menjelang tahun 2050.
Ia seperti yang ditunjukkan imej grafik dalam laporan berkenaan di mana sekitar 2.6 peratus daripada produk motosikal Yamaha akan menggunakan e-motor pada 2030 dan meningkat kepada 20 peratus (2035) sehingga mencapai 90 peratus (2050).
Yamaha dalam pada itu optimis pelan yang dirancang mereka ini akan menghasilkan kejayaan berikutan kesedaran generasi muda seluruh dunia terhadap kepentingan alam sekitar mulai meningkat. Tetapi adakah ia akan mencapai kejayaan? Hanya masa menentukan.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen