Honda CBR150R 2021 mendarat di Malaysia, harga asas RM 12,499!
Khairil · Sep 7, 2021 09:29 PM
0
0
Seperti yang ditunjukkan menerusi imej 'siluet' mengenai kehadiran sebuah model baharu, Boon Siew Honda (BSH) hari ini melancarkan model terbaharu 'Sportbike' aras mulanya, Honda CBR150R (2021) di pasaran tempatan.
Model yang melengkapi penawaran bagi model bagi siri CBR di Malaysia itu datang pada harga asas RM 12,499.
Pilihan warna pula adalah dua iaitu Candy Scintillate Red (merah) dan Mat Charcoal Grey Metallic (kelabu).
Sebelum tiba ke Malaysia, model berkenaan turut dilancarkan di beberapa pasaran negara jiran terlebih dulu termasuk Indonesia dan Thailand malahan Kemboja.
Dari sudut trenkuasa, Honda CBR150R 2021 dilengkapi enjin bersesaran 149.2 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, DOHC, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api. Kuasa yang dihamburkan ialah 16 Hp pada 9,000 rpm dan tork 13.7 Nm pada 7,000 rpm.
Sistem transmisi pula ialah 6 kelajuan klac manual bersama teknologi Assist & Slipper Clutch (A&S). Melengkapkan lagi ciri-ciri keselamatan, model ini dipadankan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Lampu pula menggunakan sistem LED penuh di bahagian depan dan belakang selain turut memiliki ciri Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).
Bagi memastikan tunggangan yang mengujakan, sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) daripada jenama Showa di depan dan monoshock Prolink di bahagian belakang.
Panel meter pula adalah digital yang memaparkan segala maklumat tunggangan seperti spidometer, takometer, kedudukan gear, paras baki minyak, jam, jarak tunggangan serta set lampu amaran pada bawah skrin meter.
Set tayar pula adalah menggunakan rim bersaiz 17 inci dengan tayar 100/80 (depan) dan 130/70 (belakang).
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.