Tiada lagi lanjutan, perbaharui cukai jalan dan lesen memandu sebelum 1 Oktober 2021!
Mersita · Aug 5, 2021 01:00 PM
0
0
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia semalam telah memberi notis mengingatkan orang ramai tentang moratorium atau pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) termasuk Lesen Vokasional (GDL/PSV) yang telah tamat tempoh tidak akan dilanjutkan lagi selepas 30 September 2021.
Pengecualian pembaharuan LKM (cukai jalan) dan LLM sebelum ini dilanjutkan beberapa kali bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya sedang kita bergelut dengan pandemik COVID-19.
Namun, perlu diingatkan yang ini merupakan lanjutan terakhir dan pemegang lesen memandu serta pemilik kenderaan haruslah memperbaharui lesen masing-masing pada kadar segera sebelum tarikh akhir ini iaitu dalam masa kira-kira dua bulan lagi.
JPJ menyarankan orang ramai agar membuat urusniaga secara atas-talian iaitu melalui portal mySIKAP awam (pautan di sini) ataupun melalui MyEG. Sebarang urusniaga yang tidak dapat dilakukan secara atas-talian boleh dilakukan di kaunter JPJ secara temujanji. Pembaharuan LLM juga boleh dibuat di cawangan Pos Malaysia.
Buat masa ini, pengguna jalan raya dibenarkan mempunyai LKM dan LLM tamat tempoh asalkan perlindungan insurans kenderaan aktif dan masih sah. Pemandu hanya perlu menunjukkan 'e-cover note' insurans kenderaan masing-masing apabila diminta.
JPJ juga memberitahu yang aktiviti pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan oleh badan penguatkuasa JPJ dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mula dijalankan mulai 1 Oktober 2021.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.