Achey kumpul sekitar 30 motosikal kapcai – kebanyakannya cagaran untuk bantu orang
Mersita · Oct 20, 2020 11:50 AM
Seorang artis dan pelawak tanah air, Achey, yang juga peminat motosikal kapcai dan sukan motocross pernah mengumpul lebih 30 motosikal kapcai yang disimpan di pelbagai lokasi. Jangan terkejut - kebanyakan motosikal kapcai ini katanya diperolehi sebagai cagaran dan ada juga yang disimpan kerana ada nilai sentimental tersendiri.
Bintang Maharaja Lawak Mega 2019 itu pernah memuatnaik di laman Instagramnya tahun lepas menceritakan yang beliau memiliki 37 buah motosikal mampu milik yang diminatinya. Sebahagian daripadanya dicagarkan kepadanya kerana ingin membantu mereka yang dalam kesusahan, manakala sebahagiannya pula dibeli kerana ada nilai sentimental dari ahli keluarganya.
Baru-baru ini, beliau memberitahu Astro Gempak yang jumlah koleksinya kini adalah sebanyak 28 buah motosikal dan sebahagian daripadanya sudahpun dijual. Achey menjelaskan yang kadangkala ada yang datang kepadanya untuk meminjam wang dan hanya ada motosikal lama untuk dijadikan sebagai cagaran.
"Contohnya motosikal jenama Modenas Kriss ada empat buah, SYM ada tiga buah. Satu jenis ada banyak yang sama," katanya kepada Astro Gempak.
Tapi, rata-rata dari mereka tak datang untuk mengambil semula motosikal tersebut. Maka, Achey bertindak mengambil motosikal tersebut untuk dibaiki. Tambahan pula, ada beberapa motosikal tersebut dianggap model ‘rare’.
Antara motosikal model klasik yang menarik perhatian ramai peminat termasuklah WMoto Cub Classic 110cc milik Achey.
Achey juga memberitahu publikasi itu yang sebahagian daripada koleksi tersebut dijual untuk dijadikan modal membeli rumah. Achey yang sememangnya terkenal dengan sukan permotoran pernah dinobatkan sebagai Ikon Permotoran Viral.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen