Aneh, Yamaha 125z kondisi NOS dijual pada harga RM 90k, Ducati Monster 2022 baru RM 69.9k!
Khairil ยท Oct 13, 2021 03:00 PM
0
0
Tahun lalu, tular laporan mengenai kapcai lagenda, Yamaha 125zr Go! milik seorang individu di Cheras menjual motosikalnya pada harga 'gila' RM 85,000 kepada ahli perniagaan Vietnam.
Terbaharu, model berkenaan sekali lagi membuat 'onar' apabila ia diiklankan pada harga lebih tinggi, RM 90,000.
Motosikal berkenaan bukanlah varian istimewa seperti Yamaha 125zr Go! yang dibina sebagai edisi khas legenda, Valentino Rossi.
Begitupun, apa yang menarik dan membuatkan harganya dijual setinggi itu adalah penjualnya mendakwa ia adalah Yamaha 125z keluaran pertama dan berada dalam kondisi NOS (New Old Stock).
Sebagai info, Yamaha 125z yang dikeluarkan sekitar tahun 1998 ke 1999 itu dan pantas menjadi jentera kapcai 'kegilaan' generasi muda ketika itu.
Apa yang menjadikan ia diminati adalah membabitkan reka bentuknya yang dikatakan melangkaui zaman selain kelajuan yang boleh dijana daripada motosikal berkenaan yang dianggap tak masuk akal jika diberikan talaan.
Malah ada yang mendakwa ia boleh dibawa 'meroket' sehingga 200 km/j, kelajuan yang cukup mengagumkan jika berpandukan kuasa yang ada pada motosikal 2 lejang ini.
Berbalik kepada Yamaha 125z berwarna 'Silver' yang ditawarkan pada harga RM 90k, ia jelas berjaya mencetuskan perdebatan di kalangan netizen.
Dan rata-rata tidak bersetuju dengan harga yang ditawarkan oleh penjual berkenaan dan membandingkan apa yang boleh dibeli pada harga berkenaan.
Sebagai contoh, motosikal terbaharu Ducati iaitu Monster 2022 yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi dan 'jajan' moden dan baru dilancarkan di pasaran tempatan dijual pada harga RM 69.9k (asas).
Berpandukan kepada laman web jual beli popular Malaysia ketika ini, Yamaha 125z rata-rata dijual pada harga RM 5k sehingga RM 13k bergantung kepada kondisi dan tahun pengeluaran.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.