Bagaimana langkah untuk membuat pemeriksaan PUSPAKOM?
Faisal · Sep 6, 2020 01:40 PM
0
0
PUSPAKOM Sdn Bhd ialah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1994 bagi tujuan menjalankan pemeriksaan kenderaan bagi pihak Kerajaan Malaysia. PUSPAKOM menjalankan proses pemeriksaan kenderaan secara sukarela dan juga mandatori.
Antara proses yang memerlukan pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM termasuklah ubah suai kenderaan, proses jual beli, tukar milik, dan juga kenderaan yang memerlukan pematuhan syarat undang-undang seperti operasi komersil dan e-hailing seperti Grab.
Umumnya, PUSPAKOM bermaksud Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer. Puspakom merupakan syarikat yang dilantik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menjalankan tugas pemeriksaan kenderaan.
Anda boleh ikuti beberapa langkah mudah di bawah untuk urusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom.
Langkah 1: Kenal pasti jenis pemeriksaan Puspakom yang berkaitan
Terdapat pelbagai jenis pemeriksaan di Puspakom yang bertujuan untuk mengesahkan kenderaan tersebut seperti:
Pemeriksaan Berkala dilakukan bagi mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mewajibkan semua kenderaan perdagangan menjalani Pemeriksaan Berkala di Puspakom setiap 6 bulan.
Mereka akan memeriksa bahagian penting kenderaan supaya ia mengikut undang-undang dan standard yang ditetapkan.
Untuk pemandu e-hailing, anda perlu lakukan Pemeriksaan Berkala e-hailing Pertama dan Pemeriksaan Berkala e-hailing Semula. Pemeriksaan Berkala Semula hanya diperlukan sekiranya anda gagal dalam pemeriksaan sebelumnya.
Anda boleh dapatkan panduan yang lebih terperinci mengenai pemeriksaan Puspakom untuk e-hailing yang disediakan khusus untuk pemandu.
Pemeriksaan secara berkala dapat membantu mengurangkan kemalangan jalan raya di samping menyelamatkan nyawa pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.
Pemeriksaan Tukar Milik pula dilakukan bagi mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mewajibkan semua kenderaan persendirian untuk menjalani Pemeriksaan Tukar Milik di Puspakom sebelum pemindahan pemilikan.
Pemeriksaan ini membantu melindungi pemilik kenderaan baru daripada membeli atau memiliki kenderaan yang menyalahi undang-undang seperti kenderaan potong-sambung.
Pemeriksaan Sewa Beli dilakukan untuk pembeli (individu atau organisasi) yang memohon pinjaman untuk membeli kenderaan terpakai. Mereka perlu menghantar kenderaan tersebut untuk Pemeriksaan Sewa Beli di Puspakom.
Pemeriksaan ini termaktub di bawah Akta Sewa Beli 1967 yang bertujuan melindungi pembeli kenderaan terpakai daripada membeli kenderaan yang tidak sah atau tidak boleh digunakan.
Pemeriksaan Awalan pula dilakukan untuk kenderaan komersil yang baru atau terpakai yang masih belum menukar hak milik. Anda perlu menjalani Pemeriksaan Awalan sebelum mendaftar di JPJ bagi memastikan kenderaan mematuhi standard piawaian pembinaan dan kegunaannya.
Pemeriksaan Kenderaan Secara Suka Rela dilakukan untuk membantu anda memahami keadaan kenderaan supaya anda lebih faham akan keperluan penyelenggaraan di samping memastikan kenderaan anda selamat dan layak berada di atas jalan raya.
Sama seperti kesihatan kita, pemeriksaan kenderaan membolehkan anda mengesan potensi kerosakan yang ada pada kenderaan anda. Pengesanan awal diikuti dengan pembaikan dan penyenggaraan yang sewajarnya boleh mempertingkatkan keupayaan kebolehpanduan kenderaan anda di jalan raya.
Walaupun ia bukan pemeriksaan mandatori di bawah Akta Pengangkutan Jalan, pemilik kenderaan persendirian sentiasa dialu-alukan untuk menjalani pemeriksaan ini di Puspakom.
Pemeriksaan Khas pula adalah madatori untuk:
Kenderaan persendirian dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh lebih dari satu tahun
Kenderaan komersil atau persendirian yang mempunyai spesifikasi enjin, casis atau badan kenderaan yang telah diubah
Penukaran nombor plat kereta
Kenderaan import baru atau terpakai untuk didaftarkan dengan JPJ
Jenis keperluan lain yang diminta oleh JPJ
Pemeriksaan Pengesahan Pelan Kenderaan dilakukan untuk membina badan dan mengubahsuai sesebuah kenderaan. Pelan teknikal kenderaan yang diluluskan oleh pihak JPJ diperlukan sebelum sesuatu pembinaan badan atau pengubahsuaian ke atas kenderaan dilakukan.
Ini bertujuan untuk memastikan setiap badan kenderaan yang dibina dan kenderaan yang diubahsuai mematuhi kehendak perundangan semasa.
Langkah 2: Sediakan dokumen yang diperlukan
Sekiranya anda pemilik kenderaan tersebut, anda harus menyediakan geran kenderaan dan kad pengenalan.
Sekiranya anda bukan pemilik kenderaan tersebut, anda perlu menyediakan geran kenderaan, salinan kad pengenalan wakil dan surat wakil dengan mengisi boring pelepasan tanggungan.
Langkah 3: Daftar temu janji untuk pemeriksaan
Jika anda mempunyai telefon mudah alih pintar (smartphone) Android, anda boleh memuat turun aplikasi MyPUSPAKOM di Google Play Store.
Anda juga boleh mendaftar akaun MyPUSPAKOM di mypuspakom.com.my. Kemudian, anda boleh memasukkan maklumat kenderaan dan temu janji pemeriksaan di laman web berkenaan.
Sebaik sahaja mendaftar, anda boleh membuat temu janji beserta bayaran. Bayaran boleh dibuat melalui kad kredit atau kad debit pilihan anda.
Langkah 4: Hadir untuk pemeriksaan
Setelah mendapat temu janji, anda hanya perlu membawa dokumen temu janji atau kod QR untuk tujuan pengesahan. Anda boleh mengimbas kod QR di pintu masuk cawangan Puspakom.
Untuk maklumat anda, tiada bayaran perlu dibuat ketika mengimbas kod QR atau pemeriksaan kerana bayaran sudah dibuat lebih awal sewaktu proses daftar temu janji di laman sesawang/aplikasi mudah alih MyPUSPAKOM.
Sekiranya anda masih belum mendapatkan temu janji, anda boleh hadir ke cawangan Puspakom dan mengisi borang pemeriksaan. Bayaran boleh dibuat sebelum pemeriksaan bermula.
Langkah 5: Dapatkan keputusan pemeriksaan
Apabila kenderaan anda selesai diperiksa, pegawai Puspakom akan menghubungi anda untuk memaklumkan keputusan pemeriksaan. Sekiranya anda lulus, dokumen perakuan kelulusan akan dikeluarkan oleh pihak Puspakom.
Sekiranya anda gagal, anda akan menerima laporan pemeriksaan VR1 yang mengandungi keputusan pemeriksaan. Anda boleh hadir semula dalam tempoh 1 bulan untuk menjalani “pemeriksaan semula”. Pemeriksaan semula hanya boleh dibuat di Puspakom yang sama dengan pemeriksaan pertama kali.
Jika anda gagal hadir dalam tempoh yang ditetapkan, anda harus melakukan pemeriksaan kenderaan seperti pemeriksaan baru. Pada masa yang sama, pegawai akan menjelaskan punca kenderaan anda gagal mencapai standard yang ditetapkan oleh Puspakom.
Jika anda gagal lebih daripada 3 kali, anda diwajibkan untuk bertemu dengan pegawai Puspakom untuk perbincangan yang lebih lanjut. Pegawai Puspakom akan menasihati pengguna berkenaan faktor kegagalan pemeriksaan.
Sebagai maklumat tambahan, anda boleh merujuk beberapa persoalan yang lazim dikemukakan oleh pengguna yang ingin berurusan dengan Puspakom seperti:
Adakah boleh sekiranya saya hendak membuat bayaran menggunakan kad kredit/debit di kaunter puspakom?
Walaupun kebanyakan lokasi Puspakom menerima kaedah pembayaran melalui kad kredit, mesin kad kredit mereka kadangkala mengalami masalah. Oleh itu, para pengguna yang membuat bayaran di pusat pemeriksaan digalakkan membawa wang tunai yang mencukupi.
Sekiranya anda gagal pemeriksaan, anda harus meneliti punca-punca kegagalan. Sebagai contoh, sebahagian kecil daripada kereta Proton mengalami masalah brek di bahagian belakang.
Oleh itu, anda perlu memastikan brek bahagian belakang diservis di bengkel yang memiliki kepakaran untuk melaksanakan penyelenggaran tersebut.
Waktu operasi cawangan
Anda boleh mengetahui waktu operasi cawangan yang berdekatan dengan lokasi anda seperti yang berikut:
Waktu operasi yang dinyatakan adalah tetap kecuali pada keadaan tertentu seperti musim perayaan dan cuti umum.
Cara berhubung terus dengan pihak Puspakom
Sekiranya anda memerlukan maklumat yang lebih terperinci, anda boleh layari https://www.puspakom.com.my/. Pada masa yang sama, anda boleh layari akaun facebook, instagram dan youtube Puspakom untuk mendapatkan pelbagai maklumat yang terkini.
Anda juga boleh menghantar e-mail kepada customerservice@puspakom.com.my atau menghubungi talian bebas di 1-800-88-6927 untuk sebarang bantuan dan informasi.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.