Proton Saga pasca Proton-Geely adalah sebuah produk yang sangat mudah untuk disyorkan. Untuk sebuah sedan segmen A yang sangat berbaloi dengan harganya, tidak hairanlah jika kereta ini sekarang sedang memacu penjualan Proton di samping model Proton X70.
Rata-rata pengguna memberikan maklum balas positif mengenai kualiti binaan Proton Saga ini. Tidak dinafikan, sememangnya kualiti binaan Proton Saga 2019 banyak dipertingkat berbanding Proton Saga generasi FLX namun ada satu komponen yang mungkin memainkan peranan yang signifikan dalam mengubah tanggapan kualiti.
Antara perubahan ketara pada Proton Saga serba baharu ini adalah bunyi pintu kereta. Bunyi pintu kereta telah pun dikaji secara mendalam dalam satu kajian daripada University of Salford. Prof Trevor Cox, pensyarah dalam bidang kejuruteraan akustik mendapati bahawa bunyi menutup pintu mempengaruhi pembelian kereta.
"Apa yang pengeluar sedari adalah ketika anda pergi meninjau kereta di bilik pameran anda tidak mendengar enjinnya terlebih dahulu, apa yang anda dengar adalah bunyi pintu dibuka dan ditutup." kata Prof Cox.
"Tanggapan awal terhadap bunyi ini sangat penting." tambah Prof Cox lagi. Hal ini kerana, tanggapan awal selalunya kekal di fikiran pembeli berbanding faktor-faktor yang lebih subjektif seperti kendalian dan keselesaan pemanduan.
Evolusi bunyi ini bermula sekitar 10 tahun yang lalu dalam industri automotif apabila pengeluar kereta terpaksa meletakkan palang tambahan di pintu sisi untuk mematuhi standard keselamatan yang baru. Bunyi besi bertemu besi mengakibatkan bunyi yang tidak memuaskan.
Justeru itu, pelbagai kajian telah dibuat untuk memberikan bunyi menutup pintu yang lebih ‘tegap’. Pembeli mengaitkan bunyi pintu yang nipis dan halus dengan kualiti binaan yang rendah manakala bunyi menutup pintu yang tegap pula dikaitkan dengan kualiti tinggi.
Hasilnya, anda akan melihat getah peredam bunyi yang dipasang di keseluruhan pintu dan berat pintu juga ditambah bagi memberikan tanggapan ‘kukuh’ terhadap kualiti bahan binaan. Lagi pula, bunyi menutup pintu kereta adalah bunyi terawal yang akan anda dengari apabila melangkah ke bilik pameran.
Hal ini bukan perkara remeh. Mercedes Benz mempunyai Pengurus Kualiti Bunyi dan Rekaan Bunyi iaitu Tobias Beitz. Lexus juga bermegah dengan kualiti bunyi menutup pintu mereka. Ford juga mendakwa melakukan kajian yang mendalam terhadap bunyi pintu kereta. Proton dengan bijak turut melakukan langkah yang sama pada Proton Saga (baca review kami di sini).
Apa yang dilakukan oleh pihak pengeluar ini tidak salah. Malah, ia dilihat sebagai komitmen yang mendalam terhadap kualiti. Perincian-perincian kecil sebegini penting untuk membetulkan persepsi pembeli kereta. Apatah lagi, pasaran Malaysia bermain dengan stereotaip yang mempengaruhi harga kereta terpakai.
Oleh itu, syabas kepada Proton atas komitmen terhadap kualiti yang mendalam. Bukan sahaja sentuhan dan feel memandu, bunyi juga penting dalam memberi persepsi kualiti terhadap sesebuah kenderaan.
Dapatkan respons dalam masa 24 jam!
2022 Proton Saga 1.3 Standard MT
Upgrade
Add your car
2016 Proton Persona Standard 1.6
2017 Perodua Bezza X Premium 1.3
Komen