Bawa lari tong ikan, dapur gas guna Toyota Hilux. Suspek ditahan polis
Mersita ยท Mar 18, 2021 01:00 PM
0
0
Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan pihak polis pada Selasa lepas (16 Mac) kira-kira 11.40 malam kerana didapati memiliki tong ikan dan pelbagai peralatan perniagaan lain yang dicuri dari tempat berniaga di persimpangan jalan M-Residensi 2 pada pagi Isnin (15 Mac).
Sebuah Toyota Hilux berisi barang curi itu ditemui di tepi jalan Sekolah Kg. Baru Kundang dalam keadaan mencurigakan. Pemeriksaan polis mendapati pencuri itu sedang berada di dalam trak pikap tersebut bersama sebahagian barangan yang dicuri.
Polis bertindak atas maklumat yang diberi oleh pemilik barang curi tersebut berusia 33 tahun yang menyaksikan kecurian itu sendiri pada kira-kira 7.40 pagi Isnin. Pemilik itu berkata dia melihat seorang lelaki sedang mengangkut 3 buah tong ikan miliknya berserta 2 buah dapur gas dan sebuah periuk masak air ke dalam sebuah trak pikap Toyota Hilux berwarna biru. Kerugian dianggarkan berjumlah RM 3,000.
Namun, pemilik itu enggan mengambil tindakan sendiri dan hanya mengekori Hilux tersebut. Gambar Hilux pencuri diambil dan dimuatnaik di media sosial pada hari kejadian yang akhirnya tular.
Siasatan mendapati suspek bertindak seorang diri dan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang untuk reman.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.