Benarkah kereta CBU (impot) lebih bagus daripada CKD (dipasang tempatan)?
Mersita · Jan 17, 2021 11:59 AM
0
0
Konsumer di Malaysia mempunyai obsesi yang agak aneh terhadap stiker bertulis “Made in” pada kenderaan mereka. Ini adalah geng-geng yang mempunyai tanggapan yang model impot sepenuhnya (CBU) lebih berkualiti tinggi berbanding produk dipasang tempatan (CKD).
Ini merupakan satu tanggapan yang tidak adil dan merendah-rendahkan kepakaran dan bakat pasukan tempatan yang sama taraf kelayakannya dalam proses pemasangan kereta sambil menepati standard pengilangan global yang ketat lagi tegas.
Haa, tepuk! Kita patut mendorong, bukannya simpan persepsi ‘buatan negara luar’ lebih bagus daripada hasil tangan orang kita sendiri. Gambar: Pusat pemasangan Volkswagen di Pekan, Pahang.
Apakah maksud CBU dan CKD?
CBU (Completely Built-Up) merujuk kepada kereta-kereta yang dipasang di negara asing dan seterusnya diimpot ke pasaran tempatan sebagai kenderaan yang sudah siap dipasang dan sedia untuk digunakan.
Walaubagaimanapun, kereta-kereta yang secara keseluruhannya diimpot dari luar dikenakan cukai duti eksais yang sangat tinggi iaitu antara 60 – 105%. Perkara inilah yang menyebabkan harga jualannya mencanak tinggi.
CKD pula adalah singkatan bagi ‘Completely Knocked Down’ dan ini merujuk kepada kereta-kereta yang dipasang di fasiliti pengilangan tempatan. Selalunya, model-model yang perlu dihasilkan dalam jumlah banyak akan dipasang secara domestik.
Kereta CKD layak mendapat insentif dari kerajaan dan pengecualian cukai duti eksais. Hasilnya? Kereta yang lebih mampu milik bagi rakyat marhaen Malaysia.
Jenama yang beroperasi secara CKD di Malaysia
Inilah senarai jenama-jenama yang mengoperasikan kilang dan memasang kenderaan di Malaysia:
Proton
Volkswagen
Perodua
Renault
Honda
Peugeot
Toyota
Citroen
Mazda
Mercedes-Benz
Nissan
Volvo
Subaru
BMW
Mitsubishi
MINI
Isuzu
Great Wall
Hyundai
Borgward
Bufori
Benarkah CBU lebih bagus berbanding CKD?
Sememangnya, perkara ini adalah tidak benar sama sekali. Anda perlu sedar yang proses membina kilang pembuatan bukanlah semudah mencari ruang fizikal untuk kilang itu dan memasukkan beberapa mesin bagi mengeluarkan kenderaan yang beribu buah jumlahnya.
Setiap kilang, tanpa mengira lokasinya, mesti menepati standard produksi global. Ini bermaksud setiap kereta wajib mencapai tahap kualiti yang ditetapkan oleh prinsipalnya. Inilah sebabnya mengapa setiap kenderaan yang sudah melepasi bahagian produksi mesti melalui pemeriksaan kualiti yang ketat.
Selain dari itu, Volvo Car Malaysia juga mengekspot model Volvo yang dipasang di Shah Alam ke negara-negara seperti Indonesia, Filipina, Taiwan, Thailand, dan Vietnam.
Ini menjadi bukti dan jaminan bagi kebolehan produksi Anak Malaysia dan kualiti bagi kereta yang dipasang di Malaysia – yang tinggal hanyalah kestabilan ekonomi, pentadbiran serta polisi negara bagi mendorong lebih banyak lagi pelaburan asing di Malaysia.
Kadangkala, CKD lebih bagus daripada CBU
Selalunya, kereta yang dipasang secara domestik (bergantung kepada kandungan tempatannya) layak menerima insentif dan pengecualian cukai daripada kerajaan. Penjimatan ini kemudiannya disalurkan kepada konsumer dalam bentuk peralatan yang lebih baik ataupun menurunkan harga kereta.
Salah satu contohnya boleh dilihat pada sedan Mercedes-AMG C 43. Apabila ia mula-mula diperkenalkan sebagai unit CBU, ia dijual dengan harga RM 499,888. Tapi, kini ia dijual dengan harga RM 421,888 apabila ia dipasang di kilang Mercedes-Benz Malaysia di Pekan – penjimatan yang agak besar sebanyak RM 78,000.
Satu lagi kelebihan bagi mempunyai pemasangan CKD ialah ketersediaan alat ganti kenderaan terlibat. Alat ganti akan lebih mudah didapati kerana pusat alat ganti boleh memesan barangan dari penjual tempatan yang juga menjadi pembekal kepada kilang-kilang pembuatan kereta.
Tambahan pula, ada kalanya alat ganti yang digunakan bagi kereta CKD boleh jadi lebih bagus daripada alat ganti kereta CBU. BMW yang dipasang secara domestik, contohnya, mempunya sistem penyejukan dan komponen getah yang berbeza dengan model impot/recond. Kereta-kereta tempatan mepunyai kelebihan dari segi komponen ‘spec’ pakej iklim panas yang berbeza.
Toyota Camry Hybrid yang terdahulu (model serba baru terkini tidak lagi ditawarkan sebagai hibrid) dipasang secara domestik dan bateri hibridnya disesuaikan bagi keadaan pemanduan tempatan – satu penambahbaikan yang tiada pada Prius impot.
Pada tahun 2020, Honda Malaysia pula membuka kilang pemasangan bateri hibrid pertama di Malaysia (Honda menggelarnya IPU, Intelligent Power Unit) untuk City RS dengan i-MMD.
Jika dirumuskan, negara asal tidak sepatutnya dijadikan faktor utama dalam proses pembelian kereta anda. Samada CKD mahupun CBU, sama saja. Kereta CBU tiada kelebihan ketara berbanding kereta CKD. Apa-apa pun, pembelian kereta CKD pastinya pilihan yang lebih berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.