BMW 5 Series E60 terpakai - Sedan eksekutif kegilaan Malaysia, serendah RM 35k tapi apa isu?
Faisal Β· Oct 2, 2021 02:00 PM
0
0
Bagi anda yang belum tahu, BMW 5 Series generasi kelima (E60) adalah cetusan idea sedan eksekutif di zaman BMW era baru. Selain kemajuan dari segi teknologi, 5 Series E60 juga tampil dengan gaya moden yang dihasilkan oleh Chris Bangle.
Walaupun sudah berusia 15 tahun, penampilan dan pemanduannya masih βtak lapuk dek hujan, tak lekang dek panasβ. Yang bezanya, harga sekarang jauh lebih murah berbanding masa baru dulu.
Hari ini, anda boleh membelinya dengan harga RM 35k sahaja. Walau elektronik kereta ini agak kompleks, ia tetap sebuah sedan keluarga yang tahan dan selesa jika anda pandai menjaganya. Untuk itu, mari kita lihat dengan lebih terperinci.
5 Series E60 secara global ditawarkan dengan enjin 2.0L 4 silinder sehinggalah ke 5.0L V10 yang ada pada M5.
Kebanyakan unit yang dijual di pasaran kita pula terdiri daripada enjin 6 silinder sebaris. Ia menguasai varian 520i (kemudiannya menjadi 523i), 525i dan 530i.
Secara amnya, model pra-facelift menggunakan enjin M54. Model facelift (LCI) pula hadir dengan enjin N52 yag mana ia banyak menggunakan bahan aluminium. Secara standard, kesemua varian menggunakan transmisi automatik 6 kelajuan yang menghantar kuasa ke roda belakang.
Enjin BMW 5 Series E60 pra-facelift (M54)
Model / Enjin
Output
Transmisi
520i 2.2L 6 silinder sebaris
170 PS, 210 Nm
6AT
525i 2.5L 6 silinder sebaris
192 PS, 245 Nm
6AT
530i 3.0L 6 silinder sebaris
231 PS, 300 Nm
6AT
Bercakap mengenai LCI, ia diperkenalkan ke Malaysia pada tahun 2008. Model LCI juga menampilkan tombol gear jenis elektronik.
Enjin BMW 5 Series E60 facelift (N52)
Model / Enjin
Output
Transmisi
523i SE 2.5L 6 silinder sebaris
190 PS, 230 Nm
6AT
525i 2.5-litre 6 silinder sebaris
218 PS, 250 Nm
6AT
530i 3.0-litre 6 silinder sebaris
272 PS, 315 Nm
6AT
Varian mana yang patut anda beli?
Seperti kebanyakan enjin BMW 6 silinder, varian pertengahan 525i memberikan keseimbangan prestasi dan penjimatan minyak yang paling ideal. Untuk penggunaan dalam bandar, varian 520i (2.2L) yang kemudiannya digantikan dengan 523i SE (2.5L) pada model facelift sebenarnya lebih sesuai kerana ia lebih menjimatkan petrol.
Walaupun varian 530i paling laju di jalan lurus, varian 525i M Sport sebenarnya lebih syok untuk dipandu. Untuk makluman anda, pakej M Sport yang ditawarkan pada model 525i datang dengan gaya yang lebih agresif, rim 18 inci dan suspensi yang ditala khas. Ia juga 15 β 20 mm lebih rendah berbanding varian bukan M Sport.
Apapun, pastikan anda membeli 525i M Sport yang tulen kerana banyak pemilik asal sudah convert. Lagipun, unit yang tulen datang sekali dengan stereng M Sport.
Bagaimana dengan harga di pasaran sekarang?
Model yang berenjin M54 (tahun 2004 β 2007) kini berharga serendah RM 20k ke RM 25k. Unit yang dijaga dengan baik sekalipun tidaklah mencecah RM 30k.
Model facelift yang berenjin N52 (tahun 2008 β 2011) pula berharga dalam lingkungan RM 2+k dan mencecah RM 40k buat unit yang dijaga dengan baik. Kalau anda pandai berbincang, harganya boleh dikurangkan menjadi RM 35k.
Mengenai varian 530i, ia mempunyai harga roadtax tahunan sebanyak RM 2.2k. Disebabkan kurang permintaan, harga kini lebih kurang sama sahaja dengan model yang berkapasiti rendah. Untuk anda yang tidak kisah dengan harga roadtax, varian ini mungkin berbaloi untuk dibeli.
Apapun, cuba elakkan unit yang sudah diubah suai audio, penggera ataupun sistem lampu.
Apa yang perlu anda teliti sewaktu membeli 5 Series E60?
Secara teknikal, BMW 5 Series E60 hadir dengan elektronik yang agak canggih. Jadi, amat penting untuk anda gunakan spesifikasi bateri yang betul kerana pelbagai isu sebenarnya berpunya daripada bateri yang tidak sesuai.
Kalau tidak, ia boleh menjejaskan komponen seperti sensor enjin, sistem iDrive, sistem audio, pam bahan api dan sistem penggera. Sesetengah varian juga menggunakan bateri jenis AGM. Jadi pastikan ia digantikan dengan jenis yang sama.
Antara perkara yang anda boleh pastikan juga adalah pada bahagian bawah kereta. Hal ini penting untuk periksa samaada terdapat kebocoran pada bahagian enjin dan transmisi ataupun tidak.
Sementara itu, anda juga boleh lihat keadaan tayar, bushing dan absorber. Lagipun, 5 Series E60 terkenal dengan absorber depan yang akan bocor apabila menghampiri jangka hayatnya.
Pada bahagian dalam, antara isu yang sering pengguna hadapi adalah seperti:
Kerusi depan yang mudah koyak
Pemegang cawan yang mudah patah (cuba uji sekiranya ia dapat buka & tutup dengan lancar)
Suis tingkap dan penyaman udara yang boleh terkopek dan rosak.
Skrin kluster instrumen dan paparan iDrive yang dipopularkan oleh 5 Series E60 juga boleh kabur dan gagal berfungsi. Namun demikian, membaiki paparan kluster tersebut tidaklah mencecah RM 300. Skrin iDrive pula boleh digantikan dengan unit terpakai.
Bagaimana pula dengan isu Active Steering?
Antara masalah yang sering dikaitkan dengan kebanyakan model E60 adalah kegagalan sistem Active Steering. Walaupun teknologi ini seperti datang dari masa hadapan, sistem yang digunakan sebenarnya agak kompleks. Tetapi isu yang buatkan ia rosak hanyalah berkait dengan:
Slip ring roda stereng
Modul Active Steering
Power steering rack
Mengenai slip ring, ia terletak pada belakang roda stereng dan diintegrasikan dengan sensor sudut stereng. Habuk yang terkumpul ataupun kegagalan spring arah yang ada dalamnya boleh buatkan slip ring tersebut gagal. Malah, ia boleh memberi bacaan sudut stereng yang tidak tepat.
Mengganti slip ring ini hanyalah setakat RM 1,200. Penukaran lebih awal sebenarnya boleh menyelamatkan anda daripada berbelanja lebih banyak di kemudian hari.
Berkenaan modul Active Steering pula, rata-rata isu sebenarnya berpunca daripada lonjakan voltan dalam sistem elektrik kereta. Itupun disebabkan oleh penggunaan bateri yang tidak tepat ataupun isu elektrik yang lain.
Kalau dibiarkan, ia boleh menjejaskan komponen steering rack pula. Apapun, penggantian steering rack terpakai sudah cukup yang mana ia memakan kos sekitar RM 1,500 sahaja.
Nak membela 5 Series E60 susah tak?
Dengan usia yang tidak terlalu tua, alat ganti tulen dan OEM buat 5 Series E60 cukup mudah untuk dicari. Malah di pasaran, bekalan komponen terpakai juga ada banyak.
Namun antara isu lain yang dikaitkan dengan sedan eksekutif ini termasuklah pada sistem penyejuk, suspensi dan brek.
Isu umum pada BMW 5 Series E60
Alat
Simptom
Kos (RM)
Termostat + housing
Suhu air tidak menentu
600
Expansion tank + penutup
Coolant bocor / pecah tiba-tiba
350
Absorber haus + bush (depan)
Perjalanan tak selesa / bunyi
1,600
Absorber haus + bush (belakang)
Perjalanan tak selesa / belakang tak stabil
2,800
Kehausan enjin + transmisi + bush differential
Engine bergegar / penukaran gear tersengguk
2,400
Valve cover / kebocoran oil filter housing
Kebocoran minyak enjin
1,000
Penyejuk minyak enjin
Kebocoran minyak enjin dan coolant
800
Cakera brek
Brek rasa bergegar
1,400
Khusus buat model pra-facelift (M54) pula adalah isu yang melibatkan:
Isu umum pada BMW E60 5 Series (enjin M54)
Alat
Simptom
Kos (RM)
Injap DISA gagal
Kehilangan kuasa / minyak tak jimat
1,200
Seal Vanos bocor
Kehilangan kuasa / minyak tak jimat
1,800
Pam minyak Transmisi
Kekasaran / penukaran gear tak lancar
3,000
Paparan skrin iDrive
Kabur / skrin kekuningan
750 (terpakai)
Isu yang sering disebutkan oleh pemilik model facelift pula merangkumi:
Isu umum pada BMW E60 5 Series LCI (enjin N52)
Alat
Simptom
Kos (RM)
Water pump rosak
Enjin 'overheat'
1,200
Kegagalan / Kebocoran Vanos
Kehilangan kuasa / minyak tak jimat
1,900
Ignition coil gagal
'Misfiring' / Kehilangan kuasa
650 / satu
Kegagalan solenoid transmission
Penukaran gear tersengguk / gear tergelincir
3,000
Konklusi
Walaupun dengan bermacam komponen dan software yang perlu dititikberatkan, BMW 5 Series E60 sebenarnya berbaloi untuk dibeli buat mereka yang dahagakan kereta eksekutif Jerman yang paling digilai suatu ketika dahulu. Dengan harga kini yang serendah RM 35k, barangkali inilah peluang untuk anda merasa. Sampai bila nak tengok sahaja kan?
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.