BMW M4 2021 serba baharu diperkenal – 510 PS/650 Nm, manual, dan Penganalisa Drift??
Mersita · Sep 25, 2020 10:00 AM
0
0
Kami pernah bincangkannya dahulu, dah lihat gambar intipannya, dan dah ceritakan perjalanannya tapi ada satu perkara yang membuatkannya jadi satu topik hangat – BMW M4 2021 serba baharu masih kekal dengan gril ‘kidney’nya yang memecah-belahkan pendapat di kalangan peminat (dan juga ‘haters’).
Dilancarkan melalui acara atas-talian pada hari Selasa lalu bersama-sama BMW M3 2021 serba baharu, satu perkara yang boleh dipersetujui ramai ialah M4 sememangnya tulen, berprestasi tinggi dan bergaya mantap!
Keempat-empat model siri M ini (dua M3 dan dua M4, lebih lanjut tentang ini nanti) dikuasakan oleh enjin ‘inline 6’ dengan dua pengecas turbo berkapasiti 3.0 liter, dipadankan pula dengan samada transmisi manual 6 kelajuan atau automatik 8 kelajuan.
M4 ada dua varian – M4 ‘asas’ dengan kuasa 480 PS dan tork 550 Nm, lagi satu M4 Competition seperti di dalam gambar-gambar ini dengan kuasa 510 PS dan tork 650 Nm yang memacu roda belakang.
M4 asas juga dipasangkan dengan ‘paddle-shifters’ untuk kawalan lebih mudah.
Kereta ini juga mempunyai sistem ekzos yang spesifik untuk model ini bagi memberikan pengalaman lebih menyeronokkan dan mengujakan.
Banyak kelengkapan dan opsyen pemanduan baharu
Antara kelengkapan baharu yang unik bagi model M4 ini ialah Penganalisa Drift (‘Drift Analyser’) yang dijadikan sebagai kelengkapan pilihan. Ia digunakan untuk memberi pandangan tentang unjuran, sudut dan tempoh masa ‘drift’ pemandu.
Yang tinggal hanyalah fungsi ‘Share to Instagram’, kalau ada pun bagus juga.
Apa yang pasti ialah M3 dan M4 ialah pacuan semua rodanya iaitu yang pertama sekali bagi model-model ini. Sistem AWD M ini boleh dipilih untuk berikan anda lebih kuasa dan prestasi.
Reka bentuk badannya juga bukanlah untuk gaya semata-mata. Perinciannya semua ada fungsinya seperti rongga udara ekstra di kedua-dua belah gril utamanya untuk menyejukkan brek, atap fiber karbon untuk merendahkan pusat gravitinya, dan pelbagai lagi perincian aerodinamik di sekeliling badan keretanya. Pastinya dengan kuasa sebegini, kereta ini perlu cukup seimbang untuk dipacu keras di trek.
Model M4 merekodkan 4.2 saat untuk pecutan 0 – 100km/jam manakala 3.9 saat untuk varian M4 Competition.
Kejuruteraan di sebalik badan yang cantik
Antara perincian yang dipadatkan sebagai rangka kereta ini termasuklah suspension M adaptif dengan penyerap hentakan yang dikawal secara elektronik, ubah-suai gandar hadapan dan belakang yang spesifik untuk model M, sistem pembrekan yang baru dengan brek M Compound sebagai standard serta seramik karbon sebagai pilihan.
Ia juga diberi rim aloi M-light bersaiz 18 inci di hadapan dan 19 inci di belakang. Model xDrive yang akan datang akan diberi rim bersaiz 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang.
Ruang dalaman mengancam
Ruang kabinnya seperti yang boleh dijangkakan – dipenuhi dengan kemasan karbon, material jenis Alcantara dan kerusi berlapik kulit. Kerusi ‘bucket’ biru dan kuning dengan kemasan fiber karbon yang cukup mengujakan ini boleh dipilih.
Selain dari itu, ia juga didatangkan dengan kelengkapan ADAS yang sinonim dengan kenderaan BMW, termasuklah ‘front collision warning’ (FCW), ‘lane departure warning’ (LDW), dan juga paparan atas kepala.
Dah terpikat?
BMW akan mula menghantar model-model ini ke bilik-bilik pameran bermula Mac 2021. Senarai harganya belum lagi diumumkan. Pada hemat kami, model ini tampak cukup hebat ditambah pula dengan tahap kuasa dan teknologinya.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.