Bocor: Honda Civic FE - generasi baru Civic, 2 pilihan enjin VTEC!
Haris · Mar 11, 2021 03:00 PM
0
0
Sebagai sebuah model yang penting buat Honda, Honda Civic kini telah tiba masa untuk dikemaskini. Malah, Honda Civic FC generasi sekarang sudah sampai ke penghujung kitaran jangka hayat model. Ia kini sudah 6 tahun selepas pelancarannya pada tahun 2015.
Pada penghujung tahun 2020, Honda telah mempertontonkan versi prototaip kepada model Honda Civic generasi akan datang. Sebagai sebuah model global, ia telah ditayangkan atas talian secara global.
Kod model memberi petanda nama Civic FE
LVH merujuk kepada Honda Dongfeng, manakala FE adalah kod model Honda Civic generasi baharu
Baru-baru ini, liputan daripada media China telah memberi petanda yang jelas mengenai Honda Civic FE. Model ini dijangka akan dilancarkan di China menerusi Dongfeng Honda (proksi Honda di China) dengan 3 varian. Varian Honda Civic FE ini adalah varian pengenalan Civic 180 dan 2 varian Civic 240.
Civic 180, varian pengenalan. Perhatikan rekaan rim
Berdasarkan rekaan, Honda Civic FE versi pengeluaran masih mengekalkan kebanyakan perincian versi prototaip dengan sedikit sentuhan berlainan pada bahagian bumper hadapan dan rim.
Malah, Honda Civic FE kini lebih kelihatan seperti sebuah Honda Accord mini.
Civic 240 varian pertengahan. Hadir dengan rekaan rim 2 tona
Malah, rekaan bahagian belakang Honda Civic FE juga masih sama dengan versi prototaip sekiranya mengambil kira potongan pada bahagian muffler.
Civic 240 varian atas. Rekaan rim lebih agresif
Dari segi trenkuasa, Honda Civic FE spesifikasi China dijangka akan menggunakan 2 jenis enjin 1.5 liter. Enjin pilihan pertama adalah enjin 1.5 liter NA L15C7 (129 PS) dan pilihan kedua enjin 1.5 bercaj turbo L15C8 (180 PS). Kedua-dua enjin digandingkan dengan transmisi automatik jenis CVT.
Aksesori tambahan
Selain itu, model Honda Civic FE juga dijangka lebih panjang berbanding generasi FC. Malah, jarak antara roda juga 35 mm lebih panjang berbanding model terdahulu.
Dimensi Honda Civic
Dimension
Civic FC
Civic FE
Perbezaan
Panjang (mm)
4,648
4,674
+ 26
Lebar (mm)
1,799
1,082
+ 3
Tinggi (mm)
1,416
1,415
- 1
Jarak roda(mm)
2,700
2,735
+ 35
Berdasarkan spesifikasi yang dinyatakan oleh media China, Honda Civic FE juga lebih berat berbanding Honda Civic FC. Ini mungkin petanda tugas-tugas peredaman bunyi yang lebih baik pada model baharu tersebut.
Selain daripada tugas peredaman bunyi, berat tambahan pada Honda Civic FE juga dikatakan hasil daripada proses kimpalan baharu berteknologi laser yang bertujuan untuk menguatkan kerangka badan kereta.
Pelancaran di Malaysia?
Gambar intipan Honda Civic FE sudah pun ditemui di Thailand tetapi model tersebut dijangka akan tiba di Malaysia sekitar tahun 2022. Hal ini disebabkan oleh tempoh masa bagi penyesuaian pemasangan tempatan.
Jika anda berminat dengan Honda Civic FE, apa kata ikuti Wapcar-BM dan sertai kumpulan Wapcar-BM Peminat Kereta Malaysia bagi mendapatkan berita terkini mengenai Honda Civic FE di Malaysia!
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.