Selepas penantian panjang, 'Super moped' keluaran Honda yang berkemungkinan besar dikenali sebagai Honda RS-X 150 bakal menjengah pasaran tempatan dengan tarikh pelancarannya pada 1 November ini.
Perkembangan menarik itu diperoleh susulan teaser yang dikeluarkan Boon Siew Honda (BSH) mengenai kehadiran model baharu jenama itu dalam laman Facebook rasmi mereka, semalam.
"Yang dinantikan hampir tiba! Nantikan kemunculannya pada 1 November 2021 ๐๐๐" bersama tanda pagar #NyataTeruja #SemangatImpian #MYHondaMotorcycle
Meninjau reaksi yang diperoleh daripada teaser berkenaan, rata-rata menyatakan ia adalah model Winner X yang sememangnya amat dinanti-nantikan peminat jenama itu bagi menyaingi populariti satu lagi Super moped hebat, Yamaha Y16ZR.
Sekalipun BSH terus mengunci mulut, perkhabaran mengenai kehadiran Honda RS-X atau dikenali Honda Winner X di Malaysia sudah lama terdedah menerusi laporan imej intip tunggang uji dan pendedahan dokumen paten.
Dan bermula pada September lalu, rangkaian pengedar motosikal jenama berkenaan di negara ini termasuk cawangan Impian X sudah pun membuka tempahan untuk model yang amat dinanti-nantikan itu.
Tidak seperti di Vietnam di mana Honda Winner X mempunyai banyak versi, Honda RS-X dijangka hadir pada versi paling tinggi iaitu dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Dari sudut trenkuasa, model ini akan dikuasakan enjin bersesaran 150 cc, 4 Lejang, 4 Injap, 1 Silinder, DOHC, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api PGM-FI yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan.
Kuasa yang dihamburkan adalah setinggi 15.4 Hp pada 9,000 rpm dengan tork 13.5 Nm pada 6,500 rpm.
Berikutan spesifikasi teknikalnya tidak banyak berubah berbanding model sedia ada iaitu RS150R V2, harganya berpotensi untuk tidak melebihi RM 10k namun apapun, hanya BSH mempunyai jawapan untuk soalan cepu emas itu.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.