Bunyi Toyota Corolla Cross hampeh? HKS ada kit ekzos ‘sedap’ untuk anda!
Faisal · Mar 17, 2021 10:00 AM
0
0
Dengan beransurnya teknologi kereta elektrik (EV) dan denda untuk ekzos bising di Malaysia, nampaknya dunia automotif kini cenderung ke arah sesuatu yang lebih senyap. Apapun, tuner HKS dari Jepun ingin perbetulkan ajaran ‘sesat’ ini dengan perkenalkan kit ekzos untuk Toyota Corolla Cross.
Kejap. HKS???
Jenama tuner terkemuka, HKS, terkenal dengan pelbagai projek kereta yang hebat. Salah satunya ialah projek enjin Nissan Skyline GT-R R32 yang dinaik taraf untuk menghasilkan 600 PS tetapi dengan penggunaan petrol serendah 5 liter/100 km.
HKS Thailand telah membangunkan siri muffler‘Legal’ untuk Corolla Cross. Kit ini menghasilkan bunyi yang lebih sporty tetapi tidaklah sampai memekakkan telinga.
Secara teknikal, kit ini merangkumi paip tengah yang dinaik taraf, kotak muffler, dan kemasan gentian karbon pada muncung ekzos.
Diperbuat dari bahan stainless steel SUS304, bunyi yang dihasilkan hanya 6 dB lebih kuat daripada ekzos standard. Paling kuatpun setakat 82 dB sahaja. Nak dengar? Lihat video di bawah.
Kalau anda perhatikan, Corolla Cross HKS Legal ini tidak lagi nampak seperti standard.
Pada bahagian depan dan sisi, ia memakai kit badan Ideo Sport dari Siam Bodykit. Disebalik roda yang besar pula ialah set brek Wilwood.
Dengan badan yang lowered, Corolla Cross HKS Legal nampak cukup ranggi.
Corolla Cross di Malaysia
SUV segmen B ini akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Minggu lepas, Toyota Malaysia telah mengeluarkan satu iklan ringkas yang menunjukkan sebuah tarikh keramat. Kami yakin bahawa tarikh tersebut merujuk kepada pelancaran Toyota Corolla Cross.
Sewaktu pelancaran, Toyota Corolla Cross dijangka hadir dengan dua varian. Kedua-duanya dikuasai oleh enjin 1.8L aspirasi natural yang menghasilkan 139 PS dan 172 Nm tork. Varian hibrid pula akan beransur kemudian.
Dengan harga yang lebih kompetitif, SUV segmen B ini bakal bersaing sengit dengan Honda HR-V, Subaru XV, dan Proton X70.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.