Cap ayam: Bagaimana nak tahu aksesori dan barang kereta yang anda beli itu asli?
Zamil Syaheer · Jul 8, 2020 05:00 PM
0
0
Jika anda lihat di sekeliling anda, terdapat banyak pemilik kenderaan yang menambah atau menukar pelbagai jenis aksesori daripada nut tayar, tempat duduk, ataupun stereng untuk tampak lebih ranggi.
Memang tidak dinafikan bahawa rakyat Malaysia kreatif dan suka untuk menggayakan kereta mereka.
Namun begitu, ada yang terlepas pandang, tidak tahu, ataupun mengambil ringan betapa bahayanya penggunaan aksesori palsu yang berkualiti rendah di kenderaan anda. Malah, ia sebenarnya membahayakan nyawa anda sendiri.
Antara jenama aftermarket yang terkenal adalah seperti Momo, Nardi, Bride, Rays Engineering, Brembo dan sebagainya.
Ini antara jenama dambaan kaum lelaki (wanita juga ada) untuk membuatkan kereta tampak lebih bergaya dan juga menambah baik prestasi baik dari segi kawalan pengendalian ataupun perasaan memandu. Tapi betul ke?
Dalam rencana ini, kami akan terangkan bagaimana untuk mengetahui barang aksesori (ataupun selalu disalah sebut sebagai aksesori kereta sukan) yang anda ingin gantikan adalah barang palsu dan tidak.
Harga
“You get what you paid for”. Ini benda pertama yang paling senang untuk menilai. Jika harganya kedengaran seperti tak masuk akal (terlalu murah), besar kemungkinan ianya palsu. Nasihat kami ialah sila buat uji kaji harga barang tersebut dan ada untuk model kereta apa di laman web pengeluar produk.
Jika tidak ada tanda harga, buatlah perbandingan di laman e-dagang atau ruangan classified seperti Shopee, Mudah.my, Carousell dan Facebook Marketplace.
Jika anda ingin lebih maklumat, buatlah uji kaji dimana asalnya produk itu dikeluarkan. Contohnya, jenama Bride asalnya dari Jepun. Disana, ramai yang menjual barangan mereka di ruangan classified Japan Yahoo Auction.
Anda boleh memilih untuk melihat harga baru ataupun terpakai. Dari situ anda dapat menilai dengan lebih tepat berapakah harga sesebuah model atau barangan tersebut.
Kemasan
Cuba sentuh dan lihat barangan tersebut dengan lebih terperinci. Selalunya, tekstur dan tahap ketumpatan barangan palsu agak kasar. Malah, anda boleh menilai hanya dengan melihat/menyentuh logo dan huruf/perkataan.
Kualiti pelekat yang ada juga boleh menimbulkan tanda tanya sama ada ianya asli ataupun palsu.
Jika anda mempunyai rakan yang memiliki barangan dari jenama yang sama, anda boleh membuat perbandingan dengan lebih tepat.
Kekuatan
Dah nama pun palsu kan, nak cakap apa lagi? Produk asli telah diuji berkali-kali serta melalui garis panduan dan tahap produksi yang sangat ketat bagi memastikan tahap kekuatan sesebuah produk berada di piawaian tertinggi.
Oleh sebab itu harganya mahal kerana setiap kecacatan dan kerosakkan telah dibetulkan sebelum ia dipasarkan.
Ambil contoh stereng jenama Nardi, antara sebuah jenama popular di kalangan peminat kereta. Nardi ini berasal dari Itali dan ditubuhkan pada tahun 1951 oleh pengasasnya Enrico Nardi.
Dia adalah seorang jurutera, pelumba kereta dan pereka. Malah dia adalah pemandu percubaan Ferrari yang pertama, sebab itu anda lihat banyak Ferrari klasik datang dengan stereng Nardi.
Dipendekkan cerita, banyak pengeluar kenderaan lain seperti Mazda, Subaru, Lamborghini, Lotus, McLaren, Volkswagen, BMW dan lain-lain pernah datang dengan stereng Nardi sebagai kelengkapan asas.
Jadi kenapa sejak kebelakangan ini tiba-tiba ada Nardi dari Thailand, dengan gentian karbon, titanium dan banyak lagi rekaan pelik pula?
Tetapi tidak kisahlah Nardi ataupun Momo sekalipun, lihat video di atas bagaimana bahayanya memakai stereng palsu. Amacam? Berbaloi ke tidak semata-mata untuk gaya sahaja?
Lihat katalog di laman web jenama tersebut
Saban tahun setiap jenama aftermarket akan mengeluarkan katalog produk terbaharu mereka yang penuh lengkap dengan gambar, harga, spesifikasi, warna dan sebagainya. Zaman internet ini, kebanyakkan boleh dilihat secara dalam talian dengan mudah.
Informasi yang ada akan memudahkan anda untuk membuat anggaran harga barang yang ingin dibeli serta lokasi pengedar sah barangan tersebut.
Jika tiada pengedar di Malaysia, anda boleh meletakkan pesanan dalam talian secara terus di laman web jenama barangan tersebut ataupun laman pembekal dalam talian seperti RHDJapan dan Nengun.
Alternatif lain yang anda boleh lakukan ialah dengan meminta servis barangan dari sana melalui syarikat yang menawarkan perkhidmatan membeli untuk anda dengan caj tertentu (seperti pembeli peribadi).
Cara yang lebih jimat adalah dengan membeli secara terpakai melalui beberapa pengedar barangan halfcut yang boleh dipercayai seperti Sinar Modifikasi ataupun Velocity Stage (kedua ini kebanyakkan menjual barang dari Jepun), namun tidak semestinya barang aksesori yang anda inginkan itu ada kerana semua ini bergantung kepada nasib.
Akhir sekali, setiap barangan asli mempunyai nombor siri yang boleh disemak untuk memastikan apa yang anda beli itu asli.
Kesimpulan
Kami berharap tips ringkas kami ini mampu membantu anda untuk tidak terpedaya dengan barangan aksesori yang nampak macam asli namun sebenarnya palsu mahupun memakai barangan palsu itu sendiri kerana ia lebih banyak keburukan dari kebaikan.
Biarlah berbelanja mahal sekali, janji anda rasa tenang kerana tahu ia adalah asli, sudah diuji ketahanannya, kualiti terjamin, ada waranti serta tidak membahayakan anda dan orang disekeliling. Malah ada juga yang memberikan waranti seumur hidup.
Kalau masih belum mampu lagi, kumpul duit perlahan-lahan dan jangan gopoh kerana anda bukan nak berlumba-lumba dengan sesiapapun. Tiada guna mengejar status atau konon ingin menjadi raja di media sosial atau dalam demi mengejar Like dan Followers.
More than 10 years experience, specialising in Motorsports, Advanced Driving, Event Management & Creative Design. He enjoys driving (drifting, actually) anything RWD with a proper LSD over the limit. Versatility is his motto and mantra.