Cara ‘run-in’ kereta baru – Ini cara kami 'run-in' Ativa baru!
Mersita · Mar 23, 2021 08:00 PM
Apabila anda membeli kereta yang serba baru, anda perlu menjalankan sesi ‘run-in’ bagi 1,000 km pertamanya. Pemilik disarankan untuk tidak ‘melenjan’ atau pandu dengan kasar sejurus selepas kereta diambil dari bilik pameran. Sama juga dengan Perodua Ativa baharu kami – kami jalankan sesi ‘run-in’ terlebih dahulu.
Bagaimana caranya nak ‘run-in’ kereta?
Pandu kereta dengan lembut dan berhati-hati dan jangan langkaui kadar rpm serta hadlaju yang tertentu. Di dalam setiap buku panduan pemilik kereta, jangkamasa yang diperlukan untuk ‘run-in’ dinyatakan dengan jelas.
Bagi Perodua Ativa pula, kaedah ‘run-in’ yang disarankan adalah seperti berikut:
Jangan dipandu lebih dari 90 km/jam
Jangan dipandu pada kelajuan sama dalam jangkamasa yang lama – samada laju mahupun perlahan
Elakkan pacuan mengejut yang tinggi
Elakkan brek mengejut kecuali dalam keadaan kecemasan, terutama sekali bagi jarak tempuh 300 km pertama
Adakah panduan ‘run-in’ berbeza-beza mengikut kereta?
Panduan ‘run-in’ mungkin berbeza antara berlainan kereta. Tapi, secara amnya, anda hanya perlu memandu dengan cermat dan lembut.
Contohnya, Toyota Hilux mengagihkan jangkamasa untuk ‘run-in’ kepada tiga peringkat. Pengeluar juga menyarankan pemilik untuk mengelakkan pemanduan pada gear rendah secara berterusan.
Bagi Toyota Prius pula, jangkamasa/proses ‘run-in’ dibahagikan kepada dua peringkat dengan arahan yang mudah untuk diikuti.
Bagaimana kami ‘run-in’ Ativa kami sendiri?
Kaedah untuk ‘run-in’ kereta baru secara amnya lebih kurang sama tak kira apa-apa model sekalipun, namun ada pengeluar yang menyarankan kaedah lebih ketat aturannya berbanding yang lain.
Memandangkan kami merancang untuk menjalankan beberapa ujian ketat terhadap Ativa secepat mungkin, kami bergilir-gilir memandu Ativa bagi mempercepatkan proses ‘run-in’ ini.
Bagi Ativa, kami akan pandu dalam kondisi trafik yang sederhana di sekitar bandar. Gabungan antara trafik terhenti-henti dan jalan lurus yang luas dan panjang membolehkan kami melaksanakan ‘run-in’ seperti yang disarankan di dalam buku panduan pemilik.
Kami sasarkan capaian 1,000 km pada odometer dalam masa seminggu dan kami sudahpun tetapkan temujanji untuk pemeriksaan 1,000 km pertama.
“Bosan lah nak ‘run-in’ bagai. Kenapa kena buat?”
Proses ‘run-in’ bagi kereta baharu amat penting bagi memastikan jangka hayat kereta yang panjang.
Proses ‘run-in’ adalah untuk membolehkan komponen-komponen bergerak di dalam kereta untuk diselaraskan antara satu sama lain. Sasaran utama bagi ‘run-in’ enjin adalah supaya cincin omboh (piston rings) terletak pada posisi yang optimum dengan dinding silinder. Komponen ini haruslah membentuk kedapan dan salutan minyak yang sempurna untuk perjalanan operasi yang sempurna.
Jika cincin omboh ini tidak terletak pada tempatnya dengan sempurna, kereta mungkin tidak dapat mencapai kecekapan minyak atau menjana kadar kuasa yang sepatutnya.
Kedapan yang sempurna amat penting bagi memastikan semua kuasa yang dijana terkandung di dalam kebuk pembakaran. Kedapan yang kurang baik berpotensi untuk menimbulkan masalah ‘blow-by’ atau pelepasan tekanan, dan ini akan menyebabkan pembaziran kuasa dan kecekapan yang kurang dari sepatutnya.
Adakah proses ‘run-in’ hanya untuk enjin sahaja?
Bukan untuk enjin saja – tayar dan brek juga perlu ada proses ‘run-in’ untuk dapatkan seberapa banyak faedah yang boleh. Ia sama seperti kasut baru – kenalah ‘gigit’ dulu.
Jika anda pilih filem gelap (tint) bagi cermin kereta anda, ia juga perlukan masa untuk ‘set’ betul-betul. Beringat-ingat untuk tidak menurunkan cermin sepenuhnya bagi beberapa hari pertama – anda boleh tanya penasihat jualan untuk jangkamasa yang optimum.
Adakah proses ‘run-in’ sukar untuk dilakukan?
Senang saja – anda hanya perlu banyakkan bersabar kerana anda perlu elakkan pacuan keras dan brek keras. Pandu saja dengan lembut dan cermat.
Hadlaju 90 km/jam tidak dinyatakan bagi kebanyakan kereta. Tapi, jika ia ada dinyatakan, cuba pandu di sekitar kawasan bandar sahaja bagi mengelakkan kecenderungan untuk memandu terlalu laju. Pemanduan di kawasan bandar juga mempelbagaikan rpm dan kelajuan pemanduan anda – aspek yang bagus bagi proses ‘run-in’.
Kesimpulan
‘Run-in’ kereta serba baharu adalah sesuatu yang harus anda lakukan. Panduan bagi hal ini dinyatakan dengan jelas di dalam buku panduan pemilik kereta anda. Panduan, arahan atau langkah-langkahnya mungkin berbeza-beza antara buatan dan model berlainan. Namun secara amnya, anda hanya perlu pandu dengan cermat.
Ia bukanlah sukar untuk dilakukan dan ia memastikan kereta anda sendiri tahan lebih lama.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen