CFMoto 450SR (2023) kini rasmi di Malaysia, unit CKD, harga RM 28.2k!
Khairil · Mar 22, 2023 08:00 PM
Selepas sekian lama berteka teka teki, motosikal 'Sportbike' yang mula ditayangkan ketika Grand Prix Malaysia tahun lalu, CFMoto 450SR (2023) akhirnya memiliki tanda harga dan rasmi dijual di pasaran Malaysia.
Kehadiran motosikal berkenaan diumumkan oleh CFMoto Malaysia bersama penawaran harga menarik RM 28,888.
Harga berkenaan seperti biasa adalah asas dan tidak termasuk yuran pendaftaran, insurans, cukai jalan.
Pilihan warna Putih
Kepada yang tidak maklum, pengeluaran dan jualan CFMoto di pasaran Malaysia ketika ini tidak lagi diuruskan oleh pengurusan terdahulu bermula tahun ini. Dan untuk CFMoto 450SR (2023) di pasaran tempatan, ia adalah model pemasangan tempatan (CKD).
Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Hitam dan Putih.
Selain pengumuman rasmi di Malaysia, CFMoto 450SR (2023) turut membuat penampilan rasmi di peringkat global di Istanbul, Turkiye. Majlis berkenaan turut dihadiri beberapa media dari Malaysia.
Bermula sebagai model konsep, CFMoto 450SR (2023) seperti diketahui memiliki rekaan yang cukup 'Sporty' bagaikan jentera lumba dan menariknya, turut memiliki 'winglet' seakan jentera MotoGP. Menurut CFMoto, ia bukan sekadar suka-suka namun memiliki tujuan tersendiri iaitu meningkatkan kestabilan ketika kelajuan tinggi.
Mengulas spesifikasi CFMoto 450SR (2023), ia menggunakan enjin bersesaran 449.3, 2 Silinder, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac Slipper.
Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 49.6 Hp pada 9,500 rpm dan tork 40.7 Nm pada 7,600 rpm.
Sebagai model serba baharu dan canggih, enjin motosikal ini diposisikan pada kedudukan penting di pusat graviti serta turut memiliki 'shaft' imbangan berganda bagi mengurangkan kesan getaran.
Menurut CFMoto, motosikal ini berupaya melakukan kelajuan 0-100 km/j dengan catatan kurang 5 saat. Kelajuan boleh melebihi 190 km/j.
Menggunakan panel meter jenis digital TFT 5 inci, seperti motosikal moden lain, CFMoto 450SR (2023) turut memiliki teknologi sambungan ke telefon bimbit menerusi Bluetooth serta aplikasi CFMoto Ride App. Justeru, ia lengkap dengan sistem navigasi dan sebagainya.
Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) di depan dan penyerap hentak tunggal dengan ciri pelarasan (belakang). Sistem henti pula dijana cakera tunggal 320 mm dengan kaliper Brembo M40 (depan) dan cakera 220 mm dengan kaliper tunggal di belakang.
Ia turut dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dari jenama Bosch.
Informasi penting lain adalah seperti:
Tinggi pelana 795 mm
Kapasiti tangki minyak 14 liter
Berat 168 kg
Set roda 110/70-17 (depan), 150/60-17 (belakang) - Rim aloi ringan
Sistem lampu LED penuh termasuk lampu siang (DRL)
Setiap pembelian CFMoto 450SR (2023) akan menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).
Kepada yang berminat, motosikal ini dijadual tiba di pengedar sah CFMoto Malaysia seluruh negara bermula minggu ini.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen