Chery adalah kereta China PERTAMA yang utamakan Malaysia, bukan Geely. Ini 3 sebab utama!
Faisal · Oct 29, 2022 12:00 PM
Perubahan format pandu belah kiri (LHD) kepada pandu belah kanan (RHD) yang menyeluruh
Dalam masa 3 bulan selepas debut di China, Omoda 5 terus disahkan untuk Malaysia
Prebiu pertama kelengkapan di pasaran kita yang sarat dengan pelbagai ciri
Semalam, telah berlangsungnya prebiu awal buat jenama kereta China yang tidak asing di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu iaitu Chery. Walaupun dahulunya setakat itu sahaja, Chery sekarang nampaknya kembali dengan era Chery 4.0 mereka melalui barisan produk yang jauh lebih mengagumkan dan luar biasa hebat.
Tetapi tahukah anda bahawa Chery boleh dikatakan sebagai jenama kereta China pertama yang mengutamakan dan memenuhi kehendak pasaran kita? Apa yang kami maksudkan di sini adalah usaha mereka mengubah format pandu belah kiri (LHD) di China kepada format pandu belah kanan (RHD) dengan begitu menyeluruh sekali. Semuanya semata-mata untuk menyesuaikan dengan pasaran seperti Malaysia.
Antaranya aspek yang dapat dilihat terus sewaktu kami membuat tinjauan semalam adalah pada kawalan tombol lampu isyarat yang mana ia ditukar ke belah kanan.
Konsol tengah pada Chery Tiggo 4 Pro.
Begitu juga pada bahagian konsol tengah yang mana susunan dan butang kawalan yang relevan dengan pemandu (Tiggo 4 Pro, 7 Pro & 8 Pro) telah diubah suai untuk tetapan pandu belah kanan. OMODA 5 juga tidak terkecuali.
Chery Omoda 5 yang ada dalam tontonan.
Bercakap mengenai ini, tiga bulan selepas debut di China, OMODA 5 juga terus disahkan untuk tembus pasaran Malaysia. Malah, dalam acara semalam, ia dikatakan sebagai prebiu pertama buat OMODA 5 versi RHD. Lihatlah betapa tingginya Malaysia di mata mereka.
Kembali kepada topik format LHD ke RHD, berdasarkan prebiu semalam, isu ergonomik yang terdapat pada kereta Eropah di pasaran kita seperti ruang kaki yang kekok serta posisi duduk yang kurang semula jadi pada tempat duduk hadapan juga tidak ada pada model-model Chery ini. Hebat kan? Kereta Eropah yang terkenal dengan kejuruteraan pun boleh kompromi dalam bab ini tetapi Chery nampaknya lagi ikhlas dalam membangunkan kereta.
Kabin Chery Tiggo 7 Pro.
Bercakap mengenai ikhlas, ciri yang didatangkan sebagai gambaran awal pada prebiu semalam juga macam sesuai dengan permintaan pasaran kita yang boleh dikatakan cerewet. Itu ini semua nak.
Antaranya ciri yang dimaksudkan adalah seperti bumbung suria, Apple CarPlay/Android Auto, enjin turbo “tekan-tekan preggy”, sistem audio canggih dan lampu ambient lighting.
Kalau melihat kepada pesaing di segmen B, C dan D, memang terserlah bezanya.
Satu lagi adalah penggunaan cermin sisi depan jenis 'double-glazed' pada model Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro semata-mata untuk mengurangkan kadar bunyi dari luar.
Secara keseluruhan, apa yang kami hendak sampaikan di sini ialah mengubah format kiri kepada kanan tidak semudah ABC kerana sistem logik elektronik dan fabrikasi modul pun harus diubah. Ia semestinya akan memakan kos yang lebih tinggi. Perkara inilah yang selalu kereta buatan Eropah berkompromi, tidak kisahlah secara sengaja atau tidak.
Jadi, tabik penuh terhadap usaha Chery dalam meluangkan lebih masa untuk membangunkan versi RHD secara menyeluruh untuk pasaran yang berkait, terutamanya di Malaysia yang serba kompetitif ini.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.
Komen