Chery rekod jualan Januari tertinggi dalam sejarah, kini ada lebih 10 juta kereta di seluruh dunia!
Faisal · Feb 23, 2022 08:00 PM
0
0
Chery Group menyaksikan permulaan tahun yang menggalakkan dengan jualan sebanyak 107,710 unit pada Januari 2022, mewakili peningkatan 20% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021 (YoY) dan mencatat bulan Januari terbaik dalam sejarahnya dari segi jualan.
Daripada jumlah tersebut, 26,900 unit dijual di luar China (+60.9% YoY), memaparkan trend perkembangan stabil, terutama di pasaran-pasaran utama seperti Rusia, Chile, Brazil dan Mesir, di mana jualan dan bahagian pasaran Chery terus meningkat.
Di Rusia, yang mana Chery telah beroperasi selama 17 tahun, jualan Januari 2022 telah melonjak 47% YoY, menempatkannya di kedudukan ke-10 antara semua jenama automotif. Tiggo 7 Pro pula merupakan model terlaris Chery di Rusia pada Januari.
Chery juga berjaya menduduki tempat kedua di Chile pada Januari dengan jualan 2,969 unit (+188% YoY), mewakili 8% bahagian pasaran. Chery turut mengungguli segmen SUV pada Januari dengan 20.5% bahagian pasaran – model Tiggo 2 menjadi penyumbang terbesar.
Di Brazil, Chery kekal di antara 10 jenama kenderaan penumpang terlaris dengan jualan 3,131 unit (+36.6% YoY) untuk menguasai 3.4% pasaran pada Januari. Arrizo 6 Pro menduduki tempat keempat dalam segmen kereta dengan 6.47% penguasaan pasaran. Chery Tiggo 3X, Tiggo 8, Tiggo 5X serta model lain terus mendapat sambutan yang baik.
Di Mesir, jualan Chery turut mencatat peningkatan stabil dengan 1,658 unit (+87.3% YoY) pada Januari, setelah mencapai rekod pada Disember 2021 dengan menduduki tempat ketiga keseluruhan jualan kenderaan. Tidak cukup dengan itu, 2,186 kenderaan Chery telahpun didaftarkan dalam bulan lepas.
Setakat ini, terdapat lebih 10 juta pengguna Chery di seluruh dunia, termasuk 1.95 juta pengguna di luar China. Pada 2022, dengan perasmian Chery’s Future Factory of Intelligent Connected Vehicles, penambahbaikan dari segi teknologi, produk dan jenama, pelancaran produk baharu seperti OMODA 5 serta pembangunan produk adaptif dan usaha globalisasi, jualan Chery Group dijangka melangkah ke tahap baharu.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.