Cub Prix 2021 - Nazirul Izzat raih kemenangan pertama buat Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor!
Khairil · Apr 5, 2021 04:00 PM
Seperti jangkaan, pusingan kedua perlumbaan Petronas Cub Prix 2021 terus menyajikan episod sama yang menyaksikan penguasaan jentera buatan Yamaha.
Jagoan baharu pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat Mohd Bahauddin paling cemerlang di Litar Sepang Utara apabila menghadiahkan kemenangan pertama musim 2021 buat pasukannya, semalam.
Sekalipun petak utama dimiliki pelumba Honda, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team, ia tidak menghalang Nazirul yang bermula di barisan kedua untuk meraih kemenangan kedua kariernya dalam kelas elit CP150.
Nazirul melepasi garisan penamat perlumbaan 11 pusingan itu dengan catatan 14’38.028 saat dengan Azroy terpaksa berpuas hati di temat kedua manakala tempat ketiga juga menjadi milik pelumba Honda dari SCK Honda Racing Team, Mohd Izam Ikmal.
Podium kelas CP150
“Saya begitu berpuas hati dengan keputusan hari ini. Kemenangan ini sememangnya begitu berharga bagi saya," kata Nazirul. "Setelah lebih enam bulan tidak beraksi akibat kecederaan tangan, kemenangan ini telah memulihkan tahap keyakinan saya untuk terus berjuang untuk merebut takhta CP150 musim ini.
Nazirul Izzat Mohd Bahauddin
"Kemenangan ini lebih berharga kerana ianya seandai hadiah awal untuk pasukan baru saya, Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor yang kali terakhir meraih kemenangan dalam kelas CP150 pada 2019 di Kangar, Perlis.
Podium kelas CP125
Sementara itu, perlumbaan akhir CP125 dimenangi Mohd Adib Rosley dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team dengan catatan masa 11’27.095 s.
Pelumba pasukan pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, Mohd Hafiza Rofa meraih tempat kedua dengan Ahmad Syukran Aizat melengkapkan kedudukan podium.
Mohd Adib Rosley
Dalam kategori Wira KBS pula, pasukan Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing tetap dominan dalam kategori junior itu apabila sekali lagi menyapu bersih podium perlumbaan Wira Akhir.
Mohd Aqil Danial Nasrul menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan 10’07.020s diikuti Danial Johan dan Mohd Syamil Amsyar Mohd Iffende.
Sebagai info, pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2021 dijadual berlangsung di Litar Tangkak, Johor pada 22 dan 23 Mei nanti.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen