Di Jepun, Toyota Yaris Cross ada 6 bulan senarai menunggu – lebih panas dari Perodua D55L/Raize!

Mersita · Jan 04, 2021 06:00 PM

Dalam barisan model Toyota di Jepun, Toyota Yaris Cross dan Toyota Raize (model asas untuk Perodua D55L) berada dalam posisi yang agak bertindih antara satu sama lain. SUV segmen B ini dijual pada harga yang agak sama antara satu sama lain dan kedua-duanya mengejar kumpulan pelanggan yang lebih kurang sama saja. Tapi, inilah realitinya bagi pasaran kereta Jepun yang agak tepu.

Tambahan pula, permintaan dalam pasaran SUV mahukan pilihan yang lebih pelbagai. Bagi mereka, lebih baik mereka kalah jualan dengan model sendiri daripada kalah dengan model jenama lain.

Toyota Yaris Cross dijual pada harga bermula dari 1.896 juta - 2.815 juta Yen, manakala Toyota Raize pula bermula dari 1.679 juta - 2.282 juta Yen.

Yaris Cross dikuasakan oleh enjin ‘naturally aspirated’ 1.5 liter (enjin sama juga boleh didapati sebagai hibrid) manakala Toyota Raize cuma boleh didapati dengan enjin berpengecas turbo 1.0 liter (tanpa hibrid).

Gambar dari Web Motor Magazine

Di Jepun, Toyota Yaris (termasuk Yaris Cross) kini ialah kereta paling laris di sana, tapi Toyota tidak mengasingkan angka jualan bagi Yaris Cross dengan Yaris biasa. Wakil jualan di Jepun berkata yang Yaris Cross menyumbang hampir separuh (45 peratus) kepada jualan barisan model Yaris.

Ruang dalaman Toyota Raize

Data terkini dari Japan Automotive Dealers Association menunjukkan yang 19,921 unit Toyota Yaris terjual pada bulan November. Jika kita anggap 45 peratus daripadanya adalah Yaris Cross, maksudnya ada 8,900 unit Yaris Cross yang terjual pada bulan itu.

Angka ini masih lagi rendah berbanding angka jualan Toyota Raize iaitu 10,627 unit. Akan tetapi, angka ini bukanlah gambaran keseluruhannya.

3 ahli dari keluarga Yaris, Yaris pasaran Asia Tenggara kita desenaraikan secara berasingan

Wakil jualan Toyota di seluruh negara Jepun sedang bertungkus-lumus untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan bagi Yaris Cross kerana masa menunggu bagi model ini sudah mencapai 6 bulan. Pembeli yang sudah menempah pada bulan Oktober, iaitu apabila model ini mula dijual, hanya boleh jangkakan yang kereta mereka akan tiba pada bulan Mac 2021.

Ruang dalaman Toyota Yaris Cross

Dalam erti kata lain, permintaan bagi Yaris Cross yang mahal sedikit itu sebenarnya jauh lebih tinggi berbanding Raize.

Kenapa model yang lebih mahal pula yang jadi lebih popular? Sebabnya mungkin akan menghairankan rakyat Malaysia – Toyota Raize agak tinggi sedikit bagi kebanyakan tempat letak kereta di Jepun.

Gambar dari Jim Gleeson

Jika anda nak tahu, apabila anda hendak membeli kereta di Jepun, anda terpaksa mengambil kira bukan saja faktor harga, tapi juga samada tempat letak kereta di rumah atau pejabat anda boleh memuatkan kereta itu atau tidak.

Toyota Raize mempunyai ketinggian 1,620 mm dan ukuran ini melebihi had ketinggian maksima di dalam kawasan letak kereta berbumbung di bandar-bandar negara itu, terutama sekali bangunan lama yang kebanyakannya mempunyai had ketinggian sekitar 1.55 atau 1.6 meter.

Dimensi
  Yaris Cross Raize
Panjang (mm) 4,180 3,995
Lebar (mm) 1,765 1,695
Tinggi (mm) 1,590 1,620
Jarak Roda (mm) 2,560 2,525

Ramai rakyat Jepun yang tinggal di apartment-apartment bandar. Di dalam bangunan yang lebih lama pula, ketinggian tempat letak kereta terhad kepada 1.6 meter saja.

Yaris Cross menggunakan 40:20:40 lipatan kerusi belakang

Yaris Cross yang lebih rendah mempunyai ukuran 1,590 mm – ngam-ngam bawah had 1.6 meter. Ia masih tak muat di dalam kawasan parkir berketinggian 1.55 meter, tapi sekurang-kurangnya ia boleh muat di dalam ruang parkir lain.

Toyota Yaris Cross

Tapi yang pastinya ini bukanlah satu-satunya sebab untuk angka jualannya yang tinggi. Yaris Cross juga tampak lebih sesuai dengan selera konsumer di sana. Raize pula tampak lebih ‘functional’, dalam erti kata lain ia dibina dengan mengambil kira kemahuan pasaran Asia Tenggara.

Oleh itu, kami pasti yang ia akan berjaya menarik minat ramai rakyat Malaysia apabila ia dilancarkan oleh Perodua kelak.

Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua D55L

Rebiu-rebiu oleh media Jepun juga mengatakan yang Yaris Cross mempunyai peluncuran yang lebih moden dan selesa. Tambahan pula, ia lebih senyap. Selain dari itu, kewujudan varian hibrid bagi model ini juga satu ‘plus point’ yang penting bagi rakyat Jepun.

Perodua D55L, yang nama rasminya belum disahkan lagi, akan dilancarkan di Malaysia pada bulan Mac 2021, dan ia pastinya akan dibanding-bandingkan dengan Proton X50. Ada yang menegaskan bahawa kedua-dua SUV ini tidak layak/patut dibandingkan bersama, tapi perkara ini cumalah atas sebab teknikal.

Perbezaan harga antara Perodua Aruz AV dan varian paling murah Proton X50 (Standard) hanyalah RM 6,000. Pastinya tak banyak ruang untuk meletakkan Perodua D55L dalam julat jurang harga ini. Samada anda hendak setuju atau tidak, konsumer masih lagi akan membanding-bandingkan dua model ini dalam proses pemilihan kereta baru mereka.

Komen