Yamaha Vietnam melancarkan jentera Super Moped yang paling dinanti-nantikan, bukan saja di Malaysia namun di seluruh rantau Asean iaitu Yamaha Exciter 155 VVA (Y15ZR) serba baharu di pasaran negara itu, semalam.
Tidak seperti Y15ZR V2 yang dilancarkan di pasaran negara, tahun lalu, Yamaha Exciter di Vietnam datang dengan pelbagai pembaharuan terutama enjin yang kini hadir dengan 155cc, Satu Silinder SOHC, Suntikan Bahan Api bersama sistem Variable Valve Actuation (VVA).
Transmisi jentera ini juga dipertingkatkan, mengikut peredaran semasa seperti pencabar-pencabarnya yang lain dalam segmen berkenaan iaitu 6 gear yang turut dilengkapi klac (slip & assist).
Justeru, ia dapat menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm. Sebagai perbandingan, Y15ZR V2 di Malaysia menghasilkan 15Hp pada 8,500 rpm dan 13.8Nm tork pada 7,000 rpm.
Dari sudut reka bentuk, panel badan Exciter 155 VVA boleh dikatakan serba baharu dan dikatakan mendapat inspirasi daripada model Superbike YZF-R1.
Tetapi yang paling ketara adalah reka bentuk lampu jenis LED dengan nyalaan utama - yang tampak seperti watak filem Robocop - beserta lampu DRL di bahagian bawah dan penunjuk arah di bahagian tepi.
Unit digital LCD baharu juga dipadankan dengan Exciter 155 VVA yang memaparkan semua informasi termasuk kelajuan, tahap rpm serta kedudukan gear manakala di bahagian butang kawalan pemegang, selain fungsi biasa, penunggang juga disediakan dengan butang kill switch serta lampu memotong.
Tempat duduk Yamaha Exciter 155 VVA juga diberikan nafas baharu dan direka dengan bentuk lebih sporty manakala rekaan lampu belakang juga baharu.
Berbanding model sebelumnya, tangki bahan api untuk Yamaha Exciter 155 VVA juga lebih besar iaitu 5.4 liter.
Dari sudut keselamatan, Exciter baru ini turut dipertingkat dengan brek cakera dua piston pada roda hadapan (versi Premium) sementara daripada sudut keselesaan, fork hadapannya ditala semula untuk menjadi lebih tinggi 10 mm (kini 100 mm). Monoshock belakang pula didatangkan dengan pelindung baru.
Exciter 155 VVA di Vietnam didatangkan dalam tiga versi iaitu GP Edition, Premium dan Standard, dengan harga masing-masing 50.49 juta (RM8,848), 49.99 juta (RM8,761) dan 46.99 juta Dong (RM8,235).
Seperti kebiasaan, Malaysia dijangka akan memperoleh versi terbaik.
Versi Standard tidak mendapat angkup brek dua piston, sistem kunci pintar serta soket pengecas 12V, sementara versi GP Edition mendapat semua kelengkapan ini bersama grafik khas warna biru.
Tiada perubahan dari sudut penggunaan roda dengan Exciter 155 VVA masih menggunakan rim bersaiz 17 inci beserta dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.
Begitupun, tidak seperti yang dikhabarkan sebelum ini, tiada sistem brek antikunci (ABS) dipadankan pada jentera ini dengan sistem suspensi juga tidak menggunakan fork USB (terbalik).
Justeru, soalan paling hangat adalah bila Yamaha Exciter 155 VVA ini akan memasuki pasaran Malaysia? Hanya Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mampu memberikan jawapannya.