Estima terbabas di ‘flyover’, anak terhumban ke bawah ‘landing’ atas Vellfire
Mersita · Dec 2, 2020 01:30 PM
0
0
Disebabkan hujan lebat, sebuah MPV Toyota Estima hilang kawalan dan terbabas di sisi jalan atas jejambat Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Jalan Tun Razak dari Gombak.
Kemalangan sebegini memang kadangkala terjadi tapi kali ini, yang mengejutkan ialah kanak-kanak yang duduk di belakang tercampak dari cermin sisi belakang kanan dan terjatuh ke bawah.
Setelah tercampak keluar, kanak-kanak tersebut mendarat di pusat pameran kereta di Jalan Pahang yang terletak betul-betul di bawah jejambat dan jatuh di sisi Toyota Alphard dan Vellfire yang dipamerkan di luar.
Video kejadian tersebut tular di media sosial baru-baru ini dan ia menunjukkan kanak-kanak itu terhumban ke bawah dan dibawa masuk ke dalam bilik pameran tersebut, dirawat oleh pasukan medik respon pertama.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata MPV yang dipandu bapa kanak-kanak berkenaan terbabas sendiri dan mangsa tercampak dari ketinggian antara 10 – 15 meter dari sisi jejambat berkenaan.
Akibatnya, kanak-kanak malang itu cedera dan retak di paha kiri. Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.
Zulkifly berkata siasatan kes sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini.
Mangsa jatuh di sisi Vellfire (kiri) dan terpelanting ke Alphard (kanan) yang dipamerkan bersebelahannya sebelum terlantar di antara kedua-dua MPV ini
Pada hemat kami, langkah berhati-hati seperti penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dan penggunaan tali pinggang keledar yang betul bagi semua penumpang tidak kira yang duduk di hadapan atau belakang adalah sangat-sangat penting.
Kita belum tahu punca sebenar kejadian ini dan mengambil pengajaran daripadanya, kita boleh cuba kurangkan risiko dengan mengambil semua langkah berhati-hati bagi mengurangkan impak dalam kemalangan.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.