Fungsi garisan di cermin belakang kereta dan cara hilangkan kabus cepat
Mersita ยท Nov 1, 2020 06:30 PM
0
0
Pemandu baru dan lama semuanya sering hadapi masalah yang sama – sesudah berlari-lari dalam hujan dan masuk ke dalam kereta, cermin pasti ada satu lapisan kabus. Ini disebabkan oleh udara luar yang sejuk menyejukkan cermin kereta – udara suam dari dalam kereta pula bertemu dengan cermin yang sejuk menghasilkan wap pada cermin. Lebih-lebih lagi bila anda masuk ke dalam kereta, haba badan dan pernafasan anda hasilkan wap yang menyebabkan kabus ini timbul di cermin kereta.
Apabila proses kondensasi ini berlaku, kabus mengehadkan jarak penglihatan anda atau anda dah tak nampak langsung ke luar kereta. Jenuh pula nak mengelap sampai ke cermin sebelah penumpang. Itu pun kalau anda ada simpan kain atau tisu di dalam kereta. Kalau tak ada kain/tisu, nak lap dengan apa, bukak baju? Ishh, jangan…
Nak lap cermin belakang pula, bersilatlah anda di dalam kereta. Dah lah nak cepat, cermin berkabus nak keluar parking tak nampak pula. Kami ingin syorkan beberapa cara untuk anda hilangkan kabus dengan cepat dan berkesan.
Aktifkan jalur pemanas / ‘defogger’ untuk cermin belakang
Bagi yang tak pernah cuba fungsi ini, inilah masanya. Di dalam kereta anda pasti ada satu butang atau tombol untuk nyalakan jalur pemanas yang diperbuat daripada filamen elektrik untuk menghilangkan kelembapan atau kabus di cermin belakang kereta. Ia juga dipanggil ‘defogger’.
Cuma tekan butang dengan logo empat segi beranak-panah beralun ini dan garisan tersebut akan mengeluarkan haba yang mencukupi untuk menghilangkan kabus supaya anda boleh melihat dengan jelas.
Gunakan mode kitaran udara luar
Pada tombol penghawa dingin anda, pilih mode kitaran udara luar untuk membolehkan udara luar masuk ke dalam kereta dengan penghawa dingin diaktifkan. Perasan tak ada rongga udara di sepanjang ‘dashboard’ dan ia terletak betul-betul di bawah cermin hadapan? Bila-bila masa apabila anda memandu di dalam cuaca hujan atau sejuk dan cermin mula berkabus, pasang mode kitaran udara luar untuk membolehkan udara segar masuk ke dalam kabin dan menghembuskan udara terus ke atas cermin hadapan kereta anda.
Sesudah mode ini dipilih, anda boleh pilih 'floor and demister vents' untuk menghalakan udara ke cermin hadapan seperti rajah di bawah.
Tip ekstra
Periksa penapis udara dan selenggara sistem penghawa dingin anda dengan kerap. Perkara ini juga boleh menyebabkan kabus mudah terbentuk di dalam kereta jika penghawa dingin anda tidak diselenggara dengan baik. Takkanlah setiap kali hujan, cermin kereta anda berwap dan menghalang jarak penglihatan.
Jangan tinggalkan benda-benda lembap di dalam kereta seperti tuala basah dan payung basah. Ini akan menyebabkan wap mudah terbentuk. Nak lagi ekstra? Simpan dehumidifier di dalam kereta anda. Selalunya berbentuk seperti biji-biji manik dan dijual di dalam bekas dengan penutup berlubang-lubang dan ‘foil’.
Pilih antara mod-mod yang ada untuk memperbaiki kualiti udara di dalam kabin. Pilih aliran udara luar untuk menghilangkan kabus dan membolehkan udara segar masuk. Apabila anda berada di dalam keadaan trafik sesak atau di kawasan yang berbau busuk pula, tukar kepada mode aliran udara dalam. Mode ini juga sesuai untuk keadaan luar kereta yang berasap atau jerebu dan cuaca panas kerana ia membuatkan kereta lebih sejuk apabila udara sama dikitar semula di dalam kabin.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.