GPX Demon GR200R 2020, 'syaitan' dari Thailand dengan reka bentuk mengancam
Khairil · Dec 29, 2020 04:00 PM
Ketika GPX Thailand melancarkan model 'Sportbike' Demon GR200R di negara berkenaan beberapa bulan lalu, ia berjaya mendatangkan resah kepada peminat motosikal tempatan.
Apa tidaknya, ini disebabkan tarikan utama syarikat pengeluar motosikal dari Thailand itu yang sememangnya berdasarkan reka bentuk jentera buatan mereka yang tampil futuristik dan menarik.
GPX sebenarnya tidak perlu diperkenalkan secara mendalam di Malaysia. Ia sudah berada di pasaran tempatan selama beberapa tahun dan cukup diminati terutama dalam segmen 'Cafe Racer'.
Begitupun, mereka menerjah pasaran dalam segmen Sportbike menerusi Demon 150 GR pada tahun lalu yang disifatkan sebagai 'Mini Ducati Panigale' namun dengan harga cukup murah.
Jika Demon 150 GR dikatakan mirip Panigale, Demon GR200R 2020 pula dikatakan mirip model dari Yamaha iaitu Y15 V3 atau R1.
Demon 150GR
Tetapi, apa yang menyebabkan ia layak dipanggil 'Demon' adalah reka bentuk lampu depan DRL yang cukup mengancam serta reka bentuk lampu belakang yang tirus dan memanjang.
Berpandukan kepada laman Facebook GPX Malaysia, syarikat berkenaan masih berteka-teki kepada peminatnya mengenai tarikh tepat jentera itu akan dilancarkan di negara ini.
"Bila gpx demon 200 akan datang ke Malaysia? Tanya seorang pengguna.
Ia dibalas oleh GPX Malaysia dengan jawapan Januari 2021. Selain itu, laman web GPX Malaysia juga menunjukkan model berkenaan akan dilancarkan pada Januari depan.
Dari sudut kuasa, ia menggunakan enjin bersesaran 198cc, 1 Silinder, Penyejukan Cecair dengan 19Hp manakala Tork 17.2Nm.
Jika berdasarkan laman web GPX Malaysia, ia dikatakan boleh mencapai kelajuan melebihi 140 kilometer sejam.
Ia menggunakan transmisi klac manual 6-kelajuan dengan sistem breka menggunakan cakera hidraulik dengan kaliper 2-piston 276mm di depan dan 220mm di belakang.
Dari sudut suspensi, ia menggunakan fork terbalik di depan dan monoshock YSS boleh laras prabeban 7-tetapan di belakang dengan tayar menggunakan rim 17 inci yang dibalut tayar 100/80 (depan) dan 140/70 (belakang).
Bahagian pemuka pula menggunakan paparan skrin LCD TFT berwarna dengan rekaan moden yang memaparkan maklumat digital LED penuh seperti takometer, odometer, petunjuk minyak, suhu enjin, posisi gear, mod tunggangan, jam dan lain-lain.
Demon GR200R 2020 juga sesuai dikendalikan majoriti saiz penunggang Asia Tenggara apabila memiliki jarak roda 1,340mm, panjang 2,020mm dan tinggi pelana 815mm dan dipadankan ekzos sport dan peg kaki aluminium.
Ia juga mempunyai berat 150kg dengan saiz tangki minyak 11 liter dengan harga jualan di Thailand ialah 76,500 baht (RM10,600) dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu merah, hitam dan kelabu.
Selain Demon GR200R 2020, GPX juga dijangka membawa masuk model Legend 250 Twin pada Januari depan.
Jadi apa pendapat kalian, boleh 'pergi' ke Demon ni di Malaysia?
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen