Hasil kerja mantap, juruteknik tempatan dipuji selenggara bas hidrogen Sarawak Metro dengan baik
Mersita ยท Aug 19, 2022 08:00 PM
0
0
Juruteknik tempatan yang menyelenggara bas hidrogen dioperasikan oleh Sarawak Metro di Kuching menerima pujian daripada wakil jurutera dihantar oleh Foshan Feichi Automobile Manufacture Co. Ltd (Feichi), syarikat pengeluar kenderaan bertenaga hijau itu.
Tiga buah bas hidrogen yang sudah lebih dua tahun beroperasi dalam fasa percubaan di sekitar ibu kota Kuching berkenaan terbukti diselenggara dengan baik selain mampu beroperasi dengan baik dan selamat di permukaan jalan raya bandar raya berkenaan
Memetik laporan Sarawak Voice, wakil dari Feichi yang dihantar ke Kuching mengakui kerja dilakukan juruteknik tempatan sejak dua tahun lalu sememangnya mengagumkan. Difahamkan, pasukan juruteknik tempatan terlibat menerima bimbingan berterusan dari Feichi walaupun hanya menerusi platform atas-talian.
“Pasukan teknikal Sarawak Metro telah melakukan kerja yang baik dalam menjaga bas kerana ketiga-tiganya berada dalam keadaan sangat baik,” katanya kepada portal itu baru-baru ini.
Sarawak Metro Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) dan berperanan sebagai penyedia dan operator sistem pengangkutan hijau di Sarawak.
Tambahan pula, wakil syarikat dari China itu turut mendapati yang bas keluaran Feichi ternyata mampu beroperasi dengan baik walaupun dipandu di atas permukaan jalan raya yang mencabar.
Walaupun permukaan jalan raya berturap di Malaysia banyak cacat cela dan bas hidrogen ini pula direkabentuk untuk jalan raya urban yang rata, bas hidrogen Sarawak Metro ternyata mampu beroperasi dengan baik.
Sebagai info, perkhidmatan bas hidrogen di Kuching mula diperkenalkan pada Januari 2020 dan ibu kota Sarawak itu adalah bandar pertama di Asia Tenggara yang menggunakan bas berkuasa sel tenaga hidrogen untuk kegunaan awam.
Ini merupakan salah satu usaha dijalankan oleh kerajaan negeri Sarawak untuk mewujudkan ekosistem pengangkutan awam sifar karbon dan memajukan agenda ekonomi hidrogen.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.