Honda ADV 150! Berbaloi ke simpan duit tunggu skuter ala 'Adventure' ini
Khairil · Dec 18, 2020 11:00 AM
Lambat betul Honda ADV 150 nak masuk pasaran Malaysia. Itu antara kata-kata yang sering terpacul daripada peminat skuter tanah air, tidak kira peminat Honda, Yamaha, Suzuki, Benelli, SYM atau mana-mana jenama setiap kali mereka bertemu.
Sejak ia membuat penampilan sulung di Gaikinda Indonesia International Auto Show tahun lalu, tak dapat dinafikan 'adik' kepada X-ADV 750 ini berjaya membuatkan ramai orang jatuh hati kepadanya.
Dan selepas lebih setahun sejak pelancaran itu, ia masih belum menjengah pasaran negara dengan peminat dari Thailand sudah pun memperoleh versi keduanya pada bulan lalu.
Negara-negara jiran lain seperti Indonesia, Filipina malah Singapura juga sudah merasai nikmat menunggangnya lebih awal.
Menurut info daripada beberapa laman web permotoran di negara ini, ia dijangka akan memasuki pasaran Malaysia pada awal tahun depan.
Malah ada beberapa pengedar Honda sudah pun 'mengusik' hati peminat jentera itu dengan membuka tempahan dan ia jelas mendapat perhatian ramai.
Selain itu, ada mulut-mulut nakal yang membuat spekulasi ia akan dilancarkan bersama pelancaran CBR250RR, hari ini.
berikutan ia sentiasa mendatangkan rasa resah buat peminat tempatan, ia sekali gus mencetus persoalan adakah berbaloi untuk mereka menunggu lebih lama.
Berdasarkan penelitian yang dibuat daripada rebiu di negara yang sudah merasai pengalaman menunggang jentera berkenaan, ini yang boleh kami berikan.
Pentingkan gaya, reka bentuk? Inilah modelnya
Reka bentuk ADV 150 yang futuristik, jauh berbeza daripada skuter-skuter lain dalam kelasnya di pasaran ketika ini membuatkan ia sememangnya mampu menarik perhatian pembeli, bukan saja daripada golongan peminat skuter, malah kapcai mahu pun 'Sportbike'.
Dengan 'rupanya' itu, ia akan membuatkan penunggangnya berasa seperti 'Superstar' di jalanan.
Boleh minor 'off-road'
Dengan dimensi 1.950mm panjang, 763mm lebar dan 1.153mm tinggi dengan jarak roda 1.324 mm, jarak kelegaan bumi, 165 mm, ketinggian tempat duduk 795 mm (lebih 1 inci tinggi daripada PCX 150) dengan berat keseluruhan 132 kilogram, ia memang seakan dibina untuk laluan berdebu 'Off-raod'.
Tetapi harus diingatkan, ADV 150 bukan motosikal 'dirt' sejati tapi ia memang boleh ditunggang di kawasan 'kebun', permukaan yang tidak terlalu ekstrem.
Sumber imej: helloimdaddyken
Ini sudah dicuba menerusi rebiu di YouTube malah jentera itu mampu melakukan 'Wheelie' dan lompatan agak tinggi di kawasan seperti itu.
Jika anda pernah menunggang PCX 150 dan merasakan jentera itu bagus, ADV 150 juga sama. Menurut rebiu dari luar negara, ia mempunyai 'rasa' yang sama ketika ditunggang di kawasan bandar.
Mahal sedikit dari PCX 150 tetapi tidak mengapa
Honda PCX 150
Berdasarkan harga di luar negara, ia memang lebih mahal daripada PCX 150 namun rata-rata peminat skuter berkata mereka tidak kisah untuk membayar harga sedikit mahal untuk mendapatkannya.
Jika anda menggemari PCX 150, ADV 150 mempunyai praktikaliti dan kemampuannya yang sama.
Nampak ganas tapi selesa
Disebabkan dimensi dan tempat duduknya lebih tinggi berbanding skuter biasa, ADV 150 dikatakan lebih selesa dengan cermin penghadang angin yang boleh laras menambah lagi 'ketampanan' rupanya.
Ciri-ciri ini dikatakan yang pertama kali digunakan pada motor skuter 150cc. Ia boleh dilaras pada dua posisi.
Bahagian pemijak kakinya juga cukup luas yang memberikan tunggangan selesa tidak kira ditunggang dalam jarak dekat atau jauh.
Bagi negara yang mempunyai kemudahan jalan yang tidak begitu bagus, ADV 150 ini mungkin jawapan untuk anda sekali pun hakikatnya jika motosikal anda memasuki lubang, anda mungkin akan mengalirkan air mata.
Harganya
Jika mengikut pasaran di luar negara, harganya boleh dianggap munasabah sebagai contoh di Indonesia, ia dijual bermula Rp 33.5 juta (RM9,800) bagi varian CBS-ISS, sementara Honda ADV 150 untuk model ABS-ISS pula pada harga Rp 36.5 juta (RM10,800). Jika harganya di pasaran Malaysia tidak banyak berubah, ia pasti akan 'laku keras.'
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen