Honda City 1.5 V 2020 dikuasai oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC 4 silinder yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm tork. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi CVT. Bacaan rasmi untuk penggunaan minyak yang disahkan oleh Honda adalah sebanyak 5.4 liter/100 km. Adakah Honda City menggunakan serendah itu di dalam pemanduan harian? Mari kita uji.
Cara kami lakukan ujian penggunaan minyak
- Isi tekanan angin tayar mengikut apa yang dicadangkan oleh Honda (depan: 230 kPa, belakang: 220 kPa)
- Penuhkan tangki minyak dan pandu di dalam mod biasa tidak melebihi 110 km/j. Penyaman udara pula ditetapkan pada 22 darjah di mod auto.
Laluan uji dan keadaan trafik
Ujian kami bermula di stesen minyak di Jalan 222, Petaling Jaya. Dari situ, kami menghala ke Lebuhraya Persekutuan dan keluar ke LDP untuk ke Putrajaya.
Keadaan trafik agak lancar pada waktu tengahari (hari bekerja). Sebelum tiba di lokasi dimana kami menguji kereta secara komprehensif, Kami memandu di sekitar kawasan Putrajaya dan Cyberjaya yang mempunyai banyak lampu isyarat.
Pengiraan penggunaan minyak
Selepas selesai menguji, kami kembali ke stesen minyak yang sama menggunakan laluan yang bertentangan dimana ia mempunyai keadaan trafik yang serupa. Perjalanan pergi dan balik ini adalah sejauh 97.1 km. Untuk mengetahui berapa banyak minyak yang telah digunakan, kami mengisi penuh sekali lagi. Hasilnya, Honda City menggunakan minyak serendah 5.19 liter/97.1 km. Jika dikira dengan tepat, Honda City menggunakan minyak sebanyak 5.3 liter/100 km.
Tunggu dulu…
Walau bagaimanapun, ujian sebelum ini mencatat penggunaan minyak sebanyak 7.2 liter/100 km. Keadaan trafik ketika itu jauh lebih sesak. Pada masa yang sama, enjin dihidupkan lebih lama sewaktu kami membuat penggambaran ketika itu.
Bacaan penggunaan minyak yang muktamad
Dengan mengambil kira kedua-dua ujian tersebut, kami telah mengambil bacaan purata sebagai penggunaan minyak yang muktamad – 6.3 liter/100 km. Kami yakin bahawa anda juga boleh mendapat bacaan pengunaan minyak yang sebegini.
Secara teknikal, bacaan penggunaan minyak yang rasmi boleh dicapai jika anda tidak menekan pedal minyak secara keterlaluan. Keadaan trafik yang mengizinkan juga memainkan peranan yang besar. Namun dengan keadaan pemanduan yang tidak berapa mengizinkan sekalipun, Honda City masih mencatatkan bacaan yang baik.
Kenapa kami berkata begitu? Sebagai perbandingan, kami pernah menguji Perodua Axia dimana ia mencatat penggunaan minyak sebanyak 6.5 liter/100 km. Itu kereta ekonomi ya. Inikan kereta keluarga macam Honda City.