Honda City hatchback 2021 sah hadir ke Malaysia, tiada lagi Honda Jazz!
Penafian: Honda City Hatchback 2021 sudah dilancarkan.
Rakan media kami dari Thailand, Autofun, baru sahaja melaporkan bahawa Honda City hatchback bakal melakukan debut global di Thailand pada 24 November 2020. Semakan di laman MyIPO mendapati, tanda nama 'City Hatchback' telah pun didaftarkan di Malaysia justeru menguatkan lagi ura-ura kehadiran Honda City hatchback di Malaysia tahun depan!
Sebelum ini, Honda City hatchback telah diintip di negara jiran kita, Thailand. Melalui garis badan yang ditonjolkan, ia mungkin lebih melengkung berbanding Honda Jazz yang sedikit tajam.
Jadi adakah ini bermakna, Honda Jazz akan ditamatkan pengeluaran? Secara spesifiknya, Honda Jazz masih dalam pengeluaran cuma tidak lagi dijual di Malaysia. Hal ini kerana, Honda Jazz bakal ditumpukan ke pasaran Eropah manakala Honda City hatchback bakal menggantikan Honda Jazz dalam pasaran ASEAN dan Amerika Selatan.
Spesifikasi Honda City Hatchback 2021
Honda City hatchback mungkin didatangkan dengan tawaran enjin yang sama dengan Honda City. Melihat kepada pek bateri yang diletakkan pada Honda City RS, enjin hybrid i-MMD juga boleh ditawarkan pada model ini tetapi tertakluk kepada keputusan Honda Malaysia.
Pilihan enjin kemungkinan | ||
---|---|---|
1.5-liter i-VTEC | 1.5-liter i-MMD | |
Kuasa Kuda | 121 PS @ 6,600 rpm | 98 PS @ 5,600 ‑ 6,400 rpm |
Tork | 145 Nm @ 4,300rpm | 127 Nm @ 4,500 ‑ 5,000 rpm |
Kuasa Hybrid | – | 108 PS @ 3,500 ‑ 8,000 rpm |
Tork Hybrid | – | 253 Nm @ 0 ‑ 3,000 rpm |
Mengikut generasi Honda Jazz dan Honda City sebelum ini, kedua-duanya dilengkapi enjin dengan output kuasa yang lebih kurang sahaja. Oleh itu, tidak keterlaluan jika kami mengatakan bahawa ia bakal menggunakan transmisi CVT yang sama.
Berikut adalah perbandingan Honda City dengan Honda Jazz, kedua-duanya generasi sebelum ini yang dijual pada masa yang sama
Honda City 1.5 vs Honda Jazz 1.5 | ||
---|---|---|
Honda City 1.5 | Honda Jazz 1.5 (GK5) | |
Silinder | 4 | 4 |
Injam | 16 | 16 |
Cam | DOHC | SOHC |
Sesaran | 1,498 cc | 1,497 cc |
Kuasa Kuda | 121 PS @ 6,600 rpm | 120 PS @ 6,600 rpm |
Tork | 145 Nm @ 4,300 rpm | 145 Nm @ 4,600 rpm |
Perbezaan dimensi antara Honda City hatchback dan Honda Jazz adalah seperti berikut. Harus diingatkan bahawa, ia adalah sekadar spekulasi sahaja berdasarkan laman web Indian Auto Blog.
Honda City Hatchback vs Honda Jazz | ||
---|---|---|
Honda City Hatchback | Honda Jazz | |
Panjang | 4,200 mm | 3,989 mm |
Jarak antara tayar | 2,600 mm | 2,530 mm |
Ia mungkin sedikit lebih besar berbanding Honda Jazz, berdasarkan spekulasi. Panjang Honda City adalah 4,553 mm manakala jarak antara tayar berkemungkinan besar diambil dari Honda City.
Kelengkapan Honda City Hatchback
Honda mempunyai sistem bantuan pemandu (ADAS) yang agak cemerlang pada Honda City. Melihat kepada sistem ADAS yang ada pada Toyota Yaris, Honda City hatchback pasti mahu bersaing rapat. Oleh yang demikian, ia mungkin akan dilengkapi dengan sistem ADAS yang setanding dengan kembar sedan tersebut.
Honda Jazz juga terkenal dengan konfigurasi tempat duduk ULTRA SEAT. Kemungkinan besar, Honda City hatchback tidak didatangkan dengan ULTRA SEAT ini. Ada yang sukakan konfigurasi ULTRA SEAT ini?
Pelancaran di Malaysia


Honda City hatchback mungkin akan hadir di Malaysia pada penghujung tahun 2021. Dengan debut global pada November 2020, Honda City hatchback memerlukan sedikit masa untuk menepati piawai Malaysia dan sudah tentu ini akan mengambil banyak masa.
Apa-apapun, Honda Jazz masih ada di Malaysia dan bagi mereka yang mencari kereta yang bakal menjadi klasik dan rare di waktu hadapan, inilah masanya?


Haris Penulis
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.