Honda City Sedan vs Hatchback: hatchback lagi mahal tapi adakah mahal = lebih baik?
Haris · Dec 25, 2021 08:00 PM
Honda City Hatchback lebih mahal daripada Honda City Sedan, apa kelebihannya?
Ciri yang ditawarkan tidak 100% sama
Satu bentuk badan tawar pemanduan lebih baik
Honda City Hatchback baru sahaja dilancarkan dengan harga bermula dari RM 75,670. Jika dilihat dari bahagian hadapan, hampir mustahil untuk membezakan varian Hatchback dengan Sedan. Justeru, adakah faktor bentuk badan perlu menjadi pertimbangan anda?
Pada asasnya, City Hatchback adalah City Sedan dengan but yang lebih pendek. Namun, ia tidak semudah itu. Masih terdapat beberapa perbezaan utama antara Hatchback dan Sedan yang perlu diketahui oleh bakal pembeli.
Hatchback lebih mahal, tetapi bukan bermakna anda dapat lebih
Varian Honda City Hatchback lebih mahal sedikit daripada varian Sedan yang setara, sekitar 1.5 peratus lebih mahal (sekitar RM 1,100 hingga RM 1,400 tambahan, bergantung kepada varian).
Honda mendakwa penambahan itu adalah disebabkan oleh Honda City Hatchback ditawarkan dengan ULTRA Seats, yang memerlukan tangki bahan api dipasang di bahagian tengah (berbeza dengan sedan yang terletak di bawah kenderaan) dan kedua-dua aturan tersebut tidak murah.
Tetapi anda juga kehilangan beberapa ciri lain, justeru menjadi persoalan untuk harga yang dibayar serta ciri yang dikurangkan.
Perbandingan harga Honda City
Sedan
Hatchback
S
RM 74,191
RM 75,670
E
RM 81,664
RM 83,080
V
RM 86,561
RM 87,860
V-Sensing
RM 90,212
N/A
RS
RM 105,950
Belum diumumkan
*Harga atas jalan, tanpa insurans, termasuk pengecualian cukai jualan SST sehingga 30 Jun 2022
Penyaman udara belakang bukan standard dalam City Hatchback
Ciri yang paling ketara digugurkan dalam Honda City Hatchback ialah pendingin hawa belakang, yang boleh didapati walaupun pada varian Honda City sedan varian S termurah (RM 74,191), tetapi tidak pada Hatchback.
Sebagai rujukan, pendingin hawa belakang juga tidak ditawarkan pada Toyota Vios atau Nissan Almera. Penyaman udara belakang adalah ciri khusus untuk Honda City sahaja.
City Sedan 1.5V
Dalam Honda City Hatchback, pendingin hawa belakang hanya tersedia dalam varian RS e:HEV paling mahal namun harganya hanya akan diumumkan tahun depan. Untuk varian City Hatchback yang lain, ruang yang ditinggalkan oleh penghawa dingin belakang akan digantikan dengan tong simpanan utiliti kecil.
Memandangkan City Hatchback lebih mahal daripada Sedan dan penyaman udara adalah ciri penting untuk pasaran kita, rakyat Malaysia akan mempunyai pendapat yang kuat tentang perkara ini.
City Hatchback 1.5V, tanpa pendingin hawa
Namun, hujah balas untuk City Hatchback ialah tiada pesaing lain yang mempunyai ciri ini, tiada pada Perodua Myvi dan sudah tentu tiada di dalam Toyota Yaris.
Tapi Hatchback ada ruang kaki yang lebih luas
Ia kedengaran berlawanan dengan pendapat umum (ruang hatchback tak mungkin lebih besar dari sedan), tetapi kelebihan ini benar dan ia telah disahkan oleh Honda Motor sendiri - antara Sedan yang lebih besar dan Hatchback yang lebih kecil, City Hatchback yang mempunyai lebih banyak ruang kaki belakang.
Ruang kaki di belakang City Hatchback, perhatikan ruang di bawah
Ini kedengaran lebih menakjubkan apatah lagi hakikatnya Honda City Hatchback adalah 204 mm lebih pendek daripada Sedan.
Dimensi City Sedan vs Hatchback
City (Sedan)
City Hatchback
Panjang (mm)
4,553
4,349
Lebar (mm)
1,748
1,748
Tinggi (mm)
1,467
1,470
Jarak Roda (mm)
2,600
2,600
Kapasiti but (liter)
519
289 (kerusi tegak)
841 (kerusi lipat)
Bagaimana ini boleh berlaku? Jawapan mudahnya ialah Honda City Hatchback mendapat manfaat daripada tangki bahan api yang dipasang di tengah yang lebih mahal tetapi lebih efisien untuk ruang.
Dengan tangki bahan api digerakkan dari belakang ke bawah tempat duduk hadapan, lebih banyak ruang dikosongkan di bahagian belakang.
City Sedan, perhatikan kekurangan ruang di bawah tempat duduk belakang
City Hatchback meningkatkan praktikaliti dengan ULTRA seats, tiada langsung dalam Sedan
Honda City Sedan ditawarkan dengan tempat duduk belakang lipat 60:40 yang cukup baik sebagai standard. Itu sudah satu langkah daripada Toyota Vios, yang hanya menawarkan ciri ini dalam varian E, G, GR-S yang lebih tinggi.
Honda City Sedan dengan lipatan 60:40
City Hatchback bagaimanapun, mendapat peningkatan yang lebih baik dalam bentuk kerusi ULTRA yang sinonim dengan Honda, sekali gus memastikan ciri terpenting pada Honda Jazz, kekal dalam Honda City Hatchback.
519 liter untuk City Sedan, 289 liter untuk City Hatchback
ULTRA seat – singkatan untuk Utility, Long, Tall, dan Refresh – merupakan akronim kepada empat mod lipatan berbeza untuk tempat duduk hadapan dan belakang. Ciri inilah yang menjadikan Honda Jazz lebih praktikal daripada Toyota Yaris.
Sama ada tangga yang tinggi atau pasu tumbuhan atau gril BBQ jenis berdiri, Honda City Hatchback mampu memuatkan barang yang besar lebih baik daripada kebanyakan SUV satu segmen atas. Ia mungkin kecil di luar, tetapi ia menelan kargo seperti kucing Flerken milik Captain Marvel, Goose.
Walaupun tanpa tempat duduk ULTRA ini, Honda City Hatchback masih menawarkan lebih banyak ruang utiliti di hadapan berbanding Toyota Yaris, yang mana anda akan bersusah payah mencari ruang untuk menyimpan kunci rumah, alat kawalan jauh pagar automatik, Smart Tag, kad akses keselamatan dll.
Namun untuk bersikap adil, Toyota Yaris mengatasi senarai ciri keselamatan Honda City Hatchback dengan menawarkan 7 beg udara sebagai standard, manakala brek kecemasan autonomi, AEB (Toyota memanggilnya PCS, Honda memanggilnya CMBS) boleh didapati pada harga yang jauh lebih rendah (RM 80,380), pada Yaris 1.5E).
Honda City Hatchback hanya memberikan anda 4 beg udara (varian S dan E). Untuk mendapatkan 6 beg udara, anda perlu membayar lebih (varian V dan RS, harga dari RM 87,860).
Honda City Hatchback lebih kecil, tetapi sekitar 15 kg lebih berat daripada Sedan
Honda City Hatchback adalah 204 mm lebih pendek daripada Sedan. Sebagai sebuah kenderaan yang lebih kecil, secara logiknya Honda City Hatchback menggunakan kurang bahan dalam pembinaannya justeru, ia sepatutnya lebih ringan daripada City Sedan. Secara teori ini adalah benar. Namun ia tidaklah semudah yang anda fikirkan.
Body-in-white untuk City Hatchback (BIW, istilah industri untuk frem logam terdedah, yang sebenarnya bukan putih tetapi kelabu) adalah 7.3 kg lebih ringan daripada City Sedan. Setakat ini, semuanya masih masuk akal.
Walau bagaimanapun, apabila perincian dan panel badan yang lain dipasang, berat Honda City Hatchback membelon secara tiba-tiba.
Pada masa Honda City Hatchback meninggalkan barisan pengeluaran, ia menambah sekitar 15 hingga 16 kg lebih berat (bergantung kepada varian) daripada Sedan, walaupun ia adalah kereta yang lebih kecil.
Sebabnya? Pintu belakang hatchback dan kaca belakangnya yang lebih besar sangat berat. Malah, ia lebih berat daripada penutup but ringkas Sedan.
Selain itu, struktur ULTRA Seat yang lebih kompleks mempunyai berat yang jauh lebih besar daripada tempat duduk belakang 60:40 yang mudah dilipat pada Honda City Sedan. Dan ya, walaupun tempat duduk belakang berbeza, bahan kusyen, ketebalan, dan tahap keselesaan adalah sama.
Anehnya, Honda berkata angka penggunaan bahan api yang didakwa untuk Honda City Hatchback kekal sama dengan Sedan, 3.6 liter / 100 km untuk RS e:HEV, dan 5.6 liter / 100 km untuk model biasa. Penambahan berat nampaknya kurang memberi kesan kepada penggunaan bahan api.
Honda City Hatchback mengambil selekoh lebih baik daripada Sedan
Dari segi komponen, kedua-dua Honda City Hatchback dan City Sedan menggunakan bahan utuk bahagian stereng dan suspensi yang sama.
Walau bagaimanapun, kedua-dua kereta mempunyai perwatakan yang sedikit berbeza – tidak terlalu besar sehingga anda perlu memanggilnya 2 buah kereta yang berbeza, tetapi cukup berbeza untuk dirasai walaupun oleh pemandu kasual.
Mempunyai badan yang lebih pendek juga membantu ketangkasan hatchback ini, dan Honda berkata stereng dan suspensi City Hatchback ditala dan ditentukur secara berbeza daripada Sedan untuk memberikannya watak 'sport hatchback'.
Untuk Honda City Hatchback, Honda Sensing hanya terhad kepada varian RS e:HEV
Varian Honda City Sedan mempunyai ciri keselamatan yang lebih baik. Dalam Honda City Hatchback, ciri khas Ssitem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Honda Sensing hanya terhad kepada varian RS e:HEV. Namun harganya masih belum diumumkan, anggaran yang hampir pasti ia akan melebihi RM 100k.
Honda Sensing lebih mahal daripada ciri setara pada Perodua dan Toyota, kerana ia berfungsi dengan lebih baik. Dengan kemampuan 3 julat operasi tambahan yang tidak dapat disaingi. Kebanyakan AEB tidak dapat berfungsi pada waktu malam, mengesan basikal kecil atau apabila kenderaan membelok.
Untuk Honda City Sedan, terdapat tambahan varian V Sensing, berharga RM 90,212. Honda Malaysia mengumumkan bahawa tiada rancangan untuk memperkenalkan varian V Sensing untuk City Hatchback, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen