Pasaran bagi kategori SUV segmen C merupakan salah satu kategori yang padat saingan di Malaysia. Terdapat banyak pilihan produk dalam pasaran ini dan masing-masing menawarkan dengan daya tarikan dan ciri-ciri unik yang tersendiri. Tidak kiralah dari aspek prestasi, penjimatan minyak atau saiz ruang kereta, pastinya terdapat satu model SUV yang akan memenuhi keperluan anda sebagai pembeli.
Dalam artikel ini, kita akan melihat perbandingan antara 2 model SUV segmen C yang terkenal iaitu Honda CR-V dan VW Tiguan. Perbandingan model mercu SUV dari dua kutub berbeza, timur dan barat adalah perbandingan yang paling banyak dibincangkan. Oleh itu, pertimbangan anda sangatlah diperlukan untuk mengetahui model manakah yang lebih wajar untuk anda.
Honda CR-V 1.5 TC-P
Tidak dinafikan, Honda CR-V merupakan model pilihan utama bagi kategori segmen C. Model ini didatangkan dengan ruang yang besar, pakej yang lengkap serta spesifikasi yang sangat menyeluruh. Kesuluruhan konsep bagi model ini adalah hasil dari kajian mendalam terhadap 5 generasi yang terdahulu.
Dari segi luaran, rekaan SUV ini nampak gagah. Namun begitu, model ini tentunya menarik peminat tersendiri ketika ia menyusuri jalan raya. Faktor ini sahaja cukup memenuhi permintaan para pembeli. Bagi pandangan kami, reka bentuk SUV ini adalah lebih kepada ‘kembara’ (bukan Perodua Kembara) dan kelihatan tidak membosankan.
Ruang dan kelengkapan yang bagus dalam Honda CR-V
Beralih kepada ruangan dalam SUV ini, Honda boleh dikatakan telah melakukan usaha yang bagus dalam menghasilkan ruang yang luas dengan ruang simpanan yang teratur dan sangat praktikal. Dalam erti kata lain, jika anda mementingkan elemen ruang dengan penggunaan serba boleh dalam sesebuah model SUV, ternyata Honda CR-V adalah pilihan anda.
Dari segi kualiti binaan pula, model Honda CR-V ini sememangnya memiliki ciri moden kerana ia didatangkan dengan sistem Honda Sensing (yang hanya terdapat dalam varian TC-P) dan juga sistem bantuan pemandu Honda (Advanced Driver Assistance Systems). Kesemua ciri-ciri ini menjadikan model SUV sebagai pakej yang lebih sempurna secara keseluruhannya.
Selain itu, Honda CR-V dilengkapi dengan sistem Honda Sensing yang boleh dikatakan sebagai faktor pelaris bagi model ini tetapi pada pendapat kami, ia lebih daripada itu.
Sistem infotainment model Honda CR-V ini juga didatangkan sekali dengan integrasi Apple CarPlay dan juga Android Auto. Ciri-ciri ini pasti akan menarik perhatian para pembeli yang celik teknologi. Selain dari memiliki ciri-ciri yang menarik, model Honda CR-V ini adalah sebuah SUV yang lebih menyeluruh dan mesra pengguna walaupun reka bentuknya kelihatan sedikit ‘gedabak’.
Kendalian dan keselesaan pemanduan yang memuaskan
Bagi aspek prestasinya pula, model Honda CR-V ini memang cukup padu apatah lagi dari kaca mata peminat H tegak. Kuasa dari enjin 1.5 liter VTEC turbo (193 PS, 243 Nm) boleh dikatakan lebih dari mencukupi, namun ianya dibantutkan sedikit oleh sistem transmisi CVT yang dipasang pada model ini.
Dari segi pemanduan, model Honda CR-V terasa mudah dikendalikan dan selesa untuk dipandu. Ini adalah disebabkan model SUV ini menggunakan talaan suspensi jenis lembut dan juga tayar berprofil tinggi (235/60 R18). Oleh yang demikian, ia terasa lebih mudah dikendalikan semasa menyusuri jalan raya lurus berbanding dengan pemanduan di jalan raya yang berliku. Namun bagitu, bagi pembeli sasaran untuk model ini, kekurangan kawalan kendalian di jalan raya yang berliku-liku sama sekali tidak menjadi isu kepada mereka.
Walaubagaimanapun, pastinya SUV ini tidak lari dari cacat cela. Pertama, terdapat beberapa bahagian kabin dengan mutu binaan yang rendah (seperti tombol gear plastik dan juga tempat letak tangan tengah di konsol tengah hadapan yang kurang ketat). Tambahan pula, kerja-kerja penebat bunyi pada Honda CR-V ini kurang memuaskan.
Secara keseluruhan, model Honda CR-V ini boleh dikatakan pilihan yang memuaskan dan merupakan model SUV yang selalu kami cadangkan kepada para pembeli.
Volkswagen Tiguan Highline
SUV ini bukan calang-calang. Ini adalah SUV paling laris di Eropah. Namun begitu, mampukah model ini memiliki ciri-ciri yang boleh memberi saingan kepada model Honda CR-V?
Dari segi reka bentuk luaran, model VW Tiguan memang lawa. Reka bentuk luaran kejuruteraan Jerman ini menampilkan reka bentuk yang kemas dengan garis badan yang memikat. Secara kesuluruhan, reka bentuk model VW Tiguan ini kelihatan lebih kemas jika dibandingkan dengan model Honda CR-V.
Tema reka bentuk ini juga terpakai bagi ruang kabin model VW Tiguan. Reka bentuk bahagian dalam kabin kelihatan sedikit terkawal dan tenang. Namun, reka bentuk ini adalah normal bagi kereta rekaan Jerman (Teutonic). Reka bentuk ini menyebabkan setiap butang kawalan terasa kukuh. Semestinya, mutu binaan bagi model VW Tiguan ini adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan model Honda CR-V.
Selain itu, walaupun model VW Tiguan menampilkan ruang simpanan yang mencukupi, sayangnya ia agak kurang jika dibandingkan dengan ruang simpanan yang ditawarkan oleh model Honda CR-V. Secara keseluruhan, pakej dalaman VW Tiguan adalah cukup baik, namun pakej dalaman Honda CR-V jauh lebih bagus.
Sistem ‘Discover Media’ yang lancar dan intuitif
Seperti model Honda CR-V, sistem infotainment model VW Tiguan juga menawarkan aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto. Namun bagitu, kami berani menyatakan bahawa sistem ‘Discover Media’ yang ditawarkan oleh model VW Tiguan adalah lebih semula jadi dan intuitif berbanding dengan sistem infotainment yang dimiliki oleh model Honda CR-V. Ciri-ciri ini sememangnya salah satu ciri yang dapat dibanggakan untuk model VW Tiguan.
Namun begitu, kelemahan terbesar model VW Tiguan adalah pada kekurangan dari segi sistem ADAS yang langsung tidak ditawarkan oleh SUV ini termasuklah bagi pilihan model varian paling tinggi. Hal ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan tawaran sistem ADAS yang dibuat pada model Honda CR-V. Bagi para pembeli SUV segmen C, ini merupakan salah satu faktor yang sangat penting kerana SUV dalam kategori ini selalunya akan dilihat sebagai kereta yang digunakan bagi urusan kekeluargaan. Kami berharap model VW Tiguan facelift yang akan datang akan ditawarkan dengan sistem ADAS.
Beralih kepada tempat pemandu pula, model VW Tiguan boleh dikatakan membawa suatu pengalaman yang berbeza dari segi sistem pemanduannya. Secara ringkas, model VW Tiguan disempurnakan dengan sistem pemanduan yang meyakinkan namun masih mengekalkan unsur pemanduan yang selesa dan seimbang. Dalam erti kata lain, ia menawarkan pemanduan yang terkawal dan tenang.
Selain dari memiliki ciri-ciri pemanduan yang terkawal dan tenang, model VW Tiguan mempunyai ciri penebat bunyi yang sangat baik. Ini menunjukkan bahawa model VW Tiguan sedikit lebih matang dari segi operasi harian berbanding model Honda CR-V.
Namun begitu, kuasa enjin VW Tiguan ini tidaklah sehebat Honda CR-V kerana VW Tiguan hanya menggunakan enjin 1.4 liter TSI (150 PS, 250 Nm) yang mana telah menyebabkan prestasi enjin model ini jatuh merudum. Walaupun model VW Tiguan dipadankan dengan sistem gearbox DSG 6-kelajuan yang merupakan transmisi yang lebih baik tetapi tidak banyak yang boleh dimanfaatkan daripada sistem transmisi semata-mata.
Kesimpulan
Semestinya soalan yang paling penting adalah model SUV yang mana yang harus anda pilih? Bagi pendapat kami, tiada jawapan langsung yang boleh kami tawarkan bagi persoalan ini. Kami merasakan bahawa jika anda cenderung kepada ruang yang lebih luas, praktikal dan serba guna, sudah tentu model Honda CR-V adalah pilihan anda.
Honda CR-V memiliki kebolehan untuk menempatkan apa jua barangan yang ingin diletakkan oleh sesebuah keluarga ke dalam SUV mereka. Selain itu, perjalanan jauh menggunakan jalan raya juga terasa sangat mudah dan selesa dengan model Honda CR-V. Apatah lagi, Malaysia mempunyai lebuh raya yang panjang dan lurus.
Sebaliknya, model VW Tiguan pula adalah untuk para pembeli yang memiliki kemahuan dan keperluan yang berbeza. Model VW Tiguan menawarkan pilihan kepada pembeli yang menginginkan reka bentuk kereta yang lebih bergaya, elegan dan pengalaman pemanduan yang lebih baik. Jika digandingkan dengan ciri reka bentuk bahagian dalamannya yang menarik, model VW Tiguan pastinya akan memberi anda satu gaya yang sangat berbeza berbanding dengan model Honda CR-V.
Seperkara lagi, haruslah diingati bahawa tiada kereta yang bersifat sempurna. Apa yang ada hanyalah kereta yang boleh memenuhi tuntuan dan keperluan anda. Pada penghujung hari, anda tidak akan salah memilih mana mana SUV pun. Namun, bagi pendapat peribadi kami, kami akan memilih model Honda CR-V berbanding VW Tiguan, kerana ia menawarkan lebih banyak ciri-ciri dan kelengkapan pada harga yang ditawarkan.
Mudah, dapatkan kereta yang dibeli dengan pantas!
2023 Honda CR-V Upcoming
Upgrade
Add your car
2019 Honda CR-V TC-P VTEC 1.5
2021 Honda CR-V TC-P VTEC 1.5
2019 Honda CR-V TC-P VTEC 1.5
RM 135,900
Komen