Honda EX5 memang model yang tidak asing bagi pengguna motosikal tempatan. Malah tidak keterlaluan untuk menyatakan model legenda ini sebagai 'Raja kapcai' di negara ini.
Berdasarkan statistik, sudah lebih daripada 2 juta Honda EX5 berjaya dijual sejak pengenalannya lebih 30 tahun yang lalu dan varian terbarunya masih berada di pasaran.
Jadi, mudah untuk menyatakan ia masih dapat menambat hati pengguna sekali pun usianya sudah 'tua'.
Bagi Boon Siew Honda (BSH), resipi mereka untuk jentera ini mudah. Mereka menjadikan EX5 sebagai pilihan yang terbaik kepada pengguna dari sudut mampu milik dan kebolehpercayaan jentera berkenaan.
Justeru, ia amat relevan terutama di negera ini.
Malah ketika ramai pengeluar lain sudah menghentikan pengeluaran jentera mereka yang berusia lebih 30 tahun, tetapi tidak EX5.
Reka bentuk
Di era moden, ramai yang mengeji reka bentuk yang dimiliki EX5 yang dikatakan berkotak-kotak.
Tetapi, ketika ia dilancarkan buat pertama kali pada 1987, reka bentuknya itu boleh dianggap satu inovasi dan rupa asas itu berjaya bertahan bertahun-tahun lamanya.
Malah, ia masih boleh dianggap relevan dan tak terlalu 'dimakan zaman' ketika ini kerana apa yang pasti, minat terhadap sesuatu bentuk itu adalah subjektif.
Ketahanan enjin
Enjin EX5 yang cukup tahan lasak menjadikannya amat terkenal.
Bagi model terdahulu, ia menggunakan enjin SOHC 97cc dengan teknologi yang ringkas membuatkan ia amat mudah dijaga, tak banyak masalah dan ketahanannya terbukti.
Mudah dijaga
Berikutan teknologinya yang ringkas, Honda EX5 boleh dikatakan antara motosikal yang paling kurang memberikan pening kepada kepada pemiliknya kerana selain jimat minyak dan kurang bermasalah.
Selain itu, alat ganti untuk model ini amat mudah untuk didapati di seluruh negara.
Diakui, model-model terawal Honda EX5 seakan dibina untuk tahan selamanya.
Tetapi bagi model baharu, ia tidak lagi menggunakan karburator tetapi Fuel Injection tetapi masih boleh diharap sekali pun dikatakan agak manja.
Harga kompetitif
Dengan harga RM4,783 (untuk model terbaharu), ia masih boleh dianggap harga mampu milik. Tetapi perlu diingat, varian terdahulu EX5 ketika ini dijual dengan agak keras kerana sudah diberi gelaran 'rare'.
Generasi terbaru
Empat tahun lalu, BSH melancarkan varian terbaru Honda EX5 Dream Fi sempena ulangtahunnya yang ke-30 dan ia terus mendapat penambah baikkan pada tahun ini dengan rekaan grafik yang lebih menarik.
Mengikuti trend semasa, ia sudah dilengkapkan dengan suntikan bahan api dengan enjin yang patuh kepada peraturan Euro-3.
Sekali pun ramai menyatakan ia kurang 'ump' berbanding generasi-generasi terdahulu, ia masih mendapat sambutan dan model berkenaan masih berada di pasaran sekali gus membuktikan peminatnya masih ada.
Benar dengan kehadiran beberapa model seperti 'Super Moped' seperti Yamaha Y15, RS150, populariti EX5 makin susut ketika ini.
Jadi adakah EX5 akan terus bertahan, hanya masa yang akan menentukan.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.