Honda SUV e:concept di pratonton; sekilas reka bentuk Honda akan datang?
Haris · Sep 28, 2020 11:59 AM
Honda nampaknya semakin berminat untuk menghasilkan kenderaan elektrik. Kali ini, Honda mempertontonkan sebuah kereta konsep, Honda SUV e:concept bersama-sama dengan Honda CR-V PHEV. Kedua-dua model ini adalah keseinambungan daripada Honda e, kereta elektrik sepenuhnya terbaru dari Honda.
Honda SUV e:concept adalah model konsep yang bakal memacu arah model pengeluaran besar-besaran EV pertama jenama Honda untuk diperkenalkan di pasaran China. Model konsep tersebut telahpun ditontonkan ketika Pameran Automotif Antarabangsa Beijing 2020 (2020 Beijing International Automotive Exhibition).
Rekaan Honda SUV e:concept ini ternyata futuristik. Terdapat jalur lampu melintang di hadapan yang bergabung dengan lampu hadapan. Lengkungan badan pada Honda SUV e:concept juga kelihatan lebih semulajadi. Tiada gril hadapan sebelah atas, hanya gril hadapan sebelah bawah sahaja yang kelihatan. Lampu belakang pula menggunakan tema sama dengan lampu hadapan, juga boleh dilihat pada kenderaan elektrik lain seperti Nissan Ariya.
Bukan sekadar itu, nilai jualan bagi Honda SUV e:concept ini adalah pada Sistem Bantuan Pemandu (ADAS) Honda Sensing yang jauh lebih maju. Sistem tersebut bakal hadir dengan pengecaman yang lebih baik, ramalan dan keputusan yang berdasarkan prestasi dan sensor setiap penjuru yang digelar Omnidirectional ADAS.
Honda CR-V PHEV
Selain daripada itu, Honda juga melancarkan Honda Connect generasi seterusnya. Sistem ini dilengkapi antara pembantu digital AI, pautan telefon pintar dan kemas kini tanpa wayar. Sudah tentu, fungsi ini memerlukan jenis sambungan yang lebih maju untuk kenderaan tersebut. Mirip seperti kemaskini OTA (Over The Air) pada Proton X70?
Tiada sebarang garis masa yang diumumkan oleh Honda selain daripada demonstrasi Omnidirectional ADAS di China sebelum penghujung tahun ini. SUV konsep ini mungkin akan mengikut jejak langkah Honda e iaitu saiz kompak, penuh dengan fungsi dan rekaan futuristik.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen