Ini adalah 'kereta kebangsaan' baru Thailand - Toyota Hilux Champ 2024 dilancarkan secara rasmi, daripada RM 61k!
Zamil Syaheer · Nov 27, 2023 07:45 PM
0
0
Selepas membuat prebiu sekitar Asia Tenggara dan Jepun, Toyota IMV 0 kembali ke tempat asalnya. Trak modular ini diumumkan secara global di Bangkok pada tahun 2023 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Toyota ketika itu, Akio Toyoda, untuk memperingati ulang tahun ke-60 Toyota Motor Thailand.
Kali ini, IMV 0 diberi nama rasmi iaitu Toyota Hilux Champ, dimana ia akan duduk di bawah Hilux sebagai penambahan baru dalam negara penuh dengan peminat trak. Terdapat lapan varian Hilux Champ diumumkan dengan harga antara THB 459,000 dan THB 577,000 (~RM 61k-77k), lebih murah daripada varian Hilux asas yang dijual pada THB 564,000 (~RM 75k).
Walaupun jualan trak pikap mengalami penurunan pada tahun 2023, Toyota yakin Hilux Champ akan diterima dengan baik oleh masyarakat Thailand sebagaimana Hilux biasa. Malah, Toyota mempersembahkan Hilux Champ sebagai kereta kebangsaan Thailand semasa pelancarannya.
Terdapat tiga pilihan enjin 4-silinder ditawarkan untuk Hilux Champ yang hanya mempunyai penggerak roda belakang - petrol 2.0 liter 1TR-FE (139 PS/183 Nm), petrol 2.7 liter 2TR-FE (166 PS/245 Nm), dan turbodiesel 2.4 liter 2GD-FTV (150 PS/343-400 Nm).
Unit petrol 2.0 liter digunakan pada Toyota Innova generasi lama dengan pacuan roda belakang dan hanya ditawarkan dengan transmisi manual 5-kelajuan.
Dua enjin lain dapat ditemui pada Fortunerdan Hilux. Enjin petrol 2.7 liter dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan manakala enjin turbodiesel disertakan dengan pilihan manual 5-kelajuan atau automatik 6-kelajuan.
Kesederhanaan adalah intipati Hilux Champ dengan kawasan kabin modular yang mengubah bahagian belakang menjadi kenderaan kembara, perniagaan bergerak, pengangkut sayur-sayuran, atau trak jalan bergaya Thai. Ketidakwujudan lengkungan roda belakang membuatkan trak ini menjadi pilihan utama di kalangan para kaki ‘modify’ di Thailand.
Pendekatan asas Hilux Champ diteruskan dengan senarai kelengkapan - penawaran standard termasuk rim besi 14 inci, 2 pembesar suara (tanpa sistem audio), soket 12 volt, dan 2 beg udara.
Reka bentuk Hilux Champ memberi penghormatan kepada Toyota Kijang/Tamaraw generasi pertama yang merupakan salah satu model ASEAN pertama Toyota. Kijang/Tamaraw asal dibangunkan sebagai kenderaan utiliti asas Toyota dan itulah ideal teras Hilux Champ.
Walaupun elektrifikasi merupakan perkara utama yang kerap disebut dalam industri automotif hari ini, Hilux Champ direka dengan mengambil kira pasaran membangun yang masih bergantung kepada bahan api fosil. Kebolehpercayaan lebih penting daripada tenaga bersih bagi kebanyakan pasaran ini, dan itulah yang Hilux Champ akan penuhi.
Walaupun Hilux Champ merupakan sebuah trak yang asas, ia boleh menjadi salah satu kenderaan penting untuk perniagaan, sama ada kecil atau besar. Ia mungkin bakal diperkenalkan di pasaran membangun lain, Cuma masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada Hilux Champ akan memasuki pasaran Malaysia.
More than 10 years experience, specialising in Motorsports, Advanced Driving, Event Management & Creative Design. He enjoys driving (drifting, actually) anything RWD with a proper LSD over the limit. Versatility is his motto and mantra.