Perodua cuba untuk memaksimumkan jumlah pengeluarannya kepada 330,000 unit dan jualan kepada 314,000 unit tahun ini, disokong oleh tempahan tertunggak yang dibawa daripada tahun lepas serta permintaan berterusan untuk kenderaannya setakat tahun ini.
"Tahun ini (2023) memberi peluang keemasan kepada kami kerana para pengguna masih mempunyai keyakinan terhadap pasaran automotif. Malah, lebih separuh daripada jumlah sasaran kami adalah daripada tempahan yang kami kumpul tahun lepas tetapi masih belum dihantar," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato' Sri Zainal Abidin Ahmad.
"Memandangkan kapasiti normal bagi pengeluaran terpasang tahunan kami untuk kilang Perodua Manufacturing dan Perodua Global Manufacturing berada pada 320,000 unit dalam dua kitaran syif, kami masih boleh meningkatkan volum kami dengan menambahbaik produktiviti dan memulakan kerja lebih masa."
Beliau berkata kesan pertumbuhan pengeluaran sedemikian kepada industri automotif Malaysia akan menjadi lebih ketara kerana Perodua telah memperuntukkan RM10.0 bilion untuk membeli alat ganti daripada para pembekal tempatan bagi memenuhi sasarannya bagi tahun ini.
"Komitmen pembelian ini dijangka akan menggalakkan lagi ekosistem automotif Malaysia untuk menambahbaik keupayaan pengeluaran dan standard kualitinya."
"Secara ringkas, peningkatan dalam pengeluaran akan memberi rangsangan yang amat diperlukan buat industri tempatan kita untuk meningkatkan skala ekonomi mereka serta bersaing dengan lebih baik dengan rakan mereka yang lain di luar negara," kata Dato' Sri Zainal.
Baca: Perodua: Pendigitalan proses vendor bantu harga Alza kekal rendah walaupun kos bahan mentah meningkat
Sasaran 330,000 pengeluaran dan 314,000 jualan masing-masing adalah lebih tinggi iaitu 14.2% dan 11.3% berbanding prestasi pengeluaran dan jualan Perodua pada 2022 yang masing- masing mencatatkan sebanyak 289,054 dan 282,019.
Secara keseluruhannya, Perodua telah menghasilkan sejumlah 4.68 juta kenderaan sejak ia mula dikeluarkan pada 1994.
"Dari segi pasaran keseluruhan, kami percaya bahawa masih ada peluang yang cerah buat industri walaupun menghadapi banyak tekanan kos. Kami percaya jumlah volum industri boleh melebihi 650,000 unit seperti yang diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia," kata Dato' Sri Zainal.
Beliau berkata berdasarkan tempoh menunggu bagi kebanyakan jenama, serta permintaan yang masih kukuh untuk kenderaan Perodua, TIV berpotensi mencecah 700,000 unit tahun ini.
Baca: Jualan kereta di Malaysia pecah rekod baru, TIV automotif 2022 melonjak sebab pengecualian SST