Intipan: Honda CR-V 2020 facelift baru dilihat di Vietnam, masuk Malaysia tahun 2021?
Mersita · Jun 9, 2020 10:10 AM
Buat julung kalinya, Honda CR-V2020 facelift baru telah menonjolkan dirinya di rantau ASEAN, lebih tepat lagi di Vietnam.
Sekumpulan gambar yang keluar dari Jabatan Pendaftaran Vietnam menunjukkan Honda Vietnam akan mengenalkan model terbaharu kereta tersebut disana tak lama lagi.
Apa yang membuatkan ia lebih menarik lagi adalah dokumen ini juga menyatakan yang pemasangan CR-V facelift baru ini akan dibuat secara lokal oleh Honda Vietnam di kilang mereka di Vinh Phuc. Buat masa sekarang, Honda CR-V yang dijual di Vietnam diimport dari Thailand.
Bagi pasaran Vietnam, CR-V facelift baru ini akan dihasilkan dalam 4 varian - E, G, L, dan LSE, dimana LSE adalah varian baru. CR-V yang difacelift ini juga diberi rim aloi 18-inci serta bampar hadapan dan belakang yang baru.
Semua varian dipadatkan dengan enjin petrol L15BG VTEC Turbo 1.5 liter 4 silinder yang serasi dengan ethanol E85. Ia dapat menjana kuasa sehingga 190 PS dan 243 Nm.
Belum ada khabar berita lagi tentang tarikh Honda Vietnam untuk memperkenalkan CR-V facelift ini secara rasmi. Tetapi, ura-ura yang ia akan berlaku tak lama lagi dikuatkan lagi dengan diskaun besar-besaran yang dijalankan oleh peniaga-peniaga Honda di Vietnam.
Honda CR-V generasi kini
Di Malaysia pula, Honda CR-V yang dipertingkatkan ini mungkin tak akan sampai sebelum tahun 2020 berakhir. Pelancaran pada 2021 barangkali anggaran yang lebih tepat. Perlu diingatkan yang selain daripada CR-V baru, Honda Malaysia juga akan melancarkan Honda City (barangkali City hatchback) yang serba baru di Malaysia.
Kenderaan yang dijual secara rasmi di Vietnam mempunyai pemanduan sebelah kiri, oleh itu pasaran pemanduan kanan di Malaysia haruslah menunggu model ini diperkenalkan di Thailand terlebih dahulu.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen